Tugas Sebagai Pegawai Fisioterapi, Farhanah Kena Banyak Bersabar Dengan Karenah Pesakit

Share

Bekerja dalam bidang perubatan adalah sesuatu yang sangat mulia. Apatah lagi waktu bekerja yang tidak menentu. Walaupun keadaan sekarang sudah jauh berubah dan dunia perubatan kini dilengkapi pelbagai peralatan dan kaedah moden namun kerjaya di hospital tetap mencabar dan amat menuntut kesabaran yang tinggi terutama  ketika melayani pesakit.

Dek kerana ini juga, bidang ini lebih dimonopoli wanita kerana mereka lebih sabar dan tekun dalam menjalankan kerja yang memerlukan kesabaran yang tinggi. Bagi ruangan Srikandi kali ini, penulis berkesempatan menemubual Pegawai Fisioterapi yang bertugas di Hospital Pakar An Nur, Bangi yang bernama Farhanah Muhammad Fadzil, 30.

Menerangkan tentang kerjayanya, Farhanah menerangkan bidang fisioterapi merupakan salah satu cabang dalam perubatan.

“Fisioterapi adalah singkatan bagi fisio iaitu fisiologi yang membawa makna fungsi dan terapi sama maksud dengan penjagaan. Jadi makna fisioterapi ialah penjagaan atau pemulihan kefungsian. Di Malaysia fisioterapi dikenali sebagai jurupulih perubatan anggota atau pegawai pemulihan perubatan (anggota).

“Jurupulih Perubatan (Anggota) adalah satu kerjaya yang memberi penekanan kepada aspek penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan penilaian, pengendalian dan pemulihan fungsi fizikal dan pergerakan tubuh manusia,” terang Farhanah yang juga anak ketiga daripada empat beradik.

Bantu Pesakit

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Fisioterapi, UiTM dan Diploma Fisioterapi, UiTM, wanita yang berasal dari Damansara Utama akui penglibatannya dalam kerjaya badan beruniform adalah untuk menjadi sebahagian daripada profesional dalam bidang perubatan untuk merawat pesakit

“Sebagai matlamat utama seorang ahli fisioterapi ialah bagi membantu pesakit untuk mengembalikan dan memastikan setiap fungsi fizikal pesakit berada pada tahap yang tinggi dan dapat difungsikan dengan sebaik mungkin. Tumpuan utama kepada pergerakan terkawal dan seimbang, peningkatan tenaga dan stamina untuk kebolehan bergerak yang lebih baik,” sambungnya.

Farhanah juga menerangkan sebagai Pegawai Fisioterapi dia juga bertanggungjawab untuk membuat penilaian dan menentukan perancangan program rawatan untuk pesakit.

“Saya membantu merawat dan meningkatkan aktiviti kendiri pesakit. Saya juga turut membantu mengelakkan komplikasi paru-paru dan mengajar mengenai senanam kepada pesakit yang perlu dilakukan di rumah,” ungkap Farhanah yang semakin jatuh cinta dalam bidang Fisioterapi mula bekerja dalam bidang ini.

Farhanah seorang yang begitu rajin.

Praktikal Di Tujuh Buah Hospital Kerajaan

Farhanah juga mendedahkan semasa menjadi pelajar dia sudah didedahkan kerjaya di hospital yang cukup mencabar.

“Saya mendapat pendedahan awal semasa menjadi pelajar di UiTM selama lima tahun, pengalaman semasa latihan praktikal di tujuh buah hospital kerajaan. Dari situ diasah kemahiran dan keyakinan diri untuk merawat pesakit.

“Syukur alhamdulillah kini saya sudah bekerja selama lima tahun lebih. Paling mencabar waktu bekerja di hospital tidak menentu. Sememangnya saya perlu seimbangkan masa antara kerjaya dan keluarga.

“Jadi masa saya bersama keluarga adalah sewaktu saya cuti. Sememangnya saya akan habiskan masa berkualiti ini bersama keluarga tercinta,” kata Farhanah.

Ditanya tentang pengalaman pahit dan manis sepanjang bertugas. Farhanah akui banyak yang ditempuhi. Namun itu semua merupakan asam garam dalam kerjaya.

“Banyak pengalaman manis tapi pengalaman pahit sebenarnya yang menjadi pendorong untuk saya berjaya. Saya seronok bila dapat membantu pesakit, apatah lagi bila tengok mereka pulih seperti sedia kala.

“Sememangnya kerjaya saya cukup mencabar ini kerana pesakit meletakkan harapan yang tinggi untuk pulih dalam masa terdekat. Contohnya pesakit tak nak buat exercise tapi nak pulih cepat. Tapi kesabaran menjadi kunci dalam diri saya. Setiap yang saya hadapi saya akan harungi dengan sabar dan karenah pesakit merupakan satu cabaran terbesar buat saya.

“Apapun di Hospital Pakar An Nur kami amat menitikberatkan soal aurat dan penampilan diri Muslimah. Malah kami juga adakan program usrah dan tazkirah yang sentiasa memberi peringatan kepada diri sendiri.

“Antara ciri-ciri yang perlu ada untuk menjadi seorang unit badan beruniform saya amalkan berdasarkan nilai murni yang diterapkan oleh Hospital Pakar An Nur iaitu prihatin, amanah, kerjasama, akhlak dan profesionalisme. Selain itu saya juga menitikberatkan disiplin dan sentiasa menjaga kebersihan diri,” sambungnya.

Aktif Dalam Aktiviti Kecergasan

Farhanah turut menerangkan dalam mengekalkan stamina semasa bertugas dia mengamalkan aktif dalam aktiviti kecergasan .

“Bila ada masa luang saya akan aktif lakukan senaman seperti berjogging, berenang dan menari zumba. Dengan aktiviti sebegini badan saya akan cergas dan bila waktu bekerja saya tida kakan terlalu letih kerana memiliki stamina yang tinggi.

“Bukan itu saja dengan aktiviti kecergasan juga saya dapat bertemu dengan rakan-rakan dan luangkan masa dengan mereka. Selain aktiviti sebegini saya juga amat menitikberatkan penjagaan pemakanan. Pada saya dengan menjaga makan saya dapat mengawal pengambilan gula dan lemak jadi saya dapat kekalkan keseimbangan badan dan akan terus sihat dan cergas,” akhiri Farhanah.

 

Published by
Norhayati Suboh