Pagi ini, Dr Maszlee Malik meluangkan waktunya di SK Setiawangsa Kuala Lumpur. Menyambut kedatangan anak-anak sekolah rendah ini, kembali ke sekolah.
Tampak ceria, beliau melayan anak-anak ini. Siap membuat ‘high five’ dengan anak sekolah ini. Guru-guru yang menyambut kedatangan pun turut merasai momen ceria pagi itu.
Malah, beliau sempat menitipkan pesan di instagramnya, ditujukan khas untuk anak-anak ini, ibu bapa malah guru-guru.
Kongsinya,
Kepada anak-anak semua, pakcik ucapkan selamat kembali ke sekolah. Ingatlah, sekolah ialah tempat yang paling seronok, dan tempat kita mengumpulkan banyak kenangan. Selalulah ikut cakap cikgu, dan selalulah bertanya soalan dalam kelas.
Kepada cikgu-cikgu semua, selamat mengajar kembali. Terima kasih kerana terus cekal mendidik anak bangsa, tanpa mengenal sedikit pun erti penat lelah.
Kepada ibu dan bapa, terima kasih kerana menghantarkan anak ke sekolah. Teruslah mendoakan kesejahteraan mereka. Percayalah, anak-anak kita semua ialah anugerah yang sangat istimewa. Usahlah terlalu risau keadaan mereka di sekolah, Insya-Allah cikgu-cikgu akan menjaga mereka dengan baik.
Ternyata itulah amanat terakhir yang dikongsikan beliau, sebelum pada petangnya, Dr Maszlee Malik mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Januari ini.
Selepas 20 bulan berkhidmat, ternyata pengumuman yang beliau kongsikan ini memberi kejutan besar kepada ramai pihak di permulaan tahun baru 2020 ini.
Jelasnya lanjut ketika sidang media khas,
“Saya dengan taat setia dan reda walaupun berat, dengan nasihat ayahanda Perdana Menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa pada 3 Januari 2020 (esok).
“Keputusan ini dibuat selepas saya dilihat bukan melalui pencapaian. Kementerian Pendidikan sering jadi perhatian terutama media bukannya melalui pencapaian kita, apa yang berlaku selama 20 bulan ini yang tidak dicapai pada tahun (kepemimpinan) sebelum ini.
“Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepemimpinan terutama membabitkan isu tulisan Jawi, internet sekolah dan sarapan percuma, dan saya percaya keputusan ini bukan pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan baharu.”
MW : Walau pun seketika, pembaharuan yang dibawakan oleh Dr Maszlee Malik pada sistem pendidikan negara amat besar maknanya. Tahniah YB!
Sumber/Foto : Maszlee Malik, Berita Harian