Wahai suami isteri, berhati-hatilah ketika upload content di media sosial. Bukan semua perkara boleh dijadikan content di media sosial. Lagi-lagi melibatkan content ‘unboxing isteri’ apatah lagi ‘unboxing by husband.
Ustaz Farid Rashidi mengulas akan isu yang sedang trending ketika ini isteri diunboxing oleh suami sendiri atau pun ‘Unboxing Isteri’ di Tik Tok. Istilah yang selalu digunakan apabila membeli barang.
Sedih, bila isteri itu dah jadi macam barang. Isteri pula, jangan lah terlalu ‘lurus’ hingga hilang malu. Sebenarnya, ada perkara yang tak perlu pun nak beritahu orang lain.
Perhalusi pesan ustaz ini ya,
Muncul trend Unboxing by Husband di TikTok. Entahlah, rasa kecewa, sedih semua ada. Saya tak ada akaun Tiktok pun, tapi bila viral di FB jadi terbacalah apa yang viral di sana.
Katanya trend pasangan pengantin muda baru nikah kemudian di unboxing oleh suami sendiri. Yang rakam isteri sendiri pula tu. Aduhai.
Selalu istilah ni orang guna bila beli barang. Tapi ini suami sendiri buat kat isteri. Seolah-olah isteri diperlakukan semacam barang pula. Astaghfirullahal Azim.
Demi sebuah content, malu dan maruah diri diselak sesuka hati. Ya benar hubungan suami isteri itu halal, tapi halal bukan bererti boleh mempertontonkan aksi intim suami isteri sebegitu. Hatta di depan anak-anak sekali pun. Rahsia dan aib rumahtangga perlu disimpan rapi.
Tugas suami ialah menjaga isteri dan maruahnya, mendidik serta memberi pengajaran berguna agar menjadi pembantu terbaik saat pelayaran bahtera rumahtangga. Bukan mengajar sesuatu yang pelik bercanggah dengan syariat Islam serta menjatuhkan maruah diri sebegitu.
Hati-hati, semua itu akan diperhitungkan. Ingat, amanah itu berat. Jenuh nak menanggungnya. Dan hidup bukan sekadar untuk suka-suka setiap masa. Ada batasnya ya.
Bukan batas ubi kentang, tapi batas syariat Islam.
#UFR
Mingguan Wanita : Biar pun ada yang kata sekadar buka jarum peniti, perlu difahamkan konsep ‘unboxing’ itu sendiri yang dengan kata mudahnya selak, buka satu persatu. Jangan mudah terikut-ikut. Berhati-hatilah bila berkongsi di media sosial wahai suami isteri.
Sumber/Foto : Farid Rashidi