Punyalah bertuah kaum wanita, bukan hari lahir sahaja orang sambut tetapi siap ada hari wanita dan majlis tertentu untuk meraikan pengorbanannya. Salah satunya boleh dilihat menerusi Malam Aspirasi Wanita 2018 yang dibuat di Dewan Hamzah beberapa hari lalu.
Ini semata-mata nak menghargai peranan, tanggungjawab dan sumbangan golongan wanita khususnya di daerah Klang, yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Klang.
Yang Dipertua, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, sambutan itu diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wanita pada 8 Mac setiap tahun.
“Kita meraikan hari yang istimewa untuk para wanita ini bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan serta peranan mereka terhadap pembangunan negara.
“Sambutan Hari Wanita juga disambut sebagai perangsang kepada golongan itu dan bagi memenuhi hasrat serta aspirasi untuk terus bergiat lebih aktif ke arah pembangunan keluarga, masyarakat dan organisasi,” katanya ketika berucap di hadapan kaum wanita yang terdiri daripada kakitangan MPK dan jemputan.
Agenda pemberdayaan wanita sentiasa diberikan penekanan oleh Kerajaan Negeri dan juga Persekutuan.
“Buktinya melalui pembentangan Bajet 2018 telah membuka peluang secara luar biasa kepada golongan wanita di negara ini.
“Beberapa inisiatif langsung dan tidak langsung dilihat mampu memberi manfaat kepada golongan wanita, antaranya mewajibkan 30 peratus wanita dalam keahlian sebagai lembaga pengarah GLC, GLIC dan badan berkanun merupakan satu program bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengangkat wanita menerajui posisi,” katanya.
Keprihatinan itu juga ditunjukkan Kerajaan Negeri yang turut menyediakan bajet yang lebih mesra wanita berupa RM72 juta bagi meningkatkan martabat wanita dan golongan ibu menerusi pengenalan inisiatif berkebajikan, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).