Ujian Allah Itu Pun Satu Nikmat, Pahit Pada Awalnya Tapi Boleh Jadi Manis Bila Kau Berani Telan!

Share

Setiap manusia pastinya gembira setiap kali dianugerahkan nikmat dari Allah SWT. Tidak kiralah nikmat kesihatan, kekayaan atau pun kesenangan. Seperti mana nikmat Allah datang daripada pelbagai cara, begitu juga dengan ujian Allah. Ujian Allah datang tanpa diduga dan tidak tentu masa. Namun percayalah setiap ujian yang mendatang, pastinya ada hikmah di sebaliknya.

Kali ini seperti biasa aku tidak melepaskan peluang untuk pulang beraya bersama keluarga di kampung. Biar pun jalan sesak hingga memakan masa berbelas jam lamanya, aku sanggup gigihkan diri bersama anak-anak masih kecil pulang ke kampung tercinta, jauh nun di Jitra, Kedah.

Awalnya kami tidak merancang untuk pulang ke kampung memandang cuti pendek dan pasti bakal jem tahap “azab”. Namun sudah tersurat barang kali, akhirnya kami mengambil keputusan pulang juga beraya bersama keluarga. Memandangkan anak kedua dan ketiga kurang sihat, maka sedari awal aku persiapkan bekalan ubat-ubatan dari klinik pakar kanak-kanak berdekatan rumah untuk di bawa pulang bersama.

Rupa-rupanya perjalanan yang berjam-jam lamanya dalam kenderaan membuatkan anak ketiga ku, Addien, kembali demam dan batuknya makin parah. Pulang sahaja dari kampung dan suami pula pulang ke Johor untuk meneruskan kursus, aku membawa anak ku ke klinik.

Masuk sahaja ke bilik doktor dan melakukan pemeriksaan rutin, doktor mula gelengkan kepala. “Demam kuat, suhu tinggi, kahak pun banyak ni. Saya rasa ada jangkitan dan perlu ke hospital segera. “

Saat itu, otak terus berfikir bagaimana mahu tinggalkan tiga lagi anak ku yang masih kecil jika Addien perlu ditahan di hospital. Setelah melakukan perancangan sebaiknya, aku gagahkan diri membawa si kecil ke hospital dan memang tiada pilihan. Perlu diwadkan dan paling minima seminggu aku perlu berada di hospital menemani Addien.

Biar pun kalut, aku cuba menjadi perancang terbaik. Mujur suami, keluarga terutamanya, termasuklah kawan-kawan sepejabat tidak lokek menghulurkan bantuan. Di wad, walaupun sibuk menjaga anak yang sedang sakit dan perlukan perhatian 100 peratus. Aku tetap bersilat siapkan tugasan-tugasan yang terbengkalai.

Aku bersyukur kawan-kawan amat memahami dan memberi ruang secukupnya untuk aku siapkan bahan tanpa sebarang tekanan biar pun sampai ke tarikh akhir. Terima kasih semua. Ramai juga yang datang melawat sebagai tanda memberi sokongan agar ummi terus kuat hadapi ujian kali ini.

Jujur aku katakan, tidak sangka jika selama ini air mata ku mudah sahaja menangis dan bergenang apabila melihat anak kecil menangis di ambil darah berkali-kali. Kali ini langsung tidak terpalit perasaan sedih tatkala melihat anak sendiri disuntik berkali-kali. Ternyata Allah lapangkan dada dan hapuskan perasaan sedih serta gusar di dalam hati tatkala berhadapan dengan ujian sebegini.

Dia juga memudahkan anak yang bongsu agar tidur lena biar pun tidak berada di dalam dakapan umi tercinta kerana sedang menyusu ibu sepenuhnya. Biar pun Allah datangkan ujian, tetapi Allah permudahkan beberapa perkara supaya hamba-Nya tidak merasa terlalu berat bebanan yang ditanggung. Terima kasih Allah atas ujian kecil-Mu kali ini. Alahamdulillah kini Addien kembali sihat.

****Datanglah pelbagai bentuk ujian, sis tak kisah tetapi sis kisah kalau ujian berbentuk suami “gatai” …kikikiki…

Published by
Syazwani Mehat