SUSUNAN: NUR SYAZWANI MEHAT ( Terima kasih Pusat Kesuburan Sunway, Sunway Medical Centre)

Masalah kesuburan menjadi isu besar bagi pasangan yang ingin menimang cahaya mata. Data Pusat Kesuburan Sunway menunjukkan bahawa faktor lelaki dan wanita adalah sama dalam menyumbang kepada masalah kegagalan suami isteri untuk hamil.

Menurut kajian pesakit Pusat Kesuburan Sunway lagi, ketidaksuburan lelaki menyumbang kepada kegagalan pasangan untuk hamil adalan 33.33%, wanita 33.33 peratus dan faktor selebihnya 33.33 peratus  tidak diketahui.

Usah Salahkan Sesiapa, Suami Isteri Tidak Subur Masih Ada Harapan Dengan Rawatan IVF
Dr Hoo Mei Lin

“Ini menunjukkan bahawa beban masalah kesuburan adalah sama antara lelaki dan perempuan. Walau bagaimanapun, di Malaysia dan kebanyakan negara Asia, topik kesuburan sentiasa berpaksi kepada golongan wanita,” ujar Pakar Sakit Puan dan Kesuburan Sunway Dr. Hoo Mei Lin.

Tambahnya, setelah merawat wanita selama hampir dua dekad, dia mendapati bahawa wanita biasanya berusaha mencari rawatan kesuburan berbanding daripada suami mereka.

Malahan, jelas Dr. Hoo beban kemandulan sering dirasakan oleh wanita berbanding lelaki. Situasi ini adalah bertentangan dengan statistik  perubatan yang menunjukkan faktor lelaki dan wanita adalah sama dalam menangani masalah ini.

IKLAN

Selain itu, Dr Hoo menerangkan bahawa masalah kemandulan wanita sering disebabkan oleh kegagalan untuk mengovulasi. Ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, yang paling umum ialah sindrom ovari polikistik (PCOS), faktor berkaitan usia yang membawa kepada kadar ovari yang berkurangan dan gangguan endokrin yang membawa kepada gangguan hormon.

“Apabila seseorang wanita itu tidak berovulasi, maka tidak ada telur untuk disenyawakan dan lazimnya wanita itu akan diberi rawatan seperti ubat kesuburan dan hormon untuk meningkatkan ovulasi serta pembedahan jika terdapat penyumbatan pada tiub fallopian.

“Berlainan dengan masalah kesuburan lelaki yang biasanya melibatkan ujian fizikal dan air mani sahaja, diagnosis kesuburan wanita boleh memakan masa yang lebih lama kerana ia melibatkan pemeriksaan sejarah perubatan pesakit, menganalisis kitaran ovulasi, ujian fizikal, ukuran tahap hormon dan sebagainya”, katanya lagi.

IKLAN

Isu Ketidaksuburan Lelaki 

Di samping itu, menurut ketua Pusat Kesuburan Sunway, Dr Kannapan Palaniappan pula, seringkali masalah ketidaksuburan lelaki berpunca daripada isu pengeluaran sperma dan penghantaran sperma.

Walaupun statistik masalah kesuburan lelaki adalah sama  seperti kesuburan wanita, tahap kesedaran masalah ini masih rendah di Malaysia.

Malahan, dia turut menjelaskan bahawa masalah ketidaksuburan lelaki biasanya berlaku disebabkan oleh sperma yang luar biasa (abnormal), jangka hayat pendek atau mobiliti rendah, jumlah bilangan sperma yang tidak mencukupi serta berhadapan dengan masalah ejakulasi. Penyebab masalah-masalah ini selalunya tidak dapat dikenal pasti.

IKLAN

Oleh itu, jika faktor lelaki dikenal pasti sebagai punca pasangan tidak dapat hamil, pakar kesuburan akan mencadangkan kepada pasangan yang bermasalah untuk menjalani bantuan teknologi pembiakan seperti persenyawaan in vitro (IVF).

Usah Salahkan Sesiapa, Suami Isteri Tidak Subur Masih Ada Harapan Dengan Rawatan IVF
Dr Kannapan Palaniappan

“Walau bagaimanapun, sekiranya bilangan sperma suami adalah sangat rendah, tidak bergerak dengan lancar atau mengalami kerosakan DNA yang tinggi, hasil IVF juga akan tergugat.

“Dalam kes sedemikian, kami perlu menjalankan proses pemilihan sperma yang sihat secara manual dan kemudian menyuntikkan sperma tersebut ke bahagian pusat telur si isteri.

“Proses ini dipanggil kaedah Suntikan Sperma Morfologi Intracytoplasma (IMSI). Ia dijalankan oleh pakar embriologi dengan menggunakan mikroskop yang 8,000 kali lebih berkuasa daripada biasa untuk mengesan kecacatan kecil di bahagian kepala sperma yang tidak boleh dikesan melalui cara suntikan Intracytoplasma yang biasa,” katanya lagi sebelum mengakhiri perbualan.

Usah Salahkan Sesiapa, Suami Isteri Tidak Subur Masih Ada Harapan Dengan Rawatan IVF
Kenal pasti punca dahulu, kemudian barulah jalani rawatan terbaik untuk hamil.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI