
Isi Kandungan
ToggleSetiap bulan dapat gaji, perkara pertama kena buat bukan berbelanja ya. Tapi simpan duit tu ke Tabung Haji. Kalau malas sangat pun nak ke bank, transfer online saja. Jimat minyak pun ya, paling tidak cuma bayar kos perpindahan duit yang tak sampai seringgit. Syaratnya kena pilih CIMBclicks.
Ayah anak 3, Mohd Ruzaini Bin Hashim ini berkongsi cara simpan duit ke Tabung Haji dengan CIMBclicks. Ikuti panduan secara tutorial bergambar.
Kenapa Kena Simpan Dulu Sebelum Belanja
1 . Simpanan TABUNG HAJI untuk diri, isteri dan anak-anak setiap hujung bulan secara AUTOMATIK dan ditolak terus dari akaun bank setiap bulan.
2. Sekali je setting untuk penolakan automatik secara berjadual setiap bulan melalui CIMBclicks.
3 . Rujuk gambar kerana disertakan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk set pemindahan secara berjadual.
4. Kenapa pilih CIMB (RM0.53). sebab murah dari maybank (RM1.06).
5. Kenapa nak tolak auto setiap bulan.. sebab takut terlupa untuk buat simpanan bulanan.
6. Kenapa tak tolak dari payslip terus .. sebab payslip nampak tak cun kalau tolakan banyak.
7. Kenapa tak nak pergi kaunter.. sebab online dapat jimatkan duit minyak, parking dan yang paling penting dapat jimatkan MASA..
8. Yang tak best guna CIMB ni duit yang ditransfer ke TH itu akan dikemaskini dalam masa 1-3 hari bekerja.. so jangan panik bila check duit tak masuk lagi dalam TH.. kene tunggu sehari dua ye.
*update terkini- tambahan langkah-langkah untuk set fav biller..
Langkah-langkah Untuk Set Pemindahan Secara Berjadual

1) Mula-mula click setting
2) Cara kedua, click scheduled transactions

1) Tekan butang select service
2) Nampakkan pay bill, haaa.. tekan situ – tabung haji ada di list bill

1) Pilih saving/current akaun anda
2) Click my favourites –
3) Anda boleh pilih dari favourite list akaun Tabung Haji anda (wajib set akaun ni dalam favourite dulu)
4) Jangan lupa click submit

2) Apabila dah masukkan nombor akaun, masukkan no IC
3) No telefon
4) Jumlah amount
5) Pilih tarikh mula
6) Selepas itu, pilih recur every month dan pilih berapa bulan hendak tolak
7) Sebelum ke langkah seterusnya, click update


Boleh check samaada schedule transaction ni berjaya atau tidak dalam ruangan schedule transaction under setting tab.
Langkah Tambahan Untuk Set Akaun Tabung Haji Sebagai Favourite Biller

1) Click my account
2) Seterusnya, click my favorites

1) Click biller
2) Kemudian, click add new bills

1) Masukkan nama lembaga Tabung Haji
2) Click next

1) Isi semua maklumat
2) Click next dan ikut arahan selanjutnya.
Sumber / Foto : Facebook Mohd Ruzaini Bin Hashim
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Ada ‘Orang Ketiga’ Dalam Rumah, Boleh Ke Suami Isteri Kekal Mesra?

Isi Kandungan
ToggleApa jadi bila kepercayaan dalam hubungan keluarga diserahkan kepada orang luar. Mungkinkah akan jadi eksploitasi ‘orang ketiga’ yang suka-suka ambil kesempatan dalam rumah anda?
Siapa ‘orang ketiga’ yang dimaksudkan ini? Jangan fikir macam-macam mak-mak, tak lain tentulah pembantu rumah atau orang gaji yang kita amanahkan untuk menjaga keluarga semasa ketiadaan kita.
Sebab itu jangan sembarang kongsikan rahsia keluarga dengan sesiapa pun. Baik pembantu itu rapat dengan kita. Sebab itu bila suami isteri yang menggunakan khidmat pembantu rumah, kenalah amalkan guideline ini.
Jadi tidak timbul masalah kehadiran ‘orang ketiga’ yang kita percaya selama ini membantu, rupa-rupanya terpesong lain niatnya. Prof Masya Dr Hj Mohd Nor Mamat berkongsi panduan menarik ini
10 Panduan Boleh Guna Agar Tak Wujud Skandal Orang Gaji Dengan Suami Kita
1. Kawasan Larangan Itu Wajib
Tidak dinafikan, ada sesetengah orang gaji mengambil kesempatan dengan melakukan perkara yang tidak elok. Contohnya skandal dengan tuan rumah.
Kita sebagai tuan rumah, perlu ada batasan dan limit dalam hubungan orang gaji dengan keluarga kita. Jangan biarkan semua urusan dilakukan oleh orang gaji.
2. Isteri Jangan Malas Uruskan Hal suami
Waktu-waktu tertentu, disiplinkan agar kita sendiri melaksanakan tugas hakiki kita sebagai isteri ataupun ibu bapa. Contohnya:
• Bilik tidur mungkin tidak perlu diuruskan oleh orang gaji.
• Waktu makan umpamanya, hanya anda dengan keluarga sahaja.
• Sebaiknya anda menghidangkan untuk suami.
• Elakkan pakaian dalam diuruskan oleh orang gaji kerana mungkin boleh menimbulkan menimbulkan perasaan dan tindakan yang negatif.
3. Jangan Sampai Suami Diurus ‘Orang Ketiga’
Skandal tidak berlaku sekiranya tidak disuburkan keadaan yang mendorong kepadanya. Tentukan urusan-urusan umum sahaja dilakukan oleh orang gaji. Jangan sampai suami anda juga diuruskan oleh orang gaji!
4. Orang Gaji Kena Hodoh? Betul Ke..
Ada orang berseloroh, kalau nak ambil orang gaji biarlah yang kuat dan rajin tetapi hodoh dan tua. Kalau ini keadaannya, mungkin tidak banyak urusan dalam rumah yang mampu dilaksanakan. Bagi lelaki atau suami pula, mungkin bersetuju jika orang yang bekerja di rumah itu sedap mata memandang.
Sebaiknya, anda perlu mengutamakan pemilihan orang gaji yang baik-baik, menepati tuntutan
dan berpegang kuat kepada agama. Sedikit sebanyak, ia mengurangkan pengaruh negatif terhadap suami.
5. Solat Bersama Jangan Ditinggal
Pastikan suami isteri atau ibu bapa mempraktikkan amalan agama terutamanya solat bersama-sama, imarahkan rumah dengan bacaan Al-Quran setiap hari dan mengamalkan cara hidup dengan batasan hubungan yang dituntut oleh agama.
Ini amat mujarab untuk menjadi pelindung kepada kita daripada terjadi sesuatu yang tidak diinginkan, apatah lagi rahmat dan sakinah.
6. Jangan Tinggalkan Suami Dengan Orang Gaji
Elakkan wujud situasi-situasi yang mendorong perkara negatif seperti meninggalkan suami bersama orang gaji atau membiarkan orang gaji ke sana sini bersama suami dan sebagainya. Urusan yang berbentuk peribadi, isteri haruslah menguruskannya sendiri.
7. Teruslah Bercantik-cantik Untuk suami
Optimumkan masa untuk lebih mesra dan memenuhi keperluan suami anda. Apabila sebahagian kerja rumah dilaksanakan oleh orang gaji, seharusnya anda lebih banyak masa untuk menjaga kecantikan, lebih seksi untuk suami anda, lebih banyak masa untuk bermanja dan lebih mudah mengikut kata suami.
8. Isteri.. Belajarlah Berterima Kasih Dengan Suami
Isteri perlulah lebih berterima kasih dengan penghormatan dan ketaatan kepada suami. Jika ini berlaku, suami akan lebih berasa bahagia dengan kewujudan isteri yang cantik, hormat, manja, seksi dan sebagainya menjadikannya tidak mudah terpengaruh dengan kewujudan orang gaji.
9. Anak-anak Pun.. Janganlah Bagi Terlalu Rapat Dengan Orang Gaji
Begitu juga dengan anak-anak, hendaklah anda mengoptimumkan masa sebagai ibu bapa yang prihatin dan penyayang, sahabat mereka yang memahami, sebagai guru yang mendidik mereka malah sentiasa ada untuk mereka. Elakkan anak-anak lebih cenderung dan rapat dengan orang gaji, berbanding ibu bapa.

10. Jangan Benarkan Orang Gaji Bawa Masuk Orang Luar Ke Dalam Rumah
Pastikan tempat tinggal dan keluar masuk orang gaji dalam rumah terkawal tanpa pergaulan bebas seperti yang dilarang dalam agama.
Jangan Sekat Kemesraan Suami Isteri
Kehadiran orang gaji sudah tentu menjadi penghalang buat suami isteri dalam menunjukkan kasih sayang dan sikap romantik. Tidak mustahil, sedikit sebanyak, ia pasti mengganggu hubungan mesra suami isteri, jika orang gaji yang ada dalam rumah bukanlah saudara dekat ataupun mahram suami anda.
Walau bagaimanapun, anda hendaklah bijak mengoptimumkan penggunaan masa keluarga
sebaiknya. Contohnya, perlu ada masa-masa keluarga yang tidak disertai oleh orang gaji, walaupun bukanlah sehingga mengetepikan orang gaji seperti orang asing.
Layani orang gaji dengan mesra tetapi perlulah dibezakan waktu intim suami isteri, waktu kekeluargaan dengan anak-anak dengan waktu biasa di rumah dengan kehadiran orang gaji.
Terlalu mesra sehingga menganggap sebahagian daripada ahli keluarga sendiri menyebabkan mudah tersilap faham dan tersilap jalin hubungan yang kemudiannya lebih sukar untuk menghilangkannya. Berwaspada itu lebih baik, namun janganlah sampai berprasangka kepada suami ataupun orang gaji.. orang ketiga yang menguruskan rumah anda.
Temuramah Bersama : Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM).
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Selepas Kahwin, Hidup Wanita Jadi Lebih Sukar Dan Tertekan?

Isi Kandungan
ToggleIngat seepas kahwin, bolehlah buat kerja rumah sama-sama dan kukuhkan ekonomi rumah tangga bersama. Rupanya tidak!
Kerja atau tidak, semua isteri yang buat. Belum lagi cerita lagi pasal kewangan yang tak berapa nak stabil. Asyik-asyik, bini yang topup. Allah… manalah isteri tak rasa tertekan!
Untuk jentik emosi suami isteri yang kadang hanyut dek kesibukan harian menguruskan rumah tangga, jemput baca perkongsian Ustazah Noor Laila Aniza Binti Zakaria, sebuah realiti dari sudut hati seorang isteri.
WANITA DAN TEKANAN
Selepas kahwin, lebih sukar kehidupan?
Jika ini sculpture yang dibuat, maka benarlah begini hidup wanita seluruh dunia digambarkan selepas berkahwin.
Kerana itu, disebutkan dalam pelbagai riwayat tentang mulianya akhlak Nabi sehingga Nabi uruskan dirinya sendiri, jahit baju,jahit kasutnya, siapkan makan keluarganya, Nabi buat kerja-kerja rumah, Nabi belai isteri-isteri baginda, Nabi bersihkan bekas haid isterinya, Nabi potong kuku isterinya, Nabi bantu ketika isteri Nabi naik unta sehingga Nabi letakkan pahanya ke tanah untuk dipijak isteri, Nabi paling banyak tersenyum, Nabi didik isteri dengan akhlak yang terbaik dengan perintah-perintah Allah, Nabi berlemah lembut pada isteri baginda, Nabi tak pernah tinggi suara pada isterinya bahkan Nabi tak pernah menjerit-jerit atau memaki hamun. Isteri Nabi juga diberikan pembantu untuk memudahkan segala urusan.
Bahkan Nabi orang yang paling banyak ibadah kepada Allah, paling sempurna imannya, paling rajin bekerja dan sangat jujur tidak pernah mengambil harta isterinya untuk tujuan peribadi. Allahu Akbar!
Jika sebegini high class akhlak Nabi dan layanan suami kepada isteri, selayaknya disebutkan Nabi, “Jika dibolehkan manusia sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suami”‘.
Dengan kata lain, selayaknya suami sebegini mendapat penghormatan dari isteri bukan sekadar kerana suami itu menafkahi isterinya,dan bukan sekadar kedudukan suami lebih tinggi dari isteri, tetapi disebabkan suami itu sendiri memuliakan isterinya.
Namun hadis ini disalah guna pakai untuk mengatakan kedudukan lelaki sebagai suami terlalu tinggi sehingga isteri perlu taat tanpa sempadan dan korban sehingga mati!
Satu kezaliman yang membunuh sifat kemanusiaan dalam rumahtangga itu sendiri.
Dan kesannya emosi wanita bercelaru dan sakit. Sehingga tekanan-tekanan itu membawa kegilaan dan anak tidak berdosa menjadi mangsa dibunuh, dicampak luar flat, ditikam, dikelar. Nauzubillahi minzalik.
Belum lagi beban emosi wanita itu dihenyak lagi dengan suami yang mengambil duit isteri, mencuri harta isteri, menyuruh isteri berhutang, berjanji akan bayar balik, bila diminta dikata mengungkit, tak bersyukur, tak boleh sabar, menetapkan pula itu ini isteri kena bayar dengan alasan isteri bekerja kenalah bersusah bantu suami, kaki lepak, keluar masuk rumah ikut suka, curang disebabkan isteri ak pandai melayan dan macam-macam rencah karenah kerana suami tidak diberi tanggungjawab sebagai lelaki yang perlu bersusah payah bukan sekadar mencari nafkah untuk isteri tetapi juga mengurus tadbir keperluan keluarganya dengan baik dan sabar.
Jika benar, seorang lelaki faham agama, pasti dan pasti akhlaknya seperti Nabi dan tiada seorang wanita akan terkoyak emosinya sebegini teruk. Dan tekanan-tekanan dari keluarga mertua, ipar duai sepupu sepapat, saudara mara, kawan-kawan, jiran tetangga dengan pelbagai rencah hentaman, pandai cakap, tukang mengajar, kecaman, suruhan, perintah, teguran kononnya mana boleh lelaki buat kerja rumah, mana boleh jaga anak, semua benda suami yang buat, habis isteri buat apa? Soalan yang tidak masuk akal, suami takut bini, suami kena guna-guna, isteri macam ni tak layak jadi ibu sebab tengok suami yang uruskan anak-anak. Allah… terbeban sangat tengok suami tu. Derita sungguh suami perkasa kena buat semua kerja rumah, isteri tak tahu tanggungjawab. Isteri tak bersusah payah dengan suami dan desakan-desakan ini juga yang menambah sakit mental wanita.
Belum cerita tentang isteri ceaser belah perut yang kadang-kadang terkoyak balik jahitan dan bernanah dalamnya akibat gerakan yang banyak dan angkat benda berat, bahkan bertahun pun tak hilang lagi sakit ceaser tu. Punya bertarung nyawa untuk suami. Belum lagi cerita perut berparut seribu dan perut lembik macam kain buruk akibat mengandungkan zuriat-zuriat suami, longgar sana longgar sini dan suami hanya pandai komplen.
Belum juga kisah terkuburnya cita-cita selepas kahwin dgn ‘hukum buatan manusia’, lepas kahwin, isteri kena ikut suami. Tanpa kompromi, tanpa berbincang, ikut sahaja.
Mulianya Suri Rumah
Seharusnya sebelum kahwin sudah jelas perancangan ke depan dan kesedian kedua-dua pihak supaya tiada sesiapa ditekan emosi. Jelas dan jujur. Jika tak sedia, jangan teruskan perkahwinan.
Nak sambung belajar, mak mertua kata tak perlu sebab perempuan lebih baik duduk rumah, mengasuh anak. Terkubur satu lagi hasrat dan cita-cita yang ditanam dengan semangat membara dari kecil hasil didikan ibu ayahnya. Anak perempuan siapa yang diperlakukan sebegini? Kezaliman apa sehingga dinafikan hak wanita untuk memperoleh apa yang dihajati dari kecilnya? Dunia apa yang dicorak untuk para isteri ini? Tekanan!
Mulia sungguh menjadi suri rumah, tetapi pastikan suri rumah yang merasa nikmat bahagia, bukan derita stres tekanan sehingga sakit mental dibuatnya! Allah…
Lalu dia diajar untuk redha, sabar, taat sedangkan tak cukup duit, ibu ayah perempuan pula yang kena tanggung bagi duit sebab suami tak cukup duit.
Isteri yang tiada pemilikan apa-apa, terkulat-kulat lihat apa orang lain ada sedangkan dia juga punya angan-angan dan impian. Nak bagi duit pada mak ayah yang membelanya dari kecil juga tak mampu.
Pemilikan isteri yang membunuh emosinya! Semua harap suami sedang suami tidak pula tak mampu memberi secukupnya bahkan berkira-kira pula! Ya Allah!
Ditambah suara-suara yang mengatakan isteri habiskan duit suami. Bahaya betul perkataan-perkataan jahat ini.
Sepatutnya Wanita Lebih Bahagia Selepas Kahwin
Sewajarnya selepas kahwin, lebih mudah hidupnya kerana lelaki meminangnya dengan janji untuk menjaganya, mengangkat martabatnya, melindunginya, meneruskan semangatnya untuk memperoleh cita-citanya dan perjuangannya.
Sama-sama bina cita-cita, sama-sama membangunkan antara satu sama lain, sama-sama bina keluarga, sama-sama didik anak. MashaAllah.
Sekalipun suami itu sangat baik, dibelanjakan hartanya untuk keluarganya, disiapkan tempat tinggal, makan pakai, dicebok anak-anak, dimandikan anak-anak, disuap makan, dibasuh baju anak isterinya, dia juga yang memasak, belum lagi dia dapat membalas jasa isterinya bertarung nyawa ketika melahirkan zuriat-zuriat untuknya bahkan zuriat-zuriat itu pula dengan rahmat Allah akan menjadi penolongnya ke syurga .
Suami juga tak pernah sekali pun gadaikan nyawa untuk melahirkan, antara hidup dan mati(mungkin ada suami yang kerjanya berisiko tinggi, itu tidak dinafikan), suami tak pernah hilang kecantikannya akibat tidur yang tak cukup, bentuk badan yang dah tak sama, lelah yang tak habis menyusu dan fikirkan sakit anak dan pelbagai ragam anak siang malam yang tak pernah habis.
Bagaimana selepas selesai bersalin, isteri juga yang dukung anak bahkan isteri juga basuh baju anak dan suami. Ya Tuhan…
Bila isteri dah sihat sikit, berjalan bersama, isteri juga yang dukung anak… alasan anak nak pada ibunya. Ke sana ke mari isteri gendong anak, suami jalan pegang hp di tangan. Ya Allah, berat bawa perut pun tak pernah habis rasanya. Suami hanya bawa diri. Relax je suami. Sakit pinggang membawa perut mengandung pun tak pernah habis lagi!
Inilah realiti, apabila kita tidak menyediakan anak-anak lelaki kita sebagai hero dan penyelamat, sebagai pelindung dan sanggup bersusah payah bekorban untuk anak isterinya tapi kita cerita pada anak lelaki kita, lepas kahwin ada org jaga dia, lepas kahwin lebih terurus hidupnya.
Berapa ramai yang bercerita lepas kahwin, kena jaga isteri dengan sempurna, isteri ini amanah, bantu isteri, buat kerja-kerja rumah, uruskan anak, jangan harap duit isteri, usaha sungguh-sungguh, jaga mak ayahnya, jadi laki-laki bermaruah, jaga solat di masjid/ surau / tempat azan dilaungkan, jaga Al-Quran setiap hari, jaga rumah tangga dan jangan khianat. Tidak ramai bukan?
Berapa ramai ambil tahu tentang impian isteri dan sama-sama usaha mendapatkannya atau setidaknya memberikan dia jalan lebih selesa untuk kehidupan rumah tangganya?
Malangnya, lelaki diajar menjadi Raja ,dan wanita diajar bekorban tanpa jemu.

Sehingga semua pakaian suami perlu dicuci, digosok, disediakan sehingga di mana letaknya stoking pun, kalau tak jumpa,isteri juga kena marah.Lelaki diajar makanan tersedia untuk dijamah, pinggan tak perlu cuci, rumah tak payah sapu, mop lagilah tidak, cadar katil tak payah tukar, masak tak payah, semuanya kerja orang perempuan.
Akhirnya isteri tarik muka, penat letih, tiada lembut lembut, hanya jerit pekik, marah tak tentu pasal, lalu dikatakan… “Oh isteri tak macam dulu, isteri derhaka, isteri tak memahami, isteri tak layak jadi ibu.
Suami, Tolonglah Faham Penat Lelah Isteri
Takutlah pada Allah. Berlebih-lebihlah suami dalam membuat tugasan-tugasan rumah. Berilah kerehatan dan belaian kepada isteri,cpenghargaan dan kasih sayang, urutan dan sentuhan, doa dan semangat, kerja keraslah untuk isteri anak-anak, bukan banyak komplen banyak marah, banyak tegur.
Takutlah kerana para suami akan menghadap Allah. Ikhlaslah dalam setiap khidmat pada keluarga. Nescaya, isteri akan jadi ibu yang penyayang, isteri penyejuk mata, manis wajahnya dan lunak kata-katanya serta pasti dia menghormati suaminya. Anak-anak penuh kasih sayang dan ceria, tidak murung dan memberontak.
Ajarilah isteri dengan didikan agama untuk memperbaiki Al-Quran dan solatnya.
Begitulah jika agama dipelajari, difahami, diamalkan. Tidaklah kita memandai-madai menzalimi wanita.
Jadilah wanita yang bersyukur. Sayangi suamimu dan berlemah lembutlah, rendahkan suaramu dan janganlah dikeluarkan kata-kata yang tajam. Tetaplah dalam kesabaran, doa, solat dan peliharalah auratmu, labuhkan tudungmu, longgarkan pakaianmu dan pakailah baju berlengan panjang. Nikmat mana lagi yang mahu engkau dustakan wahai wanita?
Berdoalah supaya bahagia sampai syurga paling tinggi dan bertaubatlah bagi yang menyakiti tanpa sedar. Berbincang & berubahlah.
Buat para isteri, tetaplah membantu suamimu untuk apa juga urusan kerja rumah dengan ikhlas dan bersyukurlah atas pemberiannya. Jangan jadikan suamimu tempat untuk ditengking jerkah, disuruh itu ini tetapi mohonlah pertolongannya dengan kata yang lunak dan baik. Bertolak ansur lah dalam urusan-urusan rumah tangga dan maafkan kekhilafan suamimu. Bertolak ansur dan belas kasihan adalah kunci untuk tidak mencari salah pasangan. Tetapi sama-sama sepakat, sama-sama membantu segala urusan rumahtangga.
Nota:
Pastikan tulisan ini dibaca dengan ilmu bahawa kisah ini berkaitan wanita dan tekanan. Janganlah dengan post ini, menghilangkan hormat isteri kepada suami tetapi bawalah berbincang. Tidak ada suami yang mahu isteri yang dinikahi tertekan. Cuma mungkin si suami terlepas pandang.
Tahniah untuk isteri yang ikhlas membuat kerja-kerja rumah kerana mencari redho Allah.
Tahniah buat suami-suami yang telah menjaga para isteri tuan-tuan dengan sempurna. Allah berkati hidup Tuan-tuan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Boleh Jatuh Hukum HARAM Kongsi Masalah Rumah Tangga Di Media Sosial!

Isi Kandungan
ToggleTak kiralah suami atau isteri, bukan semua perkara boleh dikongsikan di media sosial apatah lagi membabitkan hal rumahtangga. Bukan semua bersimpati dengan kita, malah ada yang bertepuk tangan gembira dengan situasi yang dialami.
Meluahkan ketidakpuasan hati dalam rumahtangga dan menceritakan masalah peribadi pasangan secara terbuka di media sosial adalah haram kerana boleh menyebabkan salah faham dan fitnah serta mengeruhkan lagi keadaan.
Pendakwah, Noraini Mat Din atau dikenali Ustazah Nony berkata, tindakan meluahkan perasaan dan memohon pandangan berkenaan rumah tangga di media sosial bukanlah jalan terbaik untuk suami mahupun isteri.
“Ini kerana kemudaratan yang lebih besar bakal berlaku daripada tindakan itu. Misalnya, keaiban pasangan dan ahli keluarga menjadi perbualan ramai. Salah faham dan sangka buruk turut boleh berlaku menyebabkan ramai yang menghukum tanpa mengetahui hal sebenar.
“Bimbang juga jika ada pihak yang mengambil kesempatan dalam situasi ini sekali gus menjadi punca kepada keretakan yang lebih besar, termasuklah boleh menyebabkan kecaman netizen dan menjadi sebab kepada mengumpat serta mencela beramai-ramai,” katanya.
Urus Konflik
Menurutnya, kesan daripada perbuatan itu, ia bukan sahaja memberi persepsi buruk kepada pasangan bahkan ia juga mengundang kepada reaksi negatif pelbagai pihak dan boleh membarah dalam masyarakat.
Justeru katanya, tindakan berkongsi masalah di media sosial berkenaan hal rumah tangga amatlah ditegah.
“Oleh itu, carilah jalan penyelesaian dan perdamaian dengan cara bersemuka antara satu sama lain dan bukannya melalui atas talian,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat pelbagai kaedah yang digariskan Islam kepada suami isteri sebagai persediaan menempuhi gerbang perkahwinan, antaranya ialah kematangan dalam kerangka berfikir pasangan berkenaan.
Menurutnya, ia merangkumi cara berfikir, membuat keputusan, perbuatan dan tindakan, komunikasi serta pergaulan.
“Suami dan isteri mestilah matang dalam berbincang, membuat keputusan, menjalankan tanggungjawab dan hak, menguruskan konflik dan menguruskan rumah tangga. Kematangan suami dan isteri ternilai daripada cara mereka menguruskan konflik,” katanya.
Kekalkan keharmonian rumah tangga
Menurutnya, Islam mengajar umatnya beberapa cara untuk kekal harmoni dan mengatasi masalah dalam rumah tangga.
“Pertamanya, berkomunikasilah. Suami dan isteri mesti memahami pasangan masing-masing.
“Contohnya, apabila suami tidak gemar tindakan isteri maka ajaklah berbincang dan mohon isteri membuat semakan dan tegurlah secara berhemah,” katanya.
Menurutnya, suami dan isteri juga perlu meningkatkan amal ibadat dan sentiasa saling menasihati berkenaan agama.

“Ibadah sempurna akan memandu rumah tangga sekali gus menjadikan hubungan sentiasa terjaga,” katanya.
TIP BAGI MEREKA YANG BERHADAPAN KONFLIK RUMAH TANGGA
* Suami dan isteri yang mempunyai masalah ataupun tidak, mesti saling berkomunikasi secara berhadapan.
* Komunikasi melalui atas talian tidak mempunyai nada, mimik muka dan sukar untuk dibuat penjelasan maka elakkan meregangkan kekusutan antara pasangan melalui atas talian.
* Suami dan isteri mestilah duduk berbincang terutamanya apabila berhadapan konflik rumah tangga.Melarikan diri, atau mewakilkan orang untuk berbincang dan menyelesaikan masalah sebenarnya tidak membantu meregangkan konflik bahkan boleh menyebabkan ia lebih buruk.
* Sekiranya perlukan orang tengah untuk membantu komunikasi dan perbincangan antara suami isteri maka ajaklah saudara. Sama ada daripada sebelah suami atau sebelah isteri atau kedua-duanya untuk memurnikan dan memberi pendapat, atau suami isteri boleh membawa hal ini berjumpa bahagian kaunseling rumah tangga.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat pasangan suami isteri, hati-hati dengan perkara yang dikongsikan di media sosial. Elakkan berkongsi masalah rumahtangga dan keburukan pasangan di laman tersebut, ia boleh menyebabkan salah faham dan fitnah serta mengeruhkan lagi keadaan.
Sumber: Sinar Harian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI