Uri Rendah, Ibu Hamil Patut Ambil Tahu Kesan & Cara Jaga Untuk Elak Pendarahan Teruk!

Share

Aku tertarik untuk berkongsi kisah masalah uri rendah yang dihadapi oleh ibu hamil dan ia  dihadapi oleh aku sendiri, ketika 28 minggu. Menurut doktor masalah uri rendah boleh  berlaku pendarahan bila-bila masa sahaja. Doktor bimbang jika hal itu berlaku, aku perlu bersedia untuk melahirkan bayi secara pembedahan, itu sahaja pilihan yang aku ada apabila berhadapan dengan masalah uri rendah.

Kemungkinan lain yang mungkin menimpa bayi dan ibu tidak sangup untuk aku ceritakan. Apa yang aku harap semoga semuanya mampu aku hadapi. Walaupun begitu aku amat bersyukur sepanjang melalui minggu ke 28 hingga kini 32 minggu, aku tidak mengalami pendarahan lagi. Syukur.

Apa yang boleh aku lakukan untuk berhadapan dengan masalah ini, Kata orang tua, doa daripada suami tercinta ubat untuk masalah ini. Kami tidak berputus asa ke arah itu. Ibu dan mertuaku turut membuat doa selamat.

Ya siapa yang tidak takut, jika aku mengalami pendarahan, bagaimana dengan bayiku. Mungkin dia akan lahir pra matang, pasti banyak pula cabaran yang akan dihadapinya nanti. Tidak sanggup aku melihat dia ditahan di wad, aku juga takut untuk bersalin secara pembedahan. Namun sebarang kemungkinan ke arah itu harus aku hadapi, lebih-lebih lagi doktor telah memberikan aku masa dua minggu lagi. Jika masalah uri ini masih berada di bawah aku perlu ditahan di hospital ketika minggu ke 34, sehinggalah bersalin. Lamanya, bagaimana dengan dua orang anakku dan kerjaku.

Kata doktor jika berada di hospital senang untuk pemantaun. Ini kerana doktor bimbang dalam aku melalui tempoh kehamilan itu, risiko untuk mengalami pendarahan, tumpah darah, perut mengeras dan kontraksi kemungkinan boleh berlaku sebelum masanya untuk aku bersalin.

Aku mohon keajaiban jika boleh kiranya uri ini naik, kerana kata doktor 32 minggu kemungkinan untuk uri itu naik masih ada harapan.  Aku serahkan segalanya padaMu Ya Allah.Di sini aku kongsikan artikel yang pernah aku minta kupasan daripada Doktor Wan Norizah Wan Musa, Obstetrics & Gynaecology, Hospital Pakar An Nur, Bangi, tentang masalah uri rendah ini.

Placenta Previa atau Masalah Kandungan Uri Bawah

Placenta previa keadaan di mana kandungan mengalami masalah kedudukan uri di bahagian segmen bawah di dalam rahim menyebabkan ia menutupi sebahagian atau keseluruhan bahagian pangkal rahim (serviks). Biasanya kedudukan uri adalah di segmen tengah atau atas di dalam rahim. Kedudukan uri yang tidak normal ini akan menyebabkan laluan untuk kelahiran bayi dihalang sewaktu proses bersalin.

Penyebab placenta previa

Di antara faktor-faktor tersebut adalah :• Pernah menjalani pembedahan yang melibatkan rahim termasuk pembedahan caesarean (risiko boleh meningkat sehingga 2.7 kali ganda). Pembedahan lain termasuklah pembuangan fibroid, pencucian rahim selepas keguguran (D&C) dan sebagainya• Ibu yang pernah mengalami masalah placenta previa pada kandungan sebelumnya• Kandungan kembar, disebabkan saiz uri yang lebih besar dari biasa• Ibu yang merokok atau menghisap dadah• Ibu berusia < 20 tahun atau > 35 tahun• Kandungan kedua dan selanjutnya

Cara kesan placenta previa pada kandungan

Kandungan yang mengalami masalah placenta previa ini akan dikenalpasti apabila ibu mengandung membuat pemeriksaan awal rutin ultrasound semasa kandungan berusia 20 minggu. Kebanyakan ibu yang mempunyai masalah placenta previa ini tidak mengalami sebarang tanda. Dalam sebahagian kes, bagi ibu-ibu yang tidak membuat pemeriksaan awal rutin ultrasound placenta previa  hanya akan diketahui apabila beliau mengalami pendarahan secara tiba-tiba atau apabila pemeriksaan menunjukkan bayi tidak berada dalam kedudukan normal iaitu dalam kedudukan songsang atau melintang.

Risiko placenta previa kepada ibu mengandung

• Placenta previa mempunyai dua tahap iaitu minor atau major. Placenta previa tahap minor; di mana uri berada di segmen bawah di dalam rahim tetapi tidak menutupi serviks. Placenta previa tahap major; uri tersebut menutupi keseluruhan serviks.• Simptom paling kerap dialami oleh ibu mengandung yang mempunyai masalah placenta previa, pendarahan sebelum sampai waktu bersalin. Pendarahan ini boleh menjadi terlalu banyak sehingga berupaya membahayakan nyawa ibu dan bayi yang dikandung. • Ibu yang mengalami masalah placenta previa tahap major, berisiko tinggi untuk mengalami masalah pendarahan yang berat, oleh itu mereka perlu dimasukkan ke wad untuk pemantauan apabila kandungan mencapai 34 minggu sehinggalah hari kelahiran. • Ibu yang mengalami masalah ini akan memerlukan kelahiran secara pembedahan Caesarean pada minggu ke 38 kandungan.

Published by
Naimah Muhammad