Peritnya menghadapi ketentuan ujian kehilangan anak. Apatah lagi kematian anak sulung. Anak yang mengajar diri seorang wanita menjadi seorang ibu. Bukan tidak mempercayai takdir, qada dan qadar tuhan, namun kematian secara kemalangan akibat kecuaian pihak yang tidak bertanggungjawab amatlah memeritkan.

Sebak dengan luahan hati yang dikongsikan oleh ibu kepada mangsa kemalangan kepada Muhammad Saifullah Muhammad Hafiez, 16, yang maut dirempuh bas persiaran di persimpangan Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas semalam ketika dalam perjalanan melakukan penghantaran makanan.

“Ummi tak kuat Chaq. Chaq la nyawa ummi. Chaq la yang ajar ummi macam mana jadi seorang ibu”. Demikian luah Siti Hajar Ghazali, 38, ibu kepada remaja yang terlibat dalam kemalangan semalam.

Anak Bertanggungjawab

Membahasakan diri anak sulungnya itu sebagai Chaq, Siti Hajar menzahirkan rasa sedih di Facebooknya di atas pemergian anak yang disifatkan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab.

“Perginya putera sulung ummi, Muhammad Saifullah kepada Penciptanya. Terima kasih jadi anak yang baik untuk ummi. Jadi sahabat ummi. Walaupun ada masa Chaq tak larat tetap buat apa yang ummi suruh.

“Tidurlah sayang ummi rehat sepuas-puasnya. Tunggu ummi, abah dengan adik dekat sana. Ummi reda dengan ketentuan ALLAH.

“ALLAH pinjamkan Chaq kat ummi sekejap sahaja. 16 tahun lima bulan,” katanya.

Tak Menunjukkan Perubahan Sikap

Sementara itu, ketika ditemui di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Bayan Lepas tadi, Siti Hajar berkata, arwah anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum meninggal dunia.

IKLAN

Menurutnya, arwah hanya tidak menjamah bihun sup yang dimasakkan sedangkan ia merupakan makanan kegemarannya.

“Dia tak jamah pun bihun sup yang saya masak. Saya masak tengah hari semalam, kebetulan saya cuti, jadi saya masak lah untuk kami sekeluarga. Selalunya arwah akan makan sebab bihun sup makanan kegemaran dia, tapi semalam dia terus keluar bekerja.

“Kali terakhir saya berbual dengannya selepas dia pulang dari sekolah dan ingin keluar semula untuk bekerja sebagai pengantar makanan di sebuah restoran makanan segera. Itu lah kali terakhir saya tengok dia,” katanya dengan nada sebak.

Reda Pemergian Anak

Bagaimanapun Siti Hajar berkata, dia reda dengan pemergian anaknya itu yang mula bekerja sambilan sejak Ramadan lalu.

“Saya reda dengan pemergiannya. Dia anak yang baik, bertanggungjawab dan tak pernah menyusahkan kami sekeluarga. Dia bekerja pun sebab nak cari wang saku sendiri. Dia beritahu tak mahu susah mak dan abah dia.

IKLAN

“Perbelanjaan sekolah dia bayar sendiri. Dari sekolah rendah, dia akan kumpul duit dia sendiri kalau dia nak sesuatu. Saya terasa dengan kehilangannya kerana dia penyeri keluarga kami. Arwah juga rapat dengan adik-adiknya,” katanya.

Jenazah Muhammad Saifullah telah disembahyangkan di Masjid Bayan Lepas sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bayan Lepas kira-kira jam 11 pagi tadi. Ahli keluarga, rakan-rakan serta saudara telah mengiringi arwah sehingga proses pengebumian selesai yang dijalankan dalam keadaan hujan lebat.

“Ummi Tak Kuat.. Chaq Lah Nyawa Ummi, Ajar Jadi Seorang Ibu”
Jenazah Muhammad Saifullah  dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bayan Lepas kira-kira jam 11 pagi tadi.

Terakhir Jumpa Sebelum Keluar Bekerja

Sementara itu, bapa mangsa, Mohammad Hafeiz Mubara, 44, berkata, kali terakhir dia berbual dengan arwah anaknya adalah petang semalam sebelum dia keluar bekerja sebagai pembantu operasi di Sekolah Menengah Sungai Ara.

“Saya pulang ke rumah ketika waktu rehat makan tengah hari dan waktu itu, arwah ada kata nak pinjam kasut saya untuk jaga lalu lintas sempena majlis persaraan pengetua sekolahnya hari ini.

IKLAN

“Itu ja kali terakhir saya sembang arwah. Pada waktu petang, saya dapat tahu dari rakannya bahawa arwah terlibat dengan kemalangan jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Saya terus bergegas ke tempat kejadian dan luluh hati saya apabila melihat anak saya sudah ditutup dengan kain putih. Ketika itu, saya tahu anak saya sudah tiada,” katanya.

Pemandu Bas Persiaran Positif Syabu

Sementara itu, pemandu bas persiaran yang merempuh empat buah kenderaan di persimpangan Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas petang semalam didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan ketika dihubungi berkata, ujian saringan awal air kencing suspek mendapati positif dadah jenis syabu. Beliau berkata, suspek juga didapati tiada lesen memandu bas secara sah. Sehubungan itu suspek direman dua hari untuk siasatan lanjut berhubung kemalangan maut tersebut.

Dalam kejadian petang semalam, Muhammad Saifullah yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sungai Ara maut di tempat kejadian akibat dirempuh sebuah bas persiaran di Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas di sini.

MW: Salam takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga diberi ketabahan, kekuatan dan redha dalam menghadapi ujian yang diberikan.

Sumber: Sinar Harian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI