Ucapkan Terima kasih Tanda BERADAB, Kalimah Magik Mampu Lunturkan Kemarahan

Share

Ucapkan TERIMA KASIH – nampak mudah tapi bukan semudah melafazkan. Apakah jadi amalan kita akan mengucapkannya bila menerima pertolongan/pemberian daripada orang lain?

Didik diri untuk sering mengucapkannya kerana banyak kebaikan tersirat di sebaliknya. Kalau kita ucapkan terima kasih, ada orang yang mungkin tengah marah akan sejuk hatinya..ada yang tengah penat, akan ringan penatnya. Selain itu, untuk mak ayah, ia juga secara tak langsung akan didik anak-anak kita untuk melakukan hal yang sama.

Dah Dididik Sejak Kecil

Apabila kita menerima sesuatu, adalah sangat beradab apabila kita mengucapkan penghargaan atas pemberian tersebut.  Ucapan “terima kasih” bukanlah satu ucapan yang baru kita dengar.

Ucapan “terima kasih” juga bukanlah satu perkara yang baru kita pelajari.  Kita sudah diajar sejak kecil lagi. Waima orang jahat pun mahu mendengar ucapan “terima kasih

” diungkap apabila mereka memberikan sesuatu kepada seseorang.

Ucapkan Kalimah Magik

Pada saya ucapan ini adalah salah satu dari ucapan magik yang dapat merubah perasaan orang yang mendengarnya. Saya pernah menulis tentang peri pentingnya ucapan ini.  Saya sering bercerita dalam program-program saya erti “terima kasih” baik dalam pengucapan atau dalam perlaksanaan. Bahkan saya pernah menulis tentang perlaksanaan terima kasih sangat penting dalam kehidupan.

Hari ini sekali lagi saya mahu bercerita tentang kefahaman saya tentang ucapan “terima kasih.”  Namun kali ini apa yang saya fahami tentang terima dan tentang kasih. Masyarakat kita sangat kaya dengan peradaban.

Pada saya, biar sejauh mana kita pergi… biar setinggi mana kita terbang… kita perlu sentiasa beradab. Waima dengan binatang pun kita perlu beradab kerana pada saya biarpun mereka tidak berakal tetapi itu tidak bermakna mereka tidak perlu dihormati.

Pengertian Di Sebalik

Terima kasih” pada saya adalah satu tingkatan peradaban yang tinggi jika seseorang itu mengerti intinya. Ada orang kerap mengucapkan “terima kasih.”  Ia sememangnya sesuatu yang bagus seandainya ia bukan satu kebiasaan yang tidak membawa apa-apa rasa.  Tidak dinafikan yang perbuatan ini jauh lebih baik dari mereka yang langsung tidak tahu mengucapkannya.

Pada saya ucapan “terima kasih” perlu hadir dengan perasaan.  Ini kerana sesuatu yang diberikan kepada kita itu hadir dengan perasaan. Tidak kira sama ada kita menerima sesuatu itu kerana kasihan, sayang atau boleh jadi atas alasan tidak puas hati

Lagi artikel di sini:

Impian Hidup Lepas Pencen Kena Ada, Suntik Motivasi Bahagia Suami Isteri

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Menerima Dan Tanda Penghargaan

Ianya tetap sahaja sejenis perasaan. Justeru, saya melihat ucapan “terima kasih” datang dengan dua perkara.  Pertama, kita menyatakan yang kita menerima apa yang diberikan kepada kita berserta dengan perasaan yang hadir.

Keduanya kita memberi kasih kita sebagai pulangan kepada pemberian tersebut.  Kita kerap mengucapkan “terima kasih” tanpa mahu memikirkan apakah dia sebenarnya “terima kasih.”  Kita kurang menghargainya apabila kita tidak merasa perasaan yang hadir dalam ucapan tersebut.

Ucapkan, Mampu Lunturkan Kemarahan

Ucapan “terima kasih” mampu melunturkan kemarahan.  Ucapan “terima kasih” mampu menghilangkan duka.  Ucapan “terima kasih” mampu membuat orang gembira.

Ucapan “terima kasih” mampu mengubah banyak situasi kerana kita menerima perasaan yang diberikan kepada kita tanpa mengira samada perasaan itu berbentuk negatif atau positif dan kemudiannya kita menyalurkan rasa kasih kita sebagai balasan.

Didik Rasa Sabar

Rasa kasih yang kita salurkan itu adalah pelebur nilai negatif dan penguat nilai positif.  Kata orang tua, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Maka setiap pemberian itu akan mengubah rasa dalam diri kita dan apa juga bentuk rasa yang kita terima perlu kita pulangkan dengan rasa kasih.

Memang ianya bukan sesuatu yang senang untuk dilakukan.  Tetapi ucapan “terima kasih” adalah cara paling mudah untuk menjadikan kita orang yang mempunyai nilai kesabaran yang tinggi.

Artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer, NFNLP, USA.

Published by
Nurul Azwa