SUSUNAN: NUR SYAZWANI MEHAT ( Terima kasih Pusat Kesuburan Sunway, Sunway Medical Centre)
Masalah kesuburan menjadi isu besar bagi pasangan yang ingin menimang cahaya mata. Data Pusat Kesuburan Sunway menunjukkan bahawa faktor lelaki dan wanita adalah sama dalam menyumbang kepada masalah kegagalan suami isteri untuk hamil.
Menurut kajian pesakit Pusat Kesuburan Sunway lagi, ketidaksuburan lelaki menyumbang kepada kegagalan pasangan untuk hamil adalan 33.33%, wanita 33.33 peratus dan faktor selebihnya 33.33 peratus tidak diketahui.
Dr Hoo Mei Lin
“Ini menunjukkan bahawa beban masalah kesuburan adalah sama antara lelaki dan perempuan. Walau bagaimanapun, di Malaysia dan kebanyakan negara Asia, topik kesuburan sentiasa berpaksi kepada golongan wanita,” ujar Pakar Sakit Puan dan Kesuburan Sunway Dr. Hoo Mei Lin.
Tambahnya, setelah merawat wanita selama hampir dua dekad, dia mendapati bahawa wanita biasanya berusaha mencari rawatan kesuburan berbanding daripada suami mereka.
Malahan, jelas Dr. Hoo beban kemandulan sering dirasakan oleh wanita berbanding lelaki. Situasi ini adalah bertentangan dengan statistik perubatan yang menunjukkan faktor lelaki dan wanita adalah sama dalam menangani masalah ini.
Ads
Selain itu, Dr Hoo menerangkan bahawa masalah kemandulan wanita sering disebabkan oleh kegagalan untuk mengovulasi. Ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, yang paling umum ialah sindrom ovari polikistik (PCOS), faktor berkaitan usia yang membawa kepada kadar ovari yang berkurangan dan gangguan endokrin yang membawa kepada gangguan hormon.
“Apabila seseorang wanita itu tidak berovulasi, maka tidak ada telur untuk disenyawakan dan lazimnya wanita itu akan diberi rawatan seperti ubat kesuburan dan hormon untuk meningkatkan ovulasi serta pembedahan jika terdapat penyumbatan pada tiub fallopian.
“Berlainan dengan masalah kesuburan lelaki yang biasanya melibatkan ujian fizikal dan air mani sahaja, diagnosis kesuburan wanita boleh memakan masa yang lebih lama kerana ia melibatkan pemeriksaan sejarah perubatan pesakit, menganalisis kitaran ovulasi, ujian fizikal, ukuran tahap hormon dan sebagainya”, katanya lagi.
Ads
Isu Ketidaksuburan Lelaki
Di samping itu, menurut ketua Pusat Kesuburan Sunway, Dr Kannapan Palaniappan pula, seringkali masalah ketidaksuburan lelaki berpunca daripada isu pengeluaran sperma dan penghantaran sperma.
Walaupun statistik masalah kesuburan lelaki adalah sama seperti kesuburan wanita, tahap kesedaran masalah ini masih rendah di Malaysia.
Malahan, dia turut menjelaskan bahawa masalah ketidaksuburan lelaki biasanya berlaku disebabkan oleh sperma yang luar biasa (abnormal), jangka hayat pendek atau mobiliti rendah, jumlah bilangan sperma yang tidak mencukupi serta berhadapan dengan masalah ejakulasi. Penyebab masalah-masalah ini selalunya tidak dapat dikenal pasti.
Ads
Oleh itu, jika faktor lelaki dikenal pasti sebagai punca pasangan tidak dapat hamil, pakar kesuburan akan mencadangkan kepada pasangan yang bermasalah untuk menjalani bantuan teknologi pembiakan seperti persenyawaan in vitro (IVF).
Dr Kannapan Palaniappan
“Walau bagaimanapun, sekiranya bilangan sperma suami adalah sangat rendah, tidak bergerak dengan lancar atau mengalami kerosakan DNA yang tinggi, hasil IVF juga akan tergugat.
“Dalam kes sedemikian, kami perlu menjalankan proses pemilihan sperma yang sihat secara manual dan kemudian menyuntikkan sperma tersebut ke bahagian pusat telur si isteri.
“Proses ini dipanggil kaedah Suntikan Sperma Morfologi Intracytoplasma (IMSI). Ia dijalankan oleh pakar embriologi dengan menggunakan mikroskop yang 8,000 kali lebih berkuasa daripada biasa untuk mengesan kecacatan kecil di bahagian kepala sperma yang tidak boleh dikesan melalui cara suntikan Intracytoplasma yang biasa,” katanya lagi sebelum mengakhiri perbualan.
Kenal pasti punca dahulu, kemudian barulah jalani rawatan terbaik untuk hamil.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Tapi saya paling sedih bila suami sendiri menuduh saya mandul!
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah, bermakna saya tak mandul. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki pada saya.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, mandul. Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir?
Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah kerana memikirkan mungkin suami ingin rasa seperti memiliki anak sendiri. Tapi saya dapat ‘mengesan’ sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua.
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab oleh Z.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya.
Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri. Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Onak duri, ombak badai mainan harian. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Puan yang dirahmati Allah. Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangannya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Saya kurang pasti adakah puan dan suami mahu mengambil anak angkat. Dalam keadaan suami telah ada wanita lain untuk dikahwini, mungkinkah puan tidak berhasrat ke arah itu? Tahukah puan ramai dalam kalangan pasangan yang tidak dikurniakan zuriat mengambil anak angkat sebagai penghubung kasih antara suami isteri.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan Tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, sentiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solatlah malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat, solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wanita yang bertemu jodoh dengan duda sepatutnya sudah bersedia untuk menerima kehadiran anak-anak tiri. Namun apakah mereka benar-benar ikhlas menerima dan tidak pernah melarang hak anak itu?
Seorang klien mengemukakan soalan: “Kak Su, boleh tak kalau saya nak suruh suami kurangkan jumlah nafkah bulanan kat anak-anak dia dengan bekas isteri? Dia bayar RM500 untuk dua anak kat sana. Gaji dia tak lah besar. Sekarang ni pun saya kena tolong dia..”
Saya tak tanya berapa umur anak-anak suaminya tapi dengan jumlah RM500 untuk dua orang anak, saya yakin sangat, bekas isteri kepada suami klien saya ini juga perlu menampung perbelanjaan keperluan anak-anak mereka tersebut. Nak kurangkan lagi? Sungguh tak wajarlah kan…
Bukan saja tak wajar menurut akal malah hukum syarak menentukan, seorang lelaki perlu mengutamakan keperluan anak atau anak-anak berbanding isteri walau pun isteri dalam perkahwinan yang baru.
Menurut hadis riwayat Abu Daud, telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w bertanyakan: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya di sisiku satu dinar, aku suka untuk membelanjakannya. Kepada siapakah perlu aku berikan?” Jawab Rasulullah s.a.w: “Belanjakanlah untuk dirimu..”
Lelaki itu bertanya lagi: “Jika aku ada wang dinar lagi?” Jawab baginda Rasulullah s.a.w: “Belanjakan wang tersebut untuk anakmu.”
Lelaki itu bertanya lagi: “Jika ada lagi wahai Rasulullah s.a.w?” Jawab baginda Rasulullah s.a.w: “Belanjakan untuk isterimu..”
Lelaki itu bertanya lagi: “Jika aku ada wang dinar lagi?”
Jawab baginda Rasulullah s.a.w: “Belanjakan untuk khadammu.”
Tanya lelaki itu lagi: “Jika aku ada lebihan lagi?” Jawab baginda Rasulullah s.a.w: “Engkau lebih mengetahui tentang orang yang berhak menerima sedekah di kalangan kaum kerabatmu dan jiranmu dan juga sahabat-sahabatmu.”
Berdasarkan hadis disebut, jelas dan nyata bahawa apabila seorang lelaki mendapat perolehan sama ada gaji atau keuntungan jualan, dia perlu gunakan untuk keperluan dirinya dahulu merangkumi keperluan untuk ulang alik bekerja, keperluan makan minum dan keperluan berkaitan yang tidak sampai memudaratkan dirinya hingga menghalang dirinya daripada terus bekerja.
Selepas ditolak segala kos bagi keperluan tersebut, dia perlu mengutamakan perbelanjaan bagi keperluan anak atau anak-anaknya terlebih dahulu. Termasuklah anak atau anak-anak yang berada di dalam jagaan bekas isterinya.
Isteri baru apatah lagi bakal isteri sama sekali tidak berhak untuk mengarahkan suami atau bakal suami mengurangkan atau tidak menafkahi langsung anak atau anak-anak hasil perkahwinan si lelaki sebelum ini. Jika anda menghalang atau melarang bermaksud anda menafikan hak yang wajar buat seorang anak, bererti anda menganiayai anak tersebut.
Lantaran, panduan kepada wanita yang bakal menikahi lelaki berstatus duda dan mempunyai anak, wanita itu jangan berharap pendapatan bakal suami anda itu nanti adalah milik anda sahaja.
Anak atau anak-anak bakal suami anda lebih berhak ke atas pendapatan bakal suami anda. Seandainya anda masih juga mahu berkahwin dengan si duda mempunyai anak, anda perlu faham tanggungjawabnya sebagai seorang ayah merangkumi pemberian nafkah dan juga lawatan.
Langkah yang boleh diambil adalah dengan meminta bakal suami atau suami anda tersebut berusaha untuk menambah pendapatannya sebagai melaksanakan tanggungjawab yang perlu kepada anak-anak sebelum ini dan juga kepada anda dan mungkin anak anda bersamanya.
Anda boleh membantu tapi masih perlu bersuara agar suami berusaha sedaya upaya untuk laksanakan tanggungjawabnya. Kemampuan yang menjadi syarat kewajipan suami dalam melaksanakan tanggungjawab nafkah dijelaskan oleh ulama sebagai perlu berusaha sedaya upaya tanpa menganiayai diri. Bukan sekadar melepaskan batok di tangga.
Buat para isteri yang membantu suami, tak kiralah sebab suami ada tanggungjawab kepada anak hasil perkahwinan sebelum ini atau disebabkan suami kurang berkemampuan, saya mohon agar anda catatkan setiap bantuan yang anda hulurkan. Sebaiknya juga disimpan bukti transaksi, jangan bagi secara tunai, payah nak dibuktikan di belakang hari.
Bukan mengharap yang tak baik tapi tak salah untuk bersedia menghadapi apa jua kemungkinan. Orang tua-tua pun pesan, sediakan payung sebelum hujan!
Sumber: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis tetap ruangan Resipi Hidup dalam Majalah Mingguan Wanita.
Melakukan pemeriksaan kesihatan yang betul pada waktu yang tepat adalah salah satu perkara penting yang perlu dibuat oleh setiap lelaki terutamanya yang bergelar suami bagi memastikan kesihatan terjaga.
Ujian dan pemeriksaan awal terutamanya sebelum diri mengalami sebarang simptom-simptom mampu memudahkan rawatan jika diperlukan.
Berikut adalah ujian dan pemeriksaan yang perlu dilakukan oleh setiap lelaki
Kanser Prostat amat bahaya. Ia merupakan kanser yang merebak secara perlahan-lahan, tetapi ia juga agresif. Ujian dan pemeriksaan boleh mengesan penyakit ini pada peringkat awal. Kadangkala pemeriksaan sebelum simptom-simptom terbentuk adalah masa sesuai untuk rawatan itu berkesan dijalankan.
Ujian dan pemeriksaan untuk lelaki sihat termasuklah pemeriksaan rektum secara digital (DRE), dan berkemungkinan besar ujian darah mengesan spesifik antigen dalam prostat.
Kanser ini terbentuk pada buah zakar, kelenjar reproduktif yang menghasilkan sperma. Kebanyakan kes berlaku antara umur 20 hingga 54 tahun. Lelaki berisiko tinggi jika dalam keluarga mempunyai sejarah menghidapnya.
Kanser kolorektum adalah kanser yang boleh mengakibatkan kematian. Lelaki berisiko tinggi mendapatnya jika dibandingkan dengan wanita. Majoriti kanser kolon ini terbentuk secara perlahan-kahan daripada polip kolon. Selepas kanser terbentuk, ia boleh merebak ke bahagian lain anggota tubuh. Cara terbaik untuk mencegah kanser kolon adalah untuk mengesannya dan kemudian membuang polips selepas ia bertukar menjadi kanser. Ujian biasa adalah kolonoskopi yang dilakukan bagi mengesan polips dan kanser kolorektum.
Bentuk kanser kulit paling bahaya adalah melanoma. Ia bermula dalam sel-sel khusus dikenali sebagai melanosit yang menghasilkan warna kulit. Lelaki berusia dua kali lebih mudah membentuk melanoma jika dibandingkan wanita pada usia yang sama. Lelaki juga dua atau tiga kali lebih mudah mendapat sel basal bukan melanoma dan kanser kulit sel skuamus jika dibandingkan dengan wanita. Risiko meningkat jika terdedah pada cahaya matahari secara berpanjangan. Selaran pada kulit akibat cahaya matahari juga mempercepatkan risiko.
Pemeriksaan sendiri secara kerap bagi melihat sebarang perubahan pada kulit termasuklah bentuk, warna dan saiz. Pemeriksaan oleh dermatologi juga perlu jadi sebahagian daripada rutin anda. Rawatan untuk kanser kulit lebih berkesan apabila ditemui ada peringkat awal.
Risiko mendapat tekanan darah tinggi meningkat seiring usia. Ia juga berkait rapat dengan berat badan dan gaya hidup. Tekanan darah tinggi boleh membawa kepada komplikasi teruk tanpa sebarang simptom-simptom. Ini termasuklah aneurism. Tetapi ia boleh dirawat. Apabila dirawat, ia mampu mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit jantung, stroke, dan kegagalan buah pinggang.
Tahap kolesterol HDL yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan pembentukan plak melekit pada dinding arteri. Keadaan ini meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung. Atherosklerosis -pengerasan dan penyempitan arteri- boleh berkembang tanpa sebarang gejala-gejala selama bertahun-tahun. Seiring masa, ia boleh membawa kepada serangan jantung dan stroke. Perubahan gaya hidup dan ubatan boleh mengurangkan kolesterol jahat ini dan merendahkan risiko penyakit kardiovaskular.
Diabetes tidak terkawal boleh membawa kepada penyakit jantung dan stroke, penyakit buah pinggang, kebutaan akibat kerosakan pembuluh darah pada retina, kerosakan saraf, dan kemandulan. Jika dikesan awal, diabetes boleh dikawal dan komplikasi boleh dielak dengan mengamalkan pemakanan sihat, bersenam, mengurangkan berat badan dan pengambilan ubatan.Pemeriksaan ujian gula dalam darah, ujian toleran pada glukos boleh digunakan untuk mengesan diabetes.
HIV adalah virus penyebab AIDS. Ia berada dalam darah. Ia merebak daripada penghidap kepada orang lain apabila rembesan daripada tubuh mereka ini bersentuhan dengan vagina, kawasan anal, mulut, mata atau kulit yang terkoyak. Tidak ada vaksin atau ubat untuk menyembuhkannya. Ujian mengesan HIV adalah melalui pelbagai ujian darah.
Penyakit yang merosakkan saraf optik ini boleh membawa kepada kebutaan. Kadangkala mereka yang menghidap glaucoma tidak mengesan sebarang simptom-simptom. Ujian mengesan glaukoma dilakukan berdasarkan usia dan risiko. Berbincanglah dengan doktor anda bagi melakukan pemeriksaan awal jika anda termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi menghidap glaukoma.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Faraj berbau hanyir selepas bersama suami boleh jadi tanda vaginosis bakteria. Ketahui punca, simptom dan cara atasi masalah kesihatan intim wanita ini.