Baru-baru ini status Dira Abu Zahar di Twitter yang menyifatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai ‘YB Budak-budak’ mendapat perhatian aktres Sharifah Amani.
Kenyataan Dira di Twitter dibalas oleh Syed Saddiq namun tidak habis di situ apabila Shaifah Amani dengan matang menegur tweet rakannnya itu. Amani berkata, dia berbangga apabila rakannya, Dira, mempunyai azam yang tinggi, namun tidak faham kenapa aktres berkenaan cuba menimbulkan kekecohan di laman sosial.
“Yelah kau kawan aku. Aku bangga bila kau berazam nak jadi pembangkang yang ‘power’. Buat keluarga kau bangga. Lindungi dan perjuangkan hak wanita dan penggiat seni tapi ‘part’ hang duk picit-picit phone cari pasal tu aku tak fahamlah. Orang tu nak tengok bola pun tak senang,” tulisnya.
Amani mengulas status Dira yang mempersoalkan kenyataan ahli Parlimen Muar itu yang meminta penjaga gol Liverpool disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas pasukan itu kalah menentang Real Madrid di Liga Juara-Juara Eropah pagi Ahad.
Dira yang juga exco Puteri Umno mempersoalkan sama ada status itu wajar ditulis oleh seseorang bergelar Yang Berhormat (YB).
Netizen turut mempersoalkan adakah seorang YB perlu bersikap serius sepanjang masa.
“Takkan 24jam nak kena tweet pasal politik dan benda serius. Semua tahu dia bergurau,” ujar netizen.
Bagaimanapun, Dira membalas bahawa dia juga tidak bercakap buruk tentang pemuda itu.
“Haa oklah, tak cakap buruk pun pasal dia. Yang budak-budak comellah kan?,” tulisnya.
Sementara itu, Dira bertanyakan kenapa dia tidak boleh membuat kenyataan seperti itu di laman sosial sedangkan orang lain boleh.
Bagaimanapun, Amani menjawab aktres berkenaan tidak perlu menyamakan dirinya dengan orang lain (netizen).
Dia juga meminta supaya Dira lebih fokus kepada perkara yang lebih besar dalam kehidupannya.
“Kau sama kan diri kau dengan orang lain? Kalau macam tu perdebatan kita sampai kiamat tak selesai.
“Kau ada perkara yang lebih besar untuk diberi perhatian. Jangan bandingkan diri dengan orang yang kau tak suka pun. Kau nak jadi macam diaorang ke? Kau lebih baik dari mereka,” tulisnya.
Pada akhir perbualan itu, kedua-dua selebriti ini mengambil sikap positif dan mahu menyambung perbualan mereka di aplikasi Whatsapp.