Tuan Suami! Berilah Ihsan Giliran Raya Pada Isteri, Agar Bahagia Hatinya

Wahai tuan suami, walaupun keputusan mutlak itu ada di tangan anda, janganlah bertindak kejam. Berilah ihsan giliran raya untuk isteri anda. Tahun ini rumah keluarga suami, tahun depan rumah keluarga isteri dan seterusnya.

Kerana selama bergelar isteri, dia pun tak pernah berkira dengan suaminya. Isteri memasak, mengemas, bantu suami cari pendapatan lebih agar suami pun rasa tenang dalam rumah tangga. Agar tidak perlu lagi suami, sakit kepala memikir kewangan keluarga sendirian.

Jika, hal sebegini pun suami lambat nak ‘pick up’, eloklah baca apa yang dikongsikan Puan Marliya Ramli ini. Moga terang benderang hati itu untuk berlaku adil dengan keinginan isteri. Lagi-lagi bila tibanya musim raya. Jangan buat hati isteri sedih.

Hati Seorang Isteri..

Raya mana tahun ni? Tanya akak berbasa basi.
Di kampung suami… Jawab dia.
Oooo… Seronok la kan? Raya di kampung, meriah!
Meriah tu memang meriah. Tapi kalau dah tujuh tahun kawen, tujuh kali beraya di rumah mertua, dah tak rasa seronoknya.. Jawab dia perlahan.
Dan akak diam. Tak berani lagi nak berbasa basi.

Apalah Salahnya Kalau Buat Sistem Giliran Raya

Suami yang dirahmati Allah,

Kalau akak cakap, nanti anda marahkan akak. Tapi, apalah salahnya kalau buat sistem giliran raya? Tuan berikan ihsan kepada isteri.

Akak faham.

Wajib bagi isteri patuh kepada suami. Wajib bagi isteri berada di sisi suami.

T.E.T.A.P.I….

Ads

Isteri mengahwini Tuan yang perkasa bukan atas sebab mahu meninggalkan keluarga. Tapi kerana atas dasar satu perkataan iaitu CINTA.

Namun, cinta adalah perasaan yang perlu dipupuk. Perlu dibaja. Disemai hingga mekar. Atau jika dibiar tandus, lama kelamaan hilang.

Akak cadangkan berilah ihsan kepada isteri. Bergilirlah pada raya pertama. Tahun ini bersama keluarga Tuan, tahun depan bersama keluarga mertua.

Bagaimana ibu bapa Tuan merindukan anak-anak pada Hari Raya, begitulah keluarga mertua. Mereka merindukan anak mereka juga.

Tidak ada ibu bapa yang mengahwini anak gadis mereka agar mereka tidak perlu berjumpa lagi. Tidak ada.

Ya… akak harap Tuan berilah ihsan giliran raya. Seperti mana isteri Tuan memberikan ihsan di dalam rumah tangga.

Ads

 

Tuan Suami! Berilah Ihsan Giliran Raya Pada Isteri, Agar Bahagia Hatinya

Fahamkan Senarai Ihsan Isteri Untuk Suaminya

Apa tugas suami? 
Memberikan nafkah zahir batin termasuklah kebahagiaan emosi. Dan sebagai balasannya isteri memberikan taat setia kepada suami.

Ya, isteri hanya perlu berikan taat dan juga setia. Tidak wajib isteri memberikan lebih daripada itu walau seinci. Bukan akak yang cakap, tapi Allah yang perintahkan.

Namun kerana cinta, isteri Tuan memberikan ihsan dalam rumah tangga. Selain taat dan setia, isteri Tuan memberikan ihsan.

Jika Tuan terlepas pandang, izinkan akak meletak senarai ihsan seorang isteri :

Ads

1 – menyusukan anak-anak
2 – mengemas rumah
3 – memasak makanan
4 – membantu menyiapkan anak ke sekolah
5 – mengemop lantai
6 – mencuci, menyidai, melipat dan iron pakaian
7 – ada yang bantu bayarkan bil TNB
8 – ada yang belikan anak susu
9 – ada yang bantu bayar kereta
10 – ada yang buat business online untuk tambah wang keluarga
Dan lagi… dan lagi… dan lagi…

Seribu satu ihsan yang isteri beri buat suami. Walaupun semua itu bukanlah tanggungjawab isteri, namun isteri berikan ihsan atas nama cinta.

Maka…

Tuan berilah satu ihsan buat isteri iaitu giliran raya. Mulakan dengan tahun ini. Nescaya, isteri akan amat hargai.

Memang benar…

Tugas isteri adalah taat kepada suami. Namun apa gunanya taat jika HATI ISTERI tidak dimiliki. Apa gunanya memiliki jasad tetapi hati isteri mati?

Salam sayang ampun maaf dipinta.

Sumber/Foto : Marliya Ramli

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI