Benarlah anak itu ujian. Berapa pun jumlahnya ujiannya tetap tak sama. Begitu jugalah, isteri yang belum dikurniakan anak. Masing-masing ada bahagiannya. Ibu ini, Zaisya Shukor punya anak 8.
Ramai jumlahnya, sampai ramai yang bertanya macam mana caranya dia ‘handle’ anak-anaknya itu. Prosesnya tak mudah, macam-macam emosi ibu tempoh.
Dalam meniti penat dan lelah itu, ibu tetap pegang satu perkara ini. Katanya, itulah penawar PENAT nya itu.
Macam Mana Handle Anak 8?
Berbicara soal anak-anak ni bagai tiada penghujungnya. Bagi seorang surirumah macam saya rutinnya sama.
Celik je mata bangun dari tidur sehingga penghujung malam tiba masih banyak kisahnya. Anak-anak masih bertenaga. Melompat, bergaduh, berbaik semula, makan, main, melompat dan kembali bercakaran sehingga kelaparan dan ulang balik cari makan.
Orang selalu tanya saya, “macam mana handle anak-anak lapan? Tak penat ke? Kami anak dua pun dah tak tahan. Lagi rela duduk di pejabat seharian dari melayan anak-anak yang bermacam ragam.” Saya selalu diam bila diterpa pertanyaan demi pertanyaan.
Tiada jawapan.
Ads
Proses nak membesarkan anak-anak begitulah. Kadang terkeluar juga airmata keletihan. Iya, kadang terpekik juga perkataan bukan-bukan. Kadang hati ni bagai di siat pisau menahan geram. Cuma fikir semula inikan kehidupan. Hidup memang untuk diuji.
Anak 8. Besar dugaan. Bila saya rasa terlalu rapuh dengan ujian demi ujian, saya menangis semahunya. Tanpa pengetahuan sesiapa. Basah bantal selalunya. Badan penat, mata berat, tapi tak mampu lelap. Saya cuma doa pada Allah, salurkanlah saya kekuatan untuk membesarkan anak-anak sehingga mereka berjaya menjadi manusia yang berguna. Saya sebut Allah banyak kali sehingga saya terbuai. Dan sedar-sedar dah terpejam.
Sewaktu Rizqi jatuh beberapa minggu lepas, saya dapat pesanan dari seorang sahabat.
Ads
“Sya… Akak tak sabaq nak tgk kebahagiaan hang bila anak-anak dah besaq nanti. Hang duduk atas takhta ja nanti. Semua terhidang. Insya-Allah. Sabar dik.”
Dan saya cuma memandang mesej tu dengan airmata yang berlinang. Semoga waktu tu akan sampai. Semoga direzekikan Allah usia yang panjang.
Apapun yang kita alami dalam hidup kita, itu semua ujian! Senang,susah, sihat,sakit, miskin,kaya, beranak atau tiada, cantik, hodoh, cacat, sempurna, ujian semuanya.
Dahulu saya malu bawak anak ramai-ramai ke majlis kenduri kendara, risau kalau anak-anak ni buat hal. Atau mungkin orang lain tak selesa bila anak-anak buat bising. Saya takut orang pandang sinis atau perli kelakuan anak-anak saya. Sampai la satu masa, saya terjumpa dengan seorang sahabat yang masih belum dikurnia cahayamata.
Katanya, “aku malu nak ke kenduri kendara. Pergi mana-mana orang asyik tanya perihal bila nak beranak? Aku takut kena perli. Aku tak tahan bila disindir saudara mara.”
Lalu saya terfikir. Saya yang ada anak ramai malu. Dia yang tiada anak juga malu. Kami sama. Berdepan ujian yang nampak sama tapi tak serupa. Perihal anak sahaja. Yang ada anak disindir asyik beranak. Yang tiada anak pula disoal siasat sehingga perihal dalam kelambu.
Anak, ada atau tiada, sikit atau banyak syukurlah. Ada, hadap sajalah kelaku mereka. Tiada, jangan putus asa. Allah beri bersebab, Allah tak beri juga bersebab. Kalau penat menangislah. Dan kalau lemah mengadu dengan Allah. Kalau rasa tiada siapa faham perasaan kita sujud lama-lama. Cari Allah dalam setiap ujian. Selalu tanya diri apa Allah nak ajar aku dari ujian ni. Insya-Allah. Semuanya baik-baik aja.
Anak 8? Kelam kabut jangan cerita. Penat tak tahu punca. Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala? Tapi inilah UJIAN. Kalau dah nama ujian jangan fikir apa, melainkan mahu lulus saja.
Nak lulus nak pi mana?
Nak pi syurga la.
Duduk atas takhta…
Fuhh… masa tu legaaaa..
LA HAULA WA LA QUWATTA ILLA BILLAH
MW : Orang luar cuma boleh menilai, apa pun yang diuji itulah yang merasai susah senangnya.
Sumber/Foto : Zaisya Shukor*Artikel diterbitkan dengan keizinan daripada penulis.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jika bukan isteri menghulur, maka semua dalam rumah kebulur. Nasib isteri lebih teruk dari seorang hamba! Allahu Akhbar, jauhkanlah nasib seorang wanita bergelar isteri yang diperlakukan seperti hamba dalam bahtera yang dibina.
Hari ini ramai wanita yang berada dalam dilema. Mana tidaknya, rumah tangga yang dibina bersama insan disayangi terpaksa diharungi dengan penuh penderitaan.
Ada yang akui suaminya baik namun dari segi nafkah perbelanjaan harian golongan isteri yang lebih banyak menghulur.
Jika Bukan Isteri Menghulur, Maka Semua Dalam Rumah Kebulur
Penulisan penuh bermakna dan perkongsian manfaat dari Puan Sharifah Zahidah menerusi akaun Facebooknya membuka mata para wanita di luar sana terutama mereka yang masih belum bertemu jodoh agar mencari seorang calon suami yang baik dan bertanggungjawab.
Janganlah hanya mencari lelaki yang baik saja ya, carilah lelaki yang bertanggungjawab. Mudah dan ringkas saja namun hal nafkah biasanya selalu terlepas pandang.
“Ramai wanita berdepan dengan kebuntuan apabila diuji dengan suami yang ‘tidak kecil baiknya, tetapi tidak besar pula jahatnya.’ Ini adalah dilema yang paling banyak wanita hadapi. Teruskan membaca.
Suaminya bukan orang jahat.
Tidak mencaci maki.
Tidak memukul.
Tidak panas baran.
Tidak kaki perempuan, kaki botol atau kaki dadah.
Bahkan ada juga baiknya.
Sesekali atau kerap kali berjemaah di masjid.
Selalu ikut aktiviti-aktiviti agama.
Rajin main dengan anak-anak.
Hormat orang tua.
Suka meneman isteri ke sana ke mari.
Tetapi….
Segala beban nafkah diletakkan di pundak sang isteri.
Kereta rosak isteri kena pergi baiki dan keluarkan wangnya untuk kereta sendiri termasuk kereta suami.
Yuran sekolah anak-anak 100% ditanggung isteri. Suami menambah RM100 setahun sekali.
Yuran pengasuh anak juga sama.
Apatah lagi susu, pampers, baju dan alat pendidikan untuk anak-anak. Semuanya di bahu isteri. Si suami sekadar jadi tukang bawa pergi membeli, tetapi beban kewangan semua di bahu isteri.
Jika bukan isteri yang menghulur. Maka semua dalam rumah akan kebulur.
Ikan, sayur, beras, minyak, rempah ratus. Semuanya isteri perlu siapkan dan sponsor. Ada juga sesekali suami bawa balik telur, tepung dan beras sekampit dua; katanya ’melunaskan nafkah keluarga’ yang belanjanya sekitar RM50 sahaja.
Si suami yang manis dengan senyuman pada anak dan isteri ini fikir; ayam, ikan dan dan daging yang mereka 6 beranak itu nikmati, semuanya turun dari langit.
Belum kira bab perabot dan kelengkapan di rumah, bayaran sewa rumah, bil air, api, elektrik dan internet.
Jika bukan isteri yang membayar, sudah lama mereka bergelap gelita.
Kata suami,
“I tahu you taste tinggi. I support saja apa yang you suka. You beli mesin basuh mana you suka, peti apa you nak. I izinkan you beli ikut selera you..” Sambil tersengih-sengih lagak suami misali.
Bila sampai di kaunter untuk bayaran, suami hilang tanpa bayangan. Terkial-kial isteri sekali lagi keluarkan segala simpanan demi mencukupkan keperluan asas dalam kediaman.
Kemudian isteri sebegini jumpa saya, dan mengadu;
“Puan, suami saya baik Puan. Saya sayang dia. Dia pandai buat lawak. Dia selalu senyum dekat saya dan anak-anak. Tak pernah maki atau pukul saya. Tapi kenapa saya rasa STRESS dan TAK BAHAGIA? Kufurkah saya Puan? Orang lain suami kaki pukul, perompak, lari dari rumah tinggalkan anak bini. Saya ni dah bertuah dah suami tak buat semua tu. Tapi kenapa saya betul-betul hilang bahagia dan rasa terlalu penat menjadi isteri dia… Berdosakah saya?”
Saya tarik nafas panjang.
Dan saya mulakan dengan soalan,
“Dari segi urusan kewangan rumahtangga macam mana? Siapa bayar segala belanja rumah, makan, utilities, sekolah anak-anak, kesihatan, kecemasan, belanja balik kampong semua tu…”
Belum saya habis sebutkan satu persatu dia sudah memintas,
“Saya puan. Saya semuanya tanggung apa juga belanja. Kadang-kadang ada juga dia hulur seratus dua.. Sebab gaji dia lebih kecil dari gaji saya..”
“Gaji lagi kecil dari Puan? Maafkan saya bertanya, berapa kecil tu? Berapa gaji Puan dan berapa gaji dia?”
“Gaji saya RM3500, gaji dia dalam RM2800 macam tu.”
“Beza RM700. Tapi tanggungan semua di bahu Puan atas alasan suami gajinya lebih kecil?” Saya sekadar menduga. Ada bayangan keliru yang nyata di wajahnya.
“Sekarang Puan keliru, apa yang membuatkan hilang sudah senyuman di bibir Puan, tak rasa kebahagiaan tapi sang suami sentiasa tenang dan kelihatan ‘menyenangkan’ di mata Puan? Kalau Puan yang berada di posisi suami Puan sekarang, agak agak Puan bahagia tak?”
Persoalan demi persoalan saya lontarkan untuk dia mencari jawapan.
Akhirnya saya tanya,
“Sebenarnya, puan tahu ke apa yang membuatkan suami sentiasa tersenyum bahagia tapi puan menjeruk rasa dan menderita?” Saya bertanya tanpa berselindung apa-apa lagi.
Tugas saya bila mendengar, adalah membawa dialog kami kepada satu kesimpulan yang membuka mata dan letak duduk perkara bagi mereka yang bercerita.
Bukannya saya yang perlu beri jawapan. Bahkan jawapan itu perlu dicari sendiri oleh sang isteri yang meluahkan.
Masalah ini, dilema ini, bukan seorang dua wanita yang merasa. Tapi sangat ramai dalam kasut yang sama.
Dia rasa dia bahagia sebab suami tak caci tak cela dia. Tak main judi tak makan pil kuda. Tapi dalam masa yang sama, hampir seluruh jiwa raga dia sudah ‘HILANG’ dalam rumahtangga yang dibina. Sedangkan suami bersenang lenang bersuka ria melepaskan segala tanggungjawab di bahu isterinya.
Bahkan lepas beberapa ketika, ada suami yang tiba-tiba perasan,
“Banyak pula wang aku ini.. Boleh ‘menanggung’ seorang isteri lagi nampaknya”
“Banyak pula masa lapang aku ni. Asyik ditinggal isteri yang sibuk bekerja sampai jiwa rasa sunyi. Nampaknya kena cari lagi calon isteri..”
“Banyak lagi tenaga aku ini rupanya. Tiba-tiba rindu suara tangis dan ketawa bayi. Bolehlah tambah bini untuk menambah bayi..”
Dia tak tahu wang yang banyak itu sebab isteri yang melepaskan hak-haknya sebagai isteri demi menyenangkan suami.
Dia tak tahu masa lapang yang banyak sebab dia tak pernah nak bantu isteri dalam hal ehwal rumahtangga walhal keduanya bekerja.
Dia tak tahu tenaga yang banyak bukan sebab dia masih muda perkasa, tapi sebab keringat jantannya yang tak pernah diguna!
Suami makin senang lepas kahwin sebab dibela isteri yang melunaskan serba serbi tentang keluarga. Isteri pula dari anak dara jelita dah bertukar menjadi naga gara-gara keringat dan segala upayanya diperguna untuk membela seorang bayi tua.
Akhirnya, isteri nampak serba tak kena sebab asyik serabut dan hilang sinar di muka. Suami nampak sempurna ala-ala jejaka idaman Malaya sebab selalu tampil kemas bergaya, senyum setiap masa.
Kawan,
Suami yang BAIK dan suami yang BERTANGGUNGJAWAB adalah 2 perkara yang berbeza.
Seorang lelaki boleh jadi suami yang baik tapi langsung tak bertanggungjawab. Seorang lelaki juga boleh jadi suami yang tidak berapa baik tetapi bertanggungjawab.
Kedua ini adalah karakter yang berbeza yang WAJIB dimiliki oleh seorang ketua keluarga.
Suami tidak baik yang bertanggungjawab akan MEMBELI isterinya dengan harta. Dia tabur harta pada isteri, menafkahi secukupnya – tetapi ada perempuan lain, menonton porno, berkata-kata kesat, bermuamalam dengan kelat, meninggalkan solat dan sebagainya. Dia MEMBELI isteri dengan menyempurnakan keperluan materi tetapi dia tetap gagal sebagai seorang ketua keluarga.
Suami baik yang tidak bertanggungjawab pula MEMPERKULI isteri dengan layanan baiknya kepada isteri. Anjing mana tak setia dengan Tuan kan? Itupun belum tentu kesetiaan yang berpanjangan. Hujung usia, diduakan juga sang isteri ’tua.’
Dalam situasi pertama, ramai wanita dilema tapi dia SEDAR sesuatu tidak kena. Tapi situasi kedua, adalah apa yang LEBIH berbahaya kerana wanita ini tidak sedar apa yang dilalui, dek kerana tersorok dengan baiknya perilaku seorang suami menyebabkan dia merasa tiada apa-apa yang salah dalam rumahtangganya.
Sedar-sedar, sosok seorang isteri yang penyayang, isteri yang menjadi penyejuk hati, isteri yang menjadi sumber ketenangan keluarga – semuanya sudah ’HILANG’.
Yang ada dalam rumahtangganya, cumalah seorang suami yang memperkuli isteri dan seorang wanita yang menjadi hamba.
Kawan,
Hamba pun kadangkala lebih mulia dari isteri yang diperguna.
Kenapa?
Sekurang-kurangnya hamba disuruh buat kerja. Tetapi upahnya adalah makan, pakai dan tempat tinggal yang disedia. Dia tak pening memikirkan segalanya.
Isteri yang diperguna?
Sudahlah segalanya dia usahakan dengan tulang 4 keratnya. Makan, pakai dan tempat tinggal pula dia perlu sediakan kepada ‘tuannya’? Segala masalah rumahtangga juga, terbeban atas dirinya untuk diselesaikan.
Rupanya, nasib seorang isteri boleh jadi lebih teruk dari seorang hamba. Inilah isteri yang telah ‘HILANG’ fungsinya dalam rumahtangga.
Yang ada kini, seorang suami kepada suaminya sendiri,” kongsi Sharifah Zahidah.
Gigihnya cari rezeki bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Nak berjaya bukannya senang. Begitulah yang dilalui oleh pemilik Syarikat Amle Holding Sdn Bhd yang juga Pengasas Jenama Pyor, Muhamad Amle Rusbadrol atau lebih mesra dengan panggilan Abang Am.
Gigihnya Cari Rezeki Guna Van Uzur Ejin Jatuh Di Parkir Niaga
Anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini mengakui bukanlah satu perkara mudah untuk dirinya berjaya seperti hari ini. Malah sewaktu memulakan perniagaan, dia dan isteri, Norzawati Zahari melalui kehidupan yang agak sukar. Mana tidaknya, isteri pernah meniarap di atas jalan raya kerana terpaksa menolak van yang uzur.
“Pada awal semasa memulakan perniagaan, kami membeli sebuah van yang agak uzur. Dek kerana kosnya yang murah, saya tak pasti samada ianya kenangan pahit atau manis, tapi banyak kenangan yang diingati bersama van tersebut.
“Pernah satu ketika, van tersebut tidak dapat dihidupkan, isteri pula tidak pandai memandu. Jadinya si isteri yang menolak van. Apabila van tu kembali boleh start, saya pun pandang cermin sisi nak tengok isteri, tapi isteri dah meniarap di atas jalan.
“Lepastu apabila hari hujan, kaki akan basah kena air hujan dari lantai van. Van uzur tu juga pernah gugur enjinnya apabila parking di tempat niaga,” kongsi Abang Am yang popular menjual teh ais di dalam balang.
Jalankan Perniagaan Langsaikan Hutang
Bermula dengan Syarikat Amle Holding Sdn Bhd diasaskan pada 17 Ogos 2014, sebelum itu syarikat menggunakan nama Muhamad Amle Enterprise, syarikat menjalankan perniagaan berkonsep kan Trading iaitu membekalkan bahan mentah makanan dan minuman. Syarikat Amle Holding menjalankan konsep perniagaan stokis dan agen.
Menurut Abang Am, titik tolak memulakan perniagaan adalah pada awal 2011 yang mana dia dan isteri memulakan perniagaan di pasar pagi dan malam bersama isteri dengan menjual ayam goreng.
“Menjalankan perniagaan pada ketika itu adalah jalan paling cepat untuk mendapatkan wang kerana ingin melangsaikan masalah hutang,” kongsi Abang Am yang pernah menerima pencapaian di Wyndham Acmar Klang Hotel apabila menerima sijil dan pengiktirafan oleh Lang International Corporate Titan Award (LICTA) sebagai ‘the fasters growing beverage kiosk operator’.
Perniagaan Diuji, Lori Hampir Kena Tarik Dengan Pihak Bank
Sepanjang meniti kejayaan, Abang Am menyatakan dia berasa sangat gembira apabila mendapat mesej dari ibu yang mengatakan “mama bangga dengan kamu”.
Tidak mahu dibuat dengan keindahan kejayaan yang dikecapi sahaja, kenangan yang dilalui sewaktu dalam kesusahan sentiasa menjadi pemangkin untuk dirinya berjaya. Abang Am turut berkongsi kisahnya yang pernah diuji dalam perniagaan.
“Pada 2017 perniagaan diuji dengan amat teruk. Modal dan simpanan yang ada pada waktu tu banyak digunakan untuk menyertai event-event dan ekspo di kebanyakan negeri. Semua event dan ekspo mengalami kerugian yang besar hinggakan lori kami hampir ditarik oleh pihak bank. Jadi kami terpaksa membayar lori tersebut sehingga simpanan menjadi kosong.
“Pada waktu itu juga kami terpaksa menjual dan mencairkan beberapa aset syarikat untuk terus bertahan sehingga dapat peluang pinjaman bahan mentah dari rakan pembekal ayam untuk meneruskan perniagaan, dan di situlah titik permulaan jenama Pyorr dilahirkan pada ramadhan 2017 dengan menjual teh ais di dalam balang,” sambung Abang Am yang menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai inspirasi hidup.
Kejayaan demi kejayaan yang diraih, Abang Am akui sejujurnya ada perasaan takut apabila sampai ke tahap ini kerana tanggungjawab yang lebih besar dan amanah yang perlu di pikul. Namun Abang Am tidak lokek tip dan nasihat buat mereka yang mahu berjinak dalam bidang perniagaan.
“Tetapkan matlamat, misi dan visi yang jelas. Buat sehabis baik, buat hingga jadi, buat sampai berjaya, kaya dan berjasa, jangan cepat berputus asa dan patah semangat. Setiap apa yg berlaku, ujian dan cabaran yang dilalui akan buatkan kita lebih kuat dan jadikan ianya satu pembelajaran untuk kita pada masa akan datang.
“Keduanya, jangan lupa menuntut ilmu, nak berjaya di dunia perlu ilmu dan berjaya di akhirat juga perlukan ilmu. Jangan bosan dan jemu untuk belajar. Percaya pada diri sendiri, kenali potensi dan kelebihan diri sendiri dan tetapkan matlamat.
“Apa yang ingin dicapai memerlukan kerja keras, komitmen dan sikap jangan pernah menyerah kalah,” luah Abang Am yang akui dirinya seorang yang tegas dan berani ambil risiko serta melakukan cabaran dan perkara yang baru.
Mahu Produk Pyorr Berada Di Hati Setiap Orang
Mahu empayar yang dibina terus kukuh, Abang Am juga menyimpan cita-cita yang besar.
“Cita-Cita saya agar jenama Pyor dapat berdiri sama teguh dengan jenama jenama yang besar. Saya juga berharap produk Pyorr akan sentiasa mendapat tempat di hati setiap orang walaupun apabila saya sudah tiada lagi nanti,” katanya.
Walaupun sibuk dengan perniagaan namun bapa kepada empat cahaya matai bi tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga tercinta.
“Saya sebenarnya seorang yang sangat sibuk dengan menguruskan enam syarikat di bawah jagaan saya. Selalunya sebelum tido saya akan siapkan jadual kerja saya untuk keesokan hari agar lebih mudah untuk saya uruskan masa.
“Di samping tu, saya juga gunakan buku planner sekiranya ada apa-apa appointment. Saya gunakan jadual sebagai guideline untuk saya, dan saya akan cuba fokus dengan apa yang saya lakukan. Walaupun saya adalah seorang business owner, saya selalu meletakkan diri saya sebagai pekerja, bekerja seperti pekerja yang lain.
“Selain tu, setiap apa tugasan yang saya lakukan perlu ada guideline. Selesai waktu bekerja bagi saya adalah selewatnya lewatnya jam 7 petang. Kemudian saya akan habiskan masa bersama keluarga pula,” akhirinya.
SERTAI & DAFTAR SEKARANG KURSUS KEMAHIRAN ASAS BANGKIT WANITA:
Yuran murah dan berbaloi-baloi. Klik link di bawah ini:
Kadang-kadang kita terfikir kenapa rezeki susah nak masuk dan setiap bulan habis begitu saja. Hinggakan tidak tahu, ke mana duit gaji digunakan.
Orang cakap, bila sudah berkahwin, adalah rezeki untuk pasangan. Bukan hnya dengan diberikan duit yang berlipat ganda tetapi dari segala bentuk. Namun, ada juga pasangan yang merasakan kehidupan berumah tangga sekadar cukup makan semata-mata.
Sampaikan kita tertanya-tanya, apakah puncay nag menyebabkan rezeki dalam rumah tangga susah nak masuk. Ada saja yang perl dilangsaikan atau digunakan kepada perkara yang kita sendiri tidak tahu.
Dalam menentukan rezeki mahal, murah mahu pun susah nak mask, suami isteri kena lihat pada diri sendiri. Tanggungjawab pada pasangan atau ada sebab lain yang menyebabkan rezeki susah nak datang dekat.
Kupasan daripada Firdaus Mokhtar boleh dijadikan panduan dan ingatan buat pasangan suami isteri di luar sana. Nak rezeki laju dan datang dekat cuba jauhi daripada perkara-perkara ini.
Mungkin sebab inilah menjadi punca rezeki susah nak masuk dalam rumah tangga yang dibina.
Bila bercerita tentang cara untuk rezeki murah rezeki dalam rumah tangga, kadang-kita dah lakukan pelbagai perkara tapi bila kita buat, tak jadi juga.
Rupanya dalam kita amalkan tip kebaikan, kita selalu juga buat perkara yang menjauhkan rezeki. Ini sebab kenapa rezeki mahal.
1. Lupa Tanggungjawab Kepada Ibu Bapa
Kawan-kawan, mak ayah ini sumber keberkatan hidup kita terutama sudut rezeki kita. Saat kita melupakan mereka, percayalah akan ada satu dinding hijab yang menjadi penghalang untuk rezeki terus laju kepada kita.
2. Kedekut
Bila berceirta tentang kedekut, ia boleh boleh jadi dalam macam-macam keadaan terutama kedekut bersedekah. Kalian, tak banyak kita bagi sikit. Tak selalu, sekali sekala pun ok. Yang penting tidak kedekut.
3. Putus Silaturrahim Dengan Adik-beradik
Kadang-kadang kita macam tak percaya ada adik beradik yang dah tak berhubung sesama mereka bertahun-tahun. Kan?
Namun ramai dalam masyarakat kita berlaku macam itu. Punca selisih faham akhirnya bergaduh. Tak nak mengalah, sudahnya buat tak peduli sama sendiri, hidup berjauhan dan melupakan.
Kawan-kawan, ini mengundang kemurkaan Tuhan. Rezeki mana yang akan masuk?
4. Pengotor
Ini pun bahaya. Kotor hati, suka melayan perasaan yang tak elok. Mengundang syahwat kepada yang bukan mahram. Kotor akal, fikir yang bukan-bukan juga mengundang syahwat yang haram.
Cakap kotor, mencarut dan suka menghina orang lain. Kalian, kelemahan orang lain ujian buat mereka. Kita bantu untuk membina, bukan menghina.
5. Solat Bersahaja Atau Ala Kadar
Solat inilah perantara kita dengan Tuhan yang memberikan kita rezeki. Bila kita ala kadarkan solat, rezeki kita juga akan ala kadar.
Bukanlah sifat Tuhan itu berdendam dan membalas perlakuan kita. Tapi tidak layaknya kita menerima rezeki yang banyak kerana seolah mempermainkan solat yang sungguh mulia.
Kawan-kawan yang baik,
Jika ubat kita gaul dan makan sekali dengan racun, nescaya racun yang akan memberi kesan kepada diri kita.
Begitulah jika kita melakukan amalan kebaikan yang dalam masa sama kita tak tinggalkan kejahatan, mana mungkin manfaat kebaikan tadi kekal bersama kita.
Maka, hindarkan semua kejahatan. Moga rezeki kita sentiasa murah dan berkat.
Sekian.
Memburu berkat.
MW: Jangan takut untuk hulurkan duit pada mak ayah. Sebab yang sedikti itulah boleh jadi berkat dan rezeki senang nak dekat. Percayalah.
Mas Idayu bersyukur bekas suami lepaskan secara baik. Tiada pasangan berkahwin yang inginkan perpisahan namun jika ditakdirkan jodoh tidak panjang pastinya kena reda dengan...