Ujian Swab Tak Batal Puasa, Tapi Korek Hidung Batal Puasa

Share

Pengambilan ujian swab bagi menyaring individu disyaki dijangkiti COVID-19 tidak membatalkan puasa, seperti yang diterangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan kaedah memasukkan peralatan khusus ke dalam rongga hidung dan belakang anak tekak pada kadar dalaman tertentu didapati tidak membawa gambaran sebagai makan (mengenyangkan) dan minum (menghilangkan dahaga) sehingga membatalkan puasa.

Beliau berkata dari sudut syarak, ujian seperti itu mempunyai kelonggaran dalam Islam kerana mengambil kira aspek kesihatan seseorang.

“Ujian swab COVID-19 telah diberi pandangan dalam (Jawatankuasa) Fatwa Majlis Kebangsaan pada minggu lepas dan mereka semua bersetuju bahawa kaedah ujian swab yang digunakan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) adalah tidak membatalkan puasa.

“Walaupun masuk (rongga hidung dan mulut), ada membahaskan ia bukan (sehingga) dalam perut yang ternyata membatalkan puasa mengikut hukum syarak. Ia sekadar (masuk) panjang sejengkal dan lebih sikit,” katanya kepada Bernama.

Memandangkan ini isu baru dan dunia sedang melalui pandemik ini, timbul kekeliruan dikalangan umat Islam khususnya sama ada ujian ini menyebabkan terbatalnya puasa ataupun tidak.

Antara hujah utama yang menguatkan kenyataan ujian swab ini tak batal puasa iaitu,

1 – Ujian swab tidak membawa gambaran sebagai makan dan minum yang menjadi sebab batal puasa dengan ijmak ulama.

2 – Pandangan sebahagian ulama hanafi yang mensyaratkan sesuatu yang masuk ke dalam rongga badan mestilah sesuatu yang kekal di dalamnya dan tidak bersambung dengan sesuatu lain dari luar badan.

3 – Peralatan ujian swab ni sama seperti gastroscope ( teropong perut ) yang boleh dimasukkan ke dalam rongga badan tapi tidak membatalkan puasa asalkan peralatan tersebut bebas dari sebarang bendalir atau seumpamanya.

Inilah alat yang digunakan untuk mengambil sampel ujian Covid-19

Walaupun begitu tidak di galakkan untuk sengaja memasukkan jari telunjuk ke dalam hidung pada waktu berpuasa kerana perbuatan itu boleh batal puasa.

Menurut pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie adalah memasukkan sesuatu dari lubang hidung hingga melepas had yang batin itu membatalkan puasa.

Bermula had yang batin ialah dari permulaan tulang hidung dan setengah fuqahak berkata had batin bagi hidung ialah sampai kepada otak atau lepas hingga ke kerongkong.

Dari kerana ini boleh dikatakan ujian corona dengan memasukkan objek ke dalam hidung tidak membatalkan puasa kerana walau pun melepasi tulang hidung tetapi tidak sampai ke otak atau kepada kerongkong.

Jika objek ujian masuk melepasi otak atau sampai melepasi kerongkong atau masuk ke dalam perut maka ia membatalkan puasa.

Berkata Mufti Negeri Jordan :

تبيّن لنا أنّ فحص الكورونا لا يفطر الصائم؛ لأنّ أداة الفحص الجافة التي تدخل من الأنف لا تصل إلى الحلق، وما كان كذلك فلا يعتبر من المفطّرات حيث اشترط السادة المالكية في المفطر أن يصل إلى الجوف، واشترط الحنفية استقرار الداخل في الجوف، وألا يبقى شيء منه في الخارج، وكلا الشرطين لا يتوافران في عملية الفحص؛ ولأنّ الصوم لا يبطل بالشكّ، لذلك من قام بفحص الكورونا عليه أن يُتمّ صومه، ولا شيء عليه. والله تعالى أعلم

Ertinya : “Telah nyata bagi kami bahawa ujian corona tidak membatalkan puasa kerana alat ujian yang bukan cecair itu masuk melalui hidung tidak sampai ke dalam perut dan perkara yang seperti demikian itu tidak terhitung dari yang membatalkan sekira-kira ulamak mazhab Maliki mensyaratkan masuk ke dalam perut barulah membatalkan puasa dan ulamak mazhab Hanafi pula mensyaratkan semua objek masuk kedalam perut tiada tinggal suatu pun diluar. Maka kedua syarat ini tidak berlaku ketika ujian corona dibuat dan pula dari kerana puasa itu tidak batal dengan sebab syak.

Sumber : BERNAMA dan Skuad Pengurusan Jenazah

Published by
Mastura Burhanuddin