Kena kuat, ikhlas dan redha terima ujian tuhan. Itulah prinsip yang dipegang ibu lima anak ini. Dua anaknya disahkan buta secara tiba-tiba. Belum pun reda, anak keempat hampir diuji hilang penglihatan dan tak boleh bercakap.
Lebih pilu, 6 bulan lamanya suami wanita ini tak boleh bekerja selepas alami kemalangan. Ibu ini, Rekiah Deraman, 48 tak sekelumitpun patah semangat. Sebab dia percaya, setiap ujian itu ada hikmah yang cukup besar untuknya.
Lima anak Hairudzi Said, 49 dan Rekiah Deraman, 48 dilahirkan dalam keadaan normal. Keluarga ini mula teruji apabila dua daripada anaknya tiba-tiba hilang penglihatan.
“Sebagai ibu bapa kami kena kuat demi anak-anak.” Tutur ibu kepada Muhd Rifqi Hairudzi,21, yang tiba-tiba hilang penglihatan pada usia 14 tahun. Dan anak ketiga, Muhd Rifaa’ Hairudzi, 14 yang hilang penglihatan pada usia 2 tahun.
“Mula-mula Rifaa’ hilang penglihatan. Seminggu sebelum raya. Kain baju semua dah dikemas nak bawa pulang ke kampung. Waktu sibuk memasakd i dapur, Rifaa’ bangun tidur, minta saya bukakan TV.
“Tiba-tiba dia cakap ‘Umi kenapa adik tak nampak?’ Saya ambil cermin matanya. Dia masih ulang benda yang sama. ‘Adik tak nampak apa-apa’.
“Memang saya hairan. Kemudian dia minta air, bila saya hulur gelas, dia mula teraba-raba. Saya terus peluk dia sambil menangis bila tahu dia memang betul-betul tak nampak. Saya call suami kat tempat kerja dia maklumkan.”
Selepas kejadian itu, ibu ayah ini bawa Rifaa; ke HKL. Doktor masukkan ke wad oftalmologi. “Tiga hari sebelum Hari Raya, dia dibedah. Kami satu keluarga beraya dalam wad. Doktor kata Rifaa’ kena tidur meniarap 24 jam.
“Tapi umur 2 tahun kan tengah lasak. Susah sedikitlah nak menjaganya. Doktor kata selapur nipis mata Rifaa’ boleh terkoyak bila-bila masa.” Dekat 3 kali Riffa jalani pembedahan. Akhirnya, doktor pakar sahkan dia tak boleh melihat selama-lamanya kerana ia berkaitan dengan saraf (retina regithman).
Anak sulung mereka, Rifqi alami masalah rabun silau waktu 6 tahun tapi masih boleh melihat. Sebelum itu, dia tinggal di asrama Sekolah Pendidikan Khas Setapak. “Kami tak perasan yang penglihatannya makin teruk. Sampailah dia tak dapat melihat sepenuhnya sebab terkena bola.”
Waktu itu umur Rifqi 14 tahun. Dia aktif bersukan. Bila tak boleh melihat, ia beri tamparan hebat buatnya. Ibunya pun alami kesan kesedihan yang sama, “Sebaik doktor pakar sahkan Rifqi tak dapat melihat selamanya, saya sedih sangat. Rasa tertekan tu sampai saya minta doktor ambil mata saya gantikan.”
Tekanan itu buatkan ibunya jalani kaunseling dengan doktor pakar. Dari situlah ibu ini kumpul kekuatan dan akhirnya berjaya harungi ujian sukar itu.
Ibu ayah ini bukan saja cekal malah mendidik anak-anak istimewa mereka dengan begitu baik sekali. Buktinya, Rifqi (abang sulung) sudahpun ada sebuah Pusat Refleksologi di Putrajaya dekat pasar awam Presint 16. Dan tinggal menyewa.
Rifaa’ pula selepas darjah 6, dihantar ke sekolah tahfiz. Sesuai dengan cita-citanya yang mahu menjadi Pakar Perubatan Islam. “Masa umur Rifaa’ 4 dan 6 tahun, setiap hari suami ulang alik dari rumah kami di Puncak Alam ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dekat Brickfield.
“Masuk 7 tahun, kami hantar dia ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth (sekolah khas untuk kanak-kanak cacat penglihatan).
“Ramai yang kata, macam mana saya dan suami ‘tergamak’ hantar anak yang masih kecil hidup berdikari di asrama dan berjauhan dari keluarga. Semua itu demi masa depan anak-anak. Sebab itulah setiap hari, kami tanam dalam diri anak-anak yang mereka akan masuk asrama.
“Bila anak dah sedia, kami hantar. Tapi tak mudah macam yang dibayangkan. Luluh hati bila tengok orang lain boleh tolong pakaikan baju sekolah anak tapi saya tak dapat.
“Sedih memang sedih, tapi saya kuatkan hati. Saya minta cikgu benarkan saya tinggal dekat sana 2 hari. Saya intip tanpa pengetahuannya. Sebak bila tengok dia belajar urus diri.
Tapi sebagai ibu bapa, mereka yakin itu yang terbaik untuknya. Keyakinan itulah akhirnya membolehkan anak kecilnya itu mencapai pelbagai kecemerlangan. Rifaa’ boleh azan, naib juara tilawah al-Quran peringkat kebangsaan untuk kanak-kanak istimewa dan muncul sebagai Tokoh Pelajar Negeri Johor.
Masuk usia 12 tahun, ibu ayah ini menghantar pula Rifaa’ ke sekolah tahfiz di Maahad Tahfiz Ismail Puncak Alam. “9 bulan di situ, Rifaa’ dah hafal 7 juzuk Al-Quran. Terkini, Rifaa’ sudah bertukar pula di sekolah tahfiz lain
.”
Penghujung tahun 2016, keluarga ini diuji lagi. Anak keempat mereka, Muhd Rasydan, 11 tiba-tiba tak dapat melihat dan bercakap.
Dia dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh kemudian HKL. Seminggu dalam wad, akhirnya doktor sahkan dia alami miller fisher sindrome. “Iaitu masalah saraf pada otot-otot muka. Alhamdulillah, sakitnya tak berpanjangan. Berkat usaha, doa dan selepas jalani beberapa rawatan, Rasydan pulih sepenuhnya.
Baru saja Rasydan pulih, bulan April 2017 suami saya pula kemalangan jalan raya. Enam bulan lamanya tak dapat bekerja.
“Kadangkala saya terdetik, mengapa ujian bertimba-timpa pada keluarga saya. Namun saya cepat sedar dan yakin, bahawa Allah itu ada dan percaya bahawa apa yang terjadi ada hikmahnya yg tersembunyi. Saya kena tabah dan redha.
Begitulah cekalnya ibu yang juga mempunyai dua anak lagi iaitu Muhd Rafiq (tahun 3 di KYSAS) dan yang bongsu, Humaira Damia, 5 tahun.
Foto : Rekiah Deraman