Buat suami di luar sana, pertanyaan isteri sayang atau tidak padanya bukan hanya berlegar pada peringkat awal perkahwinan saja iya. Tetapi soalan ini akan diulang tanpa jemu oleh isteri bertahun-tahun lama.
Kenapa isteri bersikap begitu? Isteri ulang soalan “sayang saya tak?”, bukan tak percaya suami, tapi demi kepuasan perasaan si isteri.
Bayangkan bila suami menjawab yang semakin hari semakin sayang pada isteri, sudah tentu isteri senang hati dan bertambah bahagia. Betul tak?
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan ketahui apa sebab utama isteri suka sangat dengan soalan yang satu ini.
“B, sayang umai tak?”
Entah berapa kali sepanjang 14 tahun bersama sebagai suami isteri, saya diajukan soalan begini.
Dan saya yakin soalan yang sama akan terus diajukan ke saya untuk 10, 20 tahun lagi atau selama hidup saya nanti.
Itulah watak isteri atau jiwa perempuan.
Saya faham, bukan isteri ragu-ragu. Bukanlah mereka tak percaya. Atau tak juga sebab mereka menanti jawapan yang sebaliknya.
Isteri cuma mahukan kepuasan perasaan. Kata-kata cinta daripada seorang lelaki yang dia sendiri cintai.
Untuk kita yang lelaki, apakah jika ditanya berulang kali, kita akan berubah jawapan? Atau merasakan isteri dah tak percaya dengan kita?
“Kenapa tanya macam tu?”
“Nak saya jawab macam mana?”
“Tak percaya saya ke?”
Ini bukan skema jawapan yang isteri mahu. Kita tak perlu untuk lontarkan soalan semula atas soalan isteri.
Baca Juga Di sini:
Minat Berbeza, Cara Nikmati Kepuasan Hidup & Beri Hadiah Untuk Diri Sendiri TAK SAMA!
Kalau Dah Berumahtangga, Berhentilah Aniaya Anak Orang Demi Kepuasan Sendiri!
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Pada kita macam tak penting kan nak tanya soalan begitu? Iyalah kita dah tunjukkan usaha kita sebagai suami.
Kita sudah bekerja. Menghabis waktu seumur hidup kita demi dia dan anak-anak. Berpenat lelah keluar pagi, balik petang kadang malam asalkan ada nasi dan lauk terisi dalam pinggan makan keluarga setiap hari.
Kita juga layan setiap cerita dan adu isteri waktu dia lelah dengan dunia. Dia menangis juga kita selalu ada untuk kuatkan dia kembali.
Raikan hari lahir, buat kejutan, belanja makan. Cari masa bercuti, bergambar dengan dia ikut cara yang dia mahu.
Iya, semua itu kita buat. Tapi berselang hari akan ada juga soalan yang sama daripada isteri.
“Sayang saya tak?”
Inilah yang kita nak kena faham. Mereka cuma nak mendengarkan kata-kata cinta itu keluar sendiri dari mulut kita. Itu ketenangan dan penguat cinta buat isteri.
Maka, usah bosan untuk kita jawab dan balas soalan tadi. Dan percayalah, untuk entah berapa puluh tahun lagi ke depan, isteri akan tetap bertanyakan soalan yang sama ke kita.
Hingga kalau kita ditakdirkan pergi dulu pun, mereka akan tetap berbisik seolah bercakap rapat dengan kita;
“Sampai saat ini, awak masih sayangkan saya ke?”
Begitulah rumah tangga.
Firdaus Mokhtar,
Mencintaimu, dalam kamu tahu atau tidak.
MW: Lumrah seorang isteri gemar tanya soalan yang sama walaupun sudah tahu jawapannya. Tetapi apa salahnya suami layankan saja pertanyaan isteri, tentu isteri berasa lebih bahagia serta disayangi.
Sumber: Ustaz Firdaus Mokhtar