Personaliti Aura Mingguan Wanita ChM Dr Fatimah Salim,39 ini bukanlah calang-calang individu di dalam bidang penyelidikan, sains dan pendidikan. Namanya kian dikenali ramai, apabila sering berkongsi ilmu dalam bidang sains kepada masyarakat di media sosial dengan bahasa ringkas dan cara yang mudah difahami. Sekaligus mampu menarik minat masyarakat untuk ‘mendekati’ sains yang selama ini mempunyai persepsi ia bidang yang mencabar dan sukar dimengerti.
“Ramai pasti maklum dengan persepsi tentang sains yang merupakan bidang yang mencabar, penuh dengan teori dan hypothesis. Namun jika kita mempunyai sifat ingin tahu yang mendalam, bertuah mendapat guru yang pandai memahamkan asas teori menjadi praktikal dengan cara yang sangat mudah difahami, maka ia akan menjadi lebih mudah.
“Ketahuilah, tiada ada satu benda zahir pun di dunia ini yang tidak mampu diterangkan oleh sains. Tanpa kita sedar, banyak benda yang berlaku di dalam kehidupan seharian kita melibatkan sains termasuklah aktiviti memasak.”
“Disebabkan ini juga saya menulis secara aktif untuk mendidik masyarakat menangani isu semasa atau tular yang berkaitan dengan sains (khususnya kimia) di akaun Facebook peribadi yang mana kini mempunyai 20,280 jumlah pengikut. Sejak aktif menulis selama empat tahun, saya sengaja menggunakan tanda dagang ‘Ahli Kimia’ untuk menormalisasikan ‘kimia’ dalam masyarakat.”
“Tambahan pula adanya kumpulan awam Facebook Makmal Makanan (MaMa) yang mana menjadi hub penyebaran ilmu sains dalam masakan dan penyediannya kepada orang awam. Sejak ditubuhkan pertengahan pada tahun 2020 yang lepas, MaMa sudah mempunyai keahlian seramai 44,600,” ujar beliau membuka bicara.
Pendekataan beliau berkongsi ilmu sains dalam penulisan dalam Bahasa Melayu di media sosial pula ternyata mempunyai sebab yang tersendiri. Ia bertujuan memberi kefahaman dan penjelasan bagi setiap permasalahan yang dialami secara saintifik, mengikut sasaran pembaca.
“Sebenarnya saya sengaja memilih untuk menulis dalam Bahasa Melayu kerana kurangnya sumber bacaan yang memberikan kefahaman secara terperinci tentang kimia dalam Bahasa Melayu yang boleh dipercayai. Sasaran pembaca saya adalah golongan wanita suri rumah yang kebanyakkannya aktif menggunakan media sosial dan mudah terdedah kepada isu-isu tular. Niat saya adalah ingin berkongsi dan memudahkan kerja mereka yang memerlukan”
“Disebabkan saya seorang wanita, ibu, dan isteri yang berkerja, maka saya faham apa yang dihadapi oleh kebanyakkan wanita di luar sana. Tambahan pula memang sifat peribadi ‘ingin tahu’ saya yang tinggi, jadi saya suka membuat pemerhatian dengan berujikaji. Kebetulan ilmu kimia asas saya mantap, jadi saya akan aplikasikan segala ilmu yang saya ada di dalam berujikaji ”
“Apa-apa dapatan ujikaji yang saya perolehi, saya akan ulas dengan menggunakan pendekatan saintifik iaitu konsep inference (kenapa dan bagaimana yang disokong oleh asas sains) dan kongsikan dengan pengikut. Inference yang saya utarakan biasanya mudah diterima oleh pengikut kerana bagi mereka tips yang saya berikan itu berasas dan dapat menyelesaikan masalah mereka. Saya senang dengan maklumbalas pengikut kerana memang sifat saintis itu adalah berusaha mencari penyelesaian kepada permasalahan,”ujarnya.
Ternyata setiap perkongsian ilmu yang dikongsikan mahupun mengulas topik berkaitan sains di media sosial juga mempunyai cabarannya yang tersendiri. Namun berbekalkan kefahaman ilmu, penerangan terperinci dan berhemah dalam berdepan golongan berbeza pendapat membuatkan ia dapat ditangani sebaiknya.
“Antara cabaran yang perlu dihadapi adalah berhadapan dengan golongan yang berbeza pendapat. Perkongsian terutamanya yang berbentuk ulasan mengenai isu-isu tular biasanya akan mendapat pelbagai reaksi daripada umum. Namun pada saya ini adalah perkara biasa kerana setiap kita mempunyai sudut pandang yang berbeza dan ianya tidak salah. Saya maklum setiap sudut pandang itu terbentuk dari kombinasi ilmu, pengalaman, persepsi, andaian, pengaruh komuniti, persekitaran dan cara kita dibesarkan.”
“Dengan penerangan terperinci dan sesuai dengan tahap pemahaman, biasanya mereka boleh terima. Hadirnya saya di media sosial adalah untuk membantu memberikan pencerahan. Kepada yang rasa perkongsian itu bermanfaat kepada mereka, ambil saja. Namun terdapat juga sesetengah pengguna media sosial yang berkeras dengan hujah mereka.”
“Untuk individu jenis sebegini, saya akan lihat tujuan mereka. Jika benar-benar perlukan penerangan lebih, saya akan berbalas komen dengan mereka dengan niat memberikan kefahaman. Namun, sekiranya mereka datang untuk mengutuk dan setakat melepaskan ketidakpuashatian, saya akan abaikan saja.”
“Saya faham yang mereka belum lagi terbuka hati untuk menerima ilmu yang saya kongsikan, saya tiada kuasa dan daya upaya yang lebih. Lama-lama mereka akan senyap juga. Disebabkan konsep tiada paksaan dan berhemah dalam berhadapan dengan netizen, setakat saya aktif menulis di Facebook sejak empat tahun yang lepas, Alhamdulillah jaranglah ada yang datang meninggalkan komen yang tidak beradab pada ulasan yang saya kongsikan.”jelasnya.
Menelusuri perjalanan wanita cekal penuh inspirasi ini, beliau berpegang pada falsafah agar memanfaatkan setiap waktu dengan aktiviti bermanfaat dan buat bersungguh dalam apa juga yang dikerjakan supaya tiada penyesalan di kemudian hari.
Ternyata setiap kejayaan manis yang dikecapi adalah hasil kuat semangat dan kesungguhan dalam mengatasi belenggu kesusahan yang pernah dihadapi dahulu. Malah cara didikan bapa yang berpendirian tegas, berdisiplin juga berperanan dalam membentuk acuan dirinya pada hari ini.
“Saya orang biasa saja, tiada yang istimewa. Bapa tiada pendidikan formal. Beliau juga sangat garang dan tegas dalam membesarkan kami. Secara tidak langsung, saya banyak belajar daripada beliau terutamanya berpendirian tegas, disiplin, ‘sense of urgency’ dan menepati masa.”
“Hemat saya, tekanan hidup dan semangat untuk keluar dari belenggu kesusahan demi mengejar kesempurnaan hidup merupakan motivasi saya untuk sampai ke tahap sekarang. Alhamdulillah, berkat memerhati dan belajar daripada orang sekeliling, membolehkan saya kurang melakukan kesilapan dalam mengorak langkah untuk setiap keadaan.”
“Saya perasan setiap kejayaan saya dimangkin oleh kesusahan. Jadi jadikan setiap kesusahan itu sebagai motivasi untuk saya menguji kemampuan diri. Iya, kerana banyak keadaan dalam dunia ini adalah bukan pilihan kita. Namun, Allah uji kerana kita mampu tanganinya. Tinggal saja cara kita hadapinya yang menentukan kesannya pada diri kita di kemudian hari,”ujarnya.
Disaat diri dirundung duka, berhadapan tekanan mahupun hilang semangat, Dr Fatimah menjadikan anak-anak dan tanggungjawab sebagai hamba Allah sebagai kekuatan dan motivasi diri. Malah mengalihkan perhatian dari permasalahan yang dihadapi merupakan cara beliau untuk kembali kuat dalam meneruskan kehidupan.
“Anak-anak dan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Ada masanya saya layan saja perasaan ‘down’ sebegini. Namun saya tidak biarkan ia lama kerana saya harus percepatkan takdir saya dalam situasi ‘down’ ini. Biar rasa ‘down’ itu sekejap saja. Saya sentiasa yakin Allah tidak akan menguji hamba-Nya diluar kemampuan. Dan saya juga yakin walau bagaimana besarnya sesuatu masalah itu, ia akan pergi juga. “
“Disamping itu, saya juga mengalihkan perhatian dari permasalahan dengan meluangkan masa melakukan perkara yang saya suka seperti memasak, menanam bunga, menjahit, mengemas rumah dan melayan anak-anak yang sedang aktif membesar. Saya juga suka melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti lasak seperti berenang, mendaki gunung dan bukit, merakit dan meneroka alam semulajadi.” jelasnya.
Sempena ulangtahun Mingguan Wanita ke 40 dan juga sambutan Hari Wanita Sedunia pada bulan Mac ini, Dr Fatimah mempunyai definisi tersendiri mengenai peranan wanita yang mampu memberikan inspirasi buat wanita lain. Bagi beliau wanita yang mampu memberi inspirasi itu adalah bermula dari sendiri. Menjaga keterampilan diri, sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan kuat secara spiritual malah selalu berfikiran dan memiliki peribadi yang positif.
“Pada hemat saya, wanita yang mampu memberikan inspirasi kepada yang lain adalah mereka yang bermula dalam diri sendiri, ‘they walk the talk’. Biar sesibuk mana sekalipun, jagalah keterampilan dan kesihatan tubuh badan yang Allah berikan. Wanita juga perlu sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan kuat secara spiritual agar segala masalah tidak kira di pejabat atau di rumah dapat ditangani dengan baik dan tenang.”
“Cerdik, dengan penampilan yang cantik, keperibadian yang matang, tidak emosional dan selalu berfikiran positif, tidak mustahil untuk seorang wanita itu berjaya dalam kerjaya dan rumah tangga. Wanita sebegini secara tidak langsung akan memberikan contoh yang baik kepada keluarga dan menjadi inspirasi bagi wanita yang lain.”
“Benar, proses untuk menjadi wanita yang hebat bukanlah sesuatu mudah. Namun, ia tidak mustahil jika kita memiliki tekad dan niat yang baik untuk membentuk peribadi yang positif bagi orang-orang di sekitar kita. Yakinlah, setiap kata-kata dan tindakan wanita boleh menjadi punca bermulanya keburukan atau kebaikan. Maka, pilihlah untuk menjadi punca bermulanya kebaikan.” ujar wanita penuh inspirasi dan bercita-cita tinggi ini.
Dr Fatimah menaruh harapan yang tinggi, semoga usaha kecilnya memberi pengetahuan dalam bidang sains kepada masyarakat mampu membuatkan lebih ramai celik sains, mudah menepis mitos dan tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu yang tidak berasas.
“Saya sudah mampu tersenyum senang kerana ‘ahli kimia’ sudah diterima oleh segenap lapisan masyarakat dan tanggapan bahawa kimia hanya berkisar tentang makmal, tabung uji dan pembuatan ‘bom’ juga sudah perlahan-lahan berjaya dikikis. Boleh dikatakan saya telah berjaya menarik minat orang ramai menghargai dan menyukai kimia.”
“Kini ‘kimia’ sangat sinonim dengan ChM Dr Fatimah Salim sehinggakan apabila di ‘Google’ kata kunci ‘Ahli Kimia Fatimah Salim’ banyak rancangan TV, Radio, berita dan artikel di laman gergasi akan memetik ulasan saya mengenai isu-isu semasa yang tular. Ini secara tidak langsung meningkatkan kredibiliti dan tertampakan saya sebagai pensyarah dan saintis Wanita yang mempunyai pengaruh yang besar dalam jiwa masyarakat, Alhamdulillah.”
“Harapan saya adalah biar lebih ramai lagi celik ilmu sains terutamanya kimia sehingga terhasilnya ‘herd’ masyarakat celik sains, agar masyarakat mudah menepis mitos dan tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu yang tidak berasas. Juga biar persepsi umum terhadap ‘kimia’ itu bebas terus dari imej makmal dan pembuatan ‘bom’, InsyaAllah.”katanya
Pensyarah dan saintis wanita ini ternyata lambang seorang wanita yang memiliki aura serta personaliti hebat, berjaya dalam lapangan kerjaya, malah turut memberi sumbangan ilmu pada masyarakat serta cukup bijak membahagikan masa untuk keluarga tersayang. Selayaknya dicontohi dan dijadikan inspirasi buat wanita lain.
Nama Penuh: Dr.Fatimah Binti Salim
Umur: 39 tahun
Pendidikan:
2013-2015 Post-Doctoral Fellowship, Universiti Teknologi MARA, Puncak Alam
2019-2012 Doctor of Philosophy (Natural Product Chemistry), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam
2004-2007 Bachelor in Applied Chemistry (BSc), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam
2002-2004 Diploma in Science (DIS), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam
2001 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sekolah Menengah Apin-Apin, Keningau, Sabah
Jawatan & Tugas Disandang:
Antara Kejayaan Manis Yang Pernah Dicapai: