Ajal, maut, jodoh semuanya adalah ketentuan daripadaNya. Tak kiralah apa juga peringkat usia baik muda atau tua, ia bukanlah penghalang seseorang bertemu jodoh dan disatukan bersama insan tersayang. Usia yang sudah menjangkau 80-an tidak menjadi penghalang kepada Hussain Abdul Rahman, 84, untuk sekali lagi mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan hatinya, Kamsiah Adam, 66. Kedua-dua mempelai yang juga pelajar Pusat Pendidikan Al Barakah di sini itu selamat dinikahkan di surau di pusat berkenaan semalam.
Hussain ketika ditemubual berkata, dia baharu sahaja mengikuti pengajian di pusat pendidikan itu tiga bulan lalu dan bertuah dapat dipertemukan pasangan hidupnya itu.
“Saya berterima kasih dengan cadangan yang dimulakan oleh Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim yang melihat saya keseorangan, jadi dia mencarikan jodoh.
“Perkahwinan ini kerana mahu menambah ibadah dan diharap dengan doa semua, kami akan lebih aman dan tenang untuk beribadah di sini (Pusat Pendidikan Al Barakah),” katanya yang sah menjadi suami Kamsiah dengan hanya sekali lafaz.
Hussain yang berasal daripada Pontian, Johor berkata, perkahwinan itu adalah kali ketiga dan kini mempunyai tujuh orang anak, 17 cucu dan seorang cicit.
Katanya, dia pernah belajar di Makkah selama lapan tahun dan menjadi Penyelia Sekolah-Sekolah Agama Negeri Johor serta berpengalaman menjadi imam di Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA) selama 12 tahun.
“Mudah-mudahan saya dipanjangkan umur, dapat mencari ketenangan dalam beribadah dan dapat mengikuti lebih banyak ilmu pengajian berkaitan agama yang ada di sini,” katanya.
Pasangannya, Kamsiah pula berkata, tempoh perkenalannya tidak lama dan menerima pasangannya itu kerana Allah kerana melihat Hussain mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Saya pernah belajar berkenaan Fisioterapi di Australia, saya jadi tergerak hati untuk menerima apabila melihat keadaan dia yang sakit lutut, saya berniat mahu menjaganya,” katanya yang mempunyai tiga anak dan empat cucu.
Berasal daripada Taiping, dekat sini, Kamsiah sebelum ini menetap di Kuala Lumpur namun kini sudah menjadi penghuni Pusat Pendidikan Al Barakah sejak tiga tahun lalu.
Sementara itu, Ustaz Kazim berkata, perkahwinan itu adalah yang keenam membabitkan pelajar dan penghuni di institusi berkenaan.
“Alhamdulillah hari ini kita dapat satukan mereka berdua, saya bersyukur Al Barakah bukan setakat tempat pengajian tetapi juga tempat menjalinkan hubungan silaturahim.
“Perkahwinan ini mencatat rekod di sini, kerana Hussain adalah pelajar yang paling ‘senior’ di Al Barakah,” katanya.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat pasangan warga emas ini. Semoga saling menjaga diantara satu sama lain, serta saling mempertingkatkan amal ibadah bersama-sama.
Sumber: Bharian