Tukar Duit Raya, Haram Caj ‘Tolong Tukarkan’, Ada Unsur Riba, Kena Tahu Hukum Hakamnya!

Share

Tukar duit raya. Ini salah satu perkara wajib yang kita akan buat bila tiba ahari raya. Nak beri duit raya bukan pada mak ayah tapi anak saudara, ahli keluarga dan tetamu kecil yang datang ke rumah.

Biasanya dua minggu atau seminggu sebelum raya, inilah masa untuk tukar duit raya. Kalau boleh mestilah nak duit baru yang biasa bank-bank akan keluarkan khas untuk hari raya.

Memikirkan nak beratur panjang semata-mata nak tukar duit raya, ada daripada kita lebih rela minta kenalan tolong tukarkan. Tak kurang juga yang ada mengambil kesempatan dengan mengenakan caj sebagai upah.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Mak Ayah Pakai Duit Raya Anak, WAJIB GANTI Kecuali Kegunaan Anak Itu Sendiri

Mudahnya, Boleh Tukar Duit Raya Baru & Wangi Di Mesin ATM

Tukar Duit Raya, Kenakan Caj, Ada Hukumnya!

Ada beberapa senario yang perlu kita tahu bila tukar duit raya. Mungkin cara kita itu boleh membawa kepada isu riba, jatuh haram kalau ikut hukumnya.

Macam mana nak tahu ada isu riba dalam tukar duit raya ini, ikuti perkongsian daripada Ustaz Lariba ini.

Tukar duit raya, dengan maksud kita bagi RM500 duit terpakai kepada seseorang, dan kita dapat duit baharu RM500 dalam denominasi tertentu seperti RM10, atau RM20, adalah tertakluk kepada hukum hakam al-sarf.

Oleh sebab tukar duit raya melibatkan item ribawi iaitu wang kertas, dan melibatkan dua item yang sama iaitu ringgit ditukar dengan ringgit, maka WAJIB menepati dua syarat:

1. Penyerahan duit terpakai dengan duit baharu berlaku dalam satu sesi/majlis tanpa penangguhan. Jika ada penangguhan maka berlaku RIBA NASA’;

2. Pertukaran hendaklah dengan kadar yang sama, tanpa ada lebihan. Jika ada lebihan maka berlaku RIBA FADHL.

Mari kita aplikasikan dua syarat di atas pada senario-senario di bawah:

Senario 1:
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
A serahkan duit terpakai kepada B pada hari ini, kemudian B serahkan duit baharu pada keesokan harinya.
Hukum: Haram kerana berlaku riba nasa’ sebab ada penanggguhan (melainkan guna Senario 4).

Senario 2:
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
B bersetuju dan mengenakan caj RM10 ke atas A.
Lalu A membayar RM1010 duit terpakai, dan B menyerahkan RM1000 duit baharu.
Hukum: Haram kerana berlaku riba fadhl sebab pertukaran dengan jumlah yang tak sama.


.

Senario 3:
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
A mewakilkan C untuk menukarkan duit dengan B.
C sebagai wakil mengenakan caj sebanyak RM10 ke atas A.
A menyerahkan RM1010 kepada C, dan keesokannya C membayar RM1000 kepada B, dan B membayar RM1000 duit baharu kepada C.
C kemudian menyerahkan RM1000 duit baharu itu kepada A.
Hukum: Harus, kerana tidak berlaku riba. Kelewatan antara A dan C adalah kelewatan dalam bab wakalah (jadi wakil).

Manakala transaksi al-sarf berlaku antara B dan C tanpa penangguhan.
Lebihan RM10 juga adalah berlaku dalam bab wakalah sebagai upah wakil atas sebab A mengetahu dan bersetuju dengannya. Manakala dalam akad al-sarf tidak berlaku sebarang lebihan.

Senario 4:
Maslan ingin menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada Bank XYZ.
Maslan mempunyai seorang kawan, bermama Awang yang bekerja di Bank XYZ tersebut.
Maslan menyerahkan duit RM1000 kepada Awang pada waktu pagi sebelum Awang pergi kerja.
Di Bank XYZ, Awang menukarkan duit Maslan di kaunter tukar duit raya.
Pada sebelah petang, Awang menyerahkan duit raya kepada kawannya Maslan.
Hukum: Tidak ada masalah sekiranya pertukaran duit raya oleh Awang di Bank XYZ berlaku secara tunai.

Ini kerana ketika Maslan menyerahkan duit kepada Awang, Awang bukan di atas kapasiti pegawai Bank, kerana tukaran duit raya di bank hanya berlaku di kaunter. Jadi ketika Maslan serah duit kepada Awang, ia adalah wakalah.


.

Senario 5:
A ingin menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
A meminta B datang ke tempatnya untuk membuat pertukaran.
B bersetuju dan meminta A membayar kos dia datang ke tempat A.
B lalu menaiki Grab dengan caj RM5.50 dan sampai ke tempat A, lalu berlaku pertukaran RM1000 duit terpakai dengan RM1000 duit baharu.
A membayar caj Grab sebanyak RM5.50 kepada B.
Hukum: Diharuskan, kerana bayaran caj Grab adalah kos sebenar yang dibayar oleh B untuk datang ke tempat A atas permintaan A.

Semoga bermanafaat.

Jauhi dosa besar riba. Jauhi daripada berperang dengan Allah SWT dan RasulNya. Insya Allah…

Nota Lariba: tak tau tak pa, dah tau buat cara yang betul ya…

Dipetik drp FB Ustaz Lokmanulhakim Hussain

Mingguan Wanita : Jangan ambil mudah. Nampak perkara ini biasa saja tapi kena tahu hukum hakamnya terutamanya yang kenakan caj lebih sebab tolong tukarkan.

Sumber: Ustaz Lariba

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Published by
Nora