Syukur jika bulan Ramadan ini anda mampu kuatkan semangat untuk baiki penampilan dan gandakan ibadah. Namun bulan Ramadan adalah waktu yang cukup mencabar bagi anda yang mahu kuruskan badan.
Terutama menu berbuka biasanya lebih menarik jadi pilihan. Sekali singgah ke bazar Ramadan, pelbagai hidangan menarik cukup menggoda nafsu. Di sinilah perlunya kekuatan dalam diri untuk melawan godaan. Fokus kepada matlamat anda untuk mendapatkan tubuh yang langsing sepanjang bulan Ramadan. Ikuti tip-tip ini…
Kalau nak mengelakkan perut anda ‘terkejut’ dengan diet tiba-tiba dan drastik, jangan sesekali anda mengabaikan sahur. Jika boleh bertahan tanpa sahur sekalipun, pastikan anda tetap minum air kosong dan makan sekurang-kurangnya beberapa biji tamar. Penting sebagai bekalan tenaga untuk bekerja seharian.
Jika biasa bersahur dengan hidangan berat seperti nasi, apa kata tukarkan menu anda dengan dua keping roti dan secawan susu atau minuman bercoklat? Tidak lupa juga air kosong.
Sangat baik untuk sistem penghadaman dan melawas, ambil dahulu buah-buahan seperti epal hijau semasa bersahur. Ia juga tinggi serat menjadikan anda sukar lapar.
Awal Ramadan, masa paling mencabar. Jika hati tidak ‘kuat’, langkah pertama pasti kecundang. Mulalah terpedaya dengan hidangan-hidangan lazat apatah lagi ketika perut kosong. Elakkan ke bazar Ramadan jika bimbang‘tewas’. Jika yakin mampu mengawal nafsu, tiada masalah!
Elakkan kebiasaan menjadikan buah-buahan sebagai pencuci mulut dan ubah kebiasaan tersebut dengan menjadikannya sebagai pembuka selera. Anda juga cepat berasa kenyang.
Jika sebelum ini kuantiti nasi yang diambil agak besar, kecilkan. Benar, ketika berbuka nafsu selera boleh mengaburi tetapi kembali kepada asas. Nasi kira-kira dua ke tiga sudu, lebihkan sayur-sayuran dan sedikit sumber protein seperti ayam atau ikan.
Percayalah, dengan menghabiskan apa yang ada di dalam pinggan anda itu secara tenang dan perlahan-lahan, anda akan berasa cukup dan kenyang dengan kuantiti makanan tersebut.
Selepas berbuka, solat dan solat Terawih, tidak salah jika anda ingin nikmati kuih muih atau hidangan sampingan. Dengan syarat, cukup sekadar memenuhi keinginan bukan memuaskan selera. Jika masih lapar atau inginkan kudapan, jadikan buah-buahan sebagai snek!
Jika waktu berbuka anda jadikan minuman manis sebagai hidangan, seimbangkannya dengan air kosong. Bukan sahaja membantu mencegah penyakit kronik seperti kencing manis malah bagus untuk sistem perkumuhan badan.
Diet yang seimbang perlu dilengkapkan dengan senaman. Pasti tubuh mendapat berat idaman di samping langsing menawan.
Mudah sahaja, sebelum tidur atau bersahur apa kata anda lakukan bangkit tubi sekurang-kurangnya 20 kali (tingkatkan jika mampu), turun naik tangga (selang-selikan dengan berlari) atau lompat tali. Ia lebih baik daripada tidak melakukan sebarang senaman. Kalori berjaya dibakar malah perut juga akan rata.
Jika berkesempatan, lakukan aktiviti selepas waktu berbuka dengan acara sukan kegemaran bersama teman.
Pernahkah anda mendengar ada yang mengeluh bulan puasa berat badan semakin bertambah sedangkan sepatutnya ia berkurangan? Itulah puncanya. Seharian menahan lapar dan dahaga, tiba waktu berbuka semuanya dijadikan pembuka selera tanpa mengambil kira jumlah kalori yang telah diambil. Apatah lagi faktor keseimbangan zat tidak langsung dihiraukan.
Nak petik juga penampilan ketara salah seorang pengacara dan pelakon popular, Sherry Alhadad, yang mana beliau dapat berasakan perubahan pada dirinya apabila berat badan semakin menyusut. Kerjanya bukan hanya berdiri dan bercakap kerana ada masanya dia perlu menari dan berlakon. Sekarang, dia tidak lagi tercungap-cungap ketika mengadakan persembahan.
“Jangan juga fikir saya kurus sebab mahu cantik dipandang mata. Saya sebaliknya tidak pernah ada perasaan malu bertubuh gempal. Bagi saya, cantik itu subjektif dan orang gemuk juga boleh tampak cantik jika pandai bergaya.”
“Jangan juga fikir saya kurus sebab mahu cantik dipandang mata. Saya sebaliknya tidak pernah ada perasaan malu bertubuh gempal. Bagi saya, cantik itu subjektif dan orang gemuk juga boleh tampak cantik jika pandai bergaya.”
Berkongsi mengenai tip atau cara yang diamalkan, Sherry atau nama sebenarnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad memberitahu banyak perkara sebenarnya yang perlu dikorbankan kerana ini bukan usaha mudah.
Selain rutin bersenam dia juga perlu membuang rasa malas dan tidak boleh berfikir untuk menyambung tidur saja. Dia juga gemar minum Milo, tetapi perlu dikurangkan kerana ia mengandungi gula yang tinggi.
“Ibarat perlu berpisah dengan teman lelaki kerana ia adalah minuman kegemaran,” luah Sherry.
Haa… lepas ini mungkin dah boleh kontrol minum milo perlahan-lahan. Sempat lagi nak kuruskan badan sebelum raya. Lagi pun dalam Islam sendiri ditegah makan secara berlebihan, bukan?
Jadi, bulan Ramadan boleh dijadikan permulaan untuk anda memulakan kehidupan sihat di samping ibadah puasa menjadi keutamaan. Jika konsisten selama sebulan anda mampu menurunkan berat sehingga sepuluh kilogram dalam masa 30 hari.