Ujian Hidup Tanda Kasih Sayang Allah Pada Manusia, Redalah!

Share

Ujian hidup manusia tak sama. Ada individu yang mendakwa bahawa kehidupannya sentiasa bahagia, senang, tidak ada sebarang masalah, lalu ia berbahagia dengan kehidupan itu. Manakala individu lain pula mendakwa bahawa kehidupannya dilanda derita, kesedihan, musibah yang berpanjangan, lalu ia bersedih dan berdukacita.

Reda Dan Syukur

Sekiranya anda diminta memilih, mana pilihan anda mahukan? Hidup yang sentiasa bahagia dan senang atau sentiasa derita dan sengsara? Ada satu pilihan lagi, reda diuji ketika dalam kesenangan serta reda dan syukur ketika dalam kesulitan.

Sirah para Nabi dan Rasul mengajar kita bahawa keseimbangan hidup berlaku apabila seseorang sedia menerima kesenangan dan kesusahan dalam hidup. Ia selari dengan fitrah kehidupan yang dilingkari kesenangan dan musibah. Dalam kesenangan ia bersyukur, dalam musibah ia reda dan sabar demi mengharap keredaan Ilahi.

Ujian Allah

Bukankah ujian itu merupakan tanda kasih sayang Tuhan kepada insan? Bukankah semakin tinggi ujian yang dilalui maka semakin tinggi darjat hamba di sisi Tuhan?

Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredaan Allah dan siapa yang tidak reda maka dia akan menerima kemurkaan Allah.”

Lagi artikel menarik di sini:

Ipar-Duai Boleh Jadi Punca Hubungan Suami Isteri Bergolak, Sila Waspada!

Setiap Kita Diberi Ujian Hidup Berbeza, Sentiasalah Bersangka Baik

Ikuti kami di di sini:

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Persiapan diri Hadapi Ujian

Bagi beroleh keseimbangan hidup, seseorang harus sedia untuk diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai bentuk ujian. Bila seseorang sedang beroleh kesenangan, ia harus sedia diuji dengan kesusahan. Bila seseorang sedang beroleh kesihatan tubuh badan, ia harus sedia diuji dengan kesakitan. Bila seseorang sedang menikmati kejayaan, ia harus sedia diuji dengan kegagalan.

Begitulah juga keadaan sebaliknya. Bila seseorang sudah biasa hidup susah, ia harus sedia diuji dengan kemewahan yang boleh ditakdirkan kepadanya pada bila-bila masa. Bila seseorang sentiasa berkedudukan (jawatan, pangkat dan sebagainya) rendah, ia harus sedia diuji apabila diangkat ke kedudukan yang tinggi dan berpengaruh.

Dengan kata lain, walau di mana situasi hidup seseorang, ia harus bersedia untuk melalui situasi yang sebaliknya dengan bekalan ilmu dan iman. Maka akan lahir ketenangan diri dalam menghadapi apa jua situasi, positif atau negatif.

Perintah Syukur Dan Sabar

Bagi menjayakan keseimbangan hidup ini, Allah SWT menjadikan syukur sebagai jalan kejayaan di waktu beroleh kesenangan.Kejayaan sebesar mana sekalipun, kedudukan setinggi mana sekalipun, bila individu sentiasa bersyukur maka keredhaan Ilahi akan menaungi kehidupannya.

Melalui syukur itu maka individu akan menyempurnakan amanah dalam hidup, menggunakan nikmat pada jalan kebenaran, menyantuni sesama manusia, sentiasa menyiapkan bekalan akhirat dengan nikmat kesenangan yang dimiliki.

Sabar Penyelamat Ketika Musibah

Jika syukur menjadi penyelamat ketika berada dalam kesenangan hidup maka sabar pula menjadi penyelamat sewaktu ditimpa musibah Selagi sabar jadi pegangan, musibah dan ujian dihadapi dengan pergantungan diri kepada Ilahi, kekal atas landasan syariat Islam yang diredhai.

Sabar mendorong individu kembali kepada Ilahi melalui taubat di atas segala kesalahan lampau, menjadikan-Nya sebagai tempat mengadu dan bergantung harap, kembali meletakkan usaha, ikhtiar, doa serta tawakal pada kedudukan sebenar.

Ganjaran Di Sebalik Ujian

Justeru itu, layaklah golongan yang sabar ini beroleh ganjaran mulia di sisi Allah SWT di atas kesabaran mereka melayari bahtera kehidupan duniawi yang sifatnya sementara serta penuh tipu daya demi mengharapkan ganjaran kehidupan ukhrawi yang hakiki dan kekal abadi.

Kehidupan muslim mukmin di dunia ini ada uniknya. Sepertimana maksud hadis Rasulullah SAW bahawa semua amalan mereka menjadi baik belaka. Bila mereka dianugerah kesenangan maka mereka bersyukur. Bila mereka diuji maka mereka bersabar. Begitu indah kehidupan ini bila Allah SWT tetap menjadi sandaran hidup di saat kesenangan mahupun kesusahan.

Sumber: Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi RMJ HOLISTIC SOLUTION

 

 

Published by
Nurul Azwa