Tukar dugaan jadi motivasi, berkorban kena bijak jangan sampai aniaya diri! Secebis kisah benar yang boleh kita jadikan pengajaran dan renungan bersama.
Kita selalu dengar orang tua kata, jadilah seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Dalam konteks ini, memang tragis apabila seseorang terpaksa mengorbankan diri untuk kebahagiaan orang lain.
Tanya sendiri sendiri. Betulkah anda benar-benar sangggup berbuat demikian? Sanggup hilang segalanya asalkan orang lain bahagia. Bukankah situasi ini tidak adil untuk anda. Bagi saya, bagus melakukan pengorbanan tetapi biar dengan cara yang bijak.
Dalam hidup ini, kita sentiasa mempunyai pilihan. Dalam setiap saat, kita mempunyai pilihan termasuk perkara yang remeh seperti hendak makan dulu atau mandi? Kita perlu membuat keputusan untuk meneruskan kehidupan.
Walaupun untuk perkara yang remeh atau mudah, kita mesti melatih diri membuat keputusan bijak dan yang paling tepat. Ini kerana setiap keputusan yang kita buat mempengaruhi kehidupan kita selepas itu.
Misalnya ketika mahu memulakan perjalanan ke tempat kerja. Kita mempunyai dua pilihan samada melalui lebuh raya atau jalan biasa. Mungkin ketika itu, kita fikir mahu jimat duit tol lantaran kita memilih melalui jalan biasa.
Namun kita terperangkap di dalam kesesakan jalan raya, minyak kereta juga ‘parah’. Akibat keputusan yang kurang tepat ini, kita lambat ke tempat kerja dan mengalami tekanan. Ini antara contoh yang boleh kita lihat dengan jelas akibat keputusan yang dilakukan.
Baca sini
https://www.mingguanwanita.my/selesaikan-masalah-jangan-lari/
https://www.mingguanwanita.my/kerana-mulut-mak-ayah-anak-boleh-rosak/
https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
Begitu juga ketika kita membuat keputusan untuk melakukan pengorbanan. Pertama, betulkan nawaitu. Pastikan pengorbanan yang dilakukan kerana Allah bukannya mahukan pujian daripada manusia.
Analisis pilihan yang ada agar ia membantu anda membuat keputusan bijak. Saya teringat dengan satu kisah teman rapat. Ketika ibu bapanya bercerai, dia masih di bangku sekolah rendah. Adik-adiknya masih kecil. Sebagai anak sulung dalam keluarga, dia membuat keputusan untuk tinggal bersama ayah.
Manakala adik-adiknya tinggal bersama ibu. Dia sedar pengorbanan ini begitu besar, dia akan berdepan dengan kerenah ibu tiri dan terpaksa berjauhan dengan ibunya serta adik-adik. Keputusan ini dibuat kerana mahu mengurangkan beban ibunya dan dalam masa yang sama tidak ingin juga melihat ayahnya sunyi.
Dia jelas kehidupan yang dilalui tidak indah. Sejak dari awal, dia sudah persiapkan mental, rohani dan fizikal untuk berdepan dengan ujian. Pengharapan yang paling tinggi diletakkan kepada Allah. Setiap hari, dia berdoa agar menjadi insan yang berjaya agar dapat membalas jasa kedua ibu bapanya.
Kerenah ibu tiri benar-benar menguji kesabaran, walaupun dalam usia yang masih mentah dia berjaya mengawal emosi. Dia tidak putus berdoa kepada Allah agar segalanya dipermudah. Saat ibu tirinya mahu memberhentikan dia sekolah, dia tidak goyah. Dia sudah pasak di hati mahu menamatkan pelajaran dengan cemerlang.
Dia tidak minta wang daripada ayahnya yang ketika itu ‘dikawal’ ketat oleh ibu tiri. Ketika teman-teman bermain dan bersantai, dia sekali lagi berkorban. Dia bekerja sambilan mengambil upah membasuh pinggan di kedai makan ketika cuti sekolah. Gaji inilah yang digunakan untuk membeli buku tambahan agar dapat mengulangkaji dengan lebih baik.
Dia menjeruk rasa dengan sikap orang di sekeliling yang menuduhnya bukan-bukan. Ketika itu, teman saya ini tidak tunduk dengan dugaan. Dia mengambil keputusan untuk menjadikan dugaan sebagai motivasi untuknya berjaya.
Setiap kali cuti sekolah, dia bekerja sambilan. Ibu tirinya tidak dapat berkata apa-apa lagi kerana dia tidak menyusahkan sesiapa untuk meneruskan pelajaran. Di sekolah, teman saya ini tidak memilih untuk bercinta. Dia juga membuat keputusan untuk tidak libatkan diri dengan pelajar nakal sebaliknya mengisi masa terbuang dengan aktiviti berfaedah.
Pengorbanan bertahun-tahun ini yang disulami dengan usaha gigih dan doa kepada Allah membuahkan kemanisan. Dia berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Alhamdulillah, dia menamatkan pengajian dengan cemerlang dan mendapat pekerjaan yang baik.
Adat manusia, apabila sudah berjaya ramai yang mendekatinya. Dia masih lagi berkorban, wang ringgit diberikan kepada ibunya untuk menyara adik-adik belajar. Walaupun hatinya pernah terluka dengan segala perbuatan tidak baik ibu tiri, namun dia mengambil keputusan untuk memaafkan segalanya.
Dia berkorban perasaannya demi kebaikan. Dia mahu menjaga ikatan silatulrahim. Ketika hatinya sakit, dia tidak mudah meluah rasa kepada ibunya. Dia tidak mahu ibunya susah hati dan rasa bersalah dengan apa yang berlaku. Dia mengambil keputusan untuk mengadu segala penderitaan kepada Allah. Aibnya terpelihara dan Allah melorongkan jalan terbaik kepadanya untuk menjadi insan berjaya.
Banyak yang boleh kita pelajari daripada kisah ini. Pengorbanan yang bijak membentuk kita menjadi insan yang cekal, matang dan berjiwa kental. Pengorbanan ini juga membantu kita menjadi individu yang mempunyai kemahiran, berdikari, sabar dan mendorong kita berusaha lebih gigih.
Dalam kehidupan memang kita perlu berkorban namun lakukan pengorbanan ini dengan bijak. Buat keputusan yang tepat agar tidak merugikan diri kita. Orang yang disayangi bahagia, kita juga gembira dan berjaya. Bukankah lebih indah dan bererti pengorbanan begini?
Bebel sebab sayang. Bebel sebab amanah. Sayang semua.