Pemain gitar profesional, Wan Radzie atau Eddy Wan Othman 30, meninggal dunia di kediamannya, di Gombak, kelmarin dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.
Turut terkorban dalam insiden tersebut ialah kakaknya, Wan Zunira, 32, sementara anak saudaranya yang berusia tiga tahun, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang.
Berita Duka Dikongsi Abang Allahyarham Eddy
Berita duka tersebut dikongsikan abang Allahyarham iaitu Wan Razmie Wan Othman menerusi laman Facebook miliknya.
“Dukacita dimaklumkan bahawa kedua adinda saya, Wan Zunira dan Eddy Wan Othman sudah berpindah alam menghadap Ilahi malam tadi.
“Kedua jenazah mereka kini di Forensik Selayang dan anak bongsu kepada adinda saya Allahyarhamah Wan Zunira, kini di ICU selayang kerana terlibat sama,” ujarnya.
Perginya Seorang Ibu Ketika Sedang Memandikan Anaknya
Dalam perkongsian sama, Wan Razmie memberitahu kejadian tersebut berlaku ketika Allahyarham Wan Zunira sedang memandikan anak bongsunya. Renjatan elektrik tersebut dipercayai berpunca daripada alat pemanas air elektrik.
“Perginya seorang ibu ketika sedang menyempurnakan tugasan terakhir beliau memandikan anaknya.
“Perginya seorang adik kerana berusaha menyelamatkan kakak dan anak buah yang sedang dalam renjatan elektrik.
“Semoga keduamu pergi sebagai syahid dan syuhada. Berehatlah kedua adikku. Tugasan kalian di dunia dah berakhir. Semoga Allah menerima kebaikan kamu berdua,” luahnya.
Difahamkan jenazah kedua-duanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, pada petang semalam.
Dikenali Sebagai Eddy Malmsteen
Sepanjang pembabitannya dalam dunai muzik, Eddy yang turut dikenali sebagai Eddy Malmsteen pernah mengiringi persembahan barisan artis popular tanah air seperti Datuk Hattan, Joey BPR dan lain-lain.
Sumber/Foto: Facebook Eddy Wan Othman dan Facebook Wan Razmie Wan Othman
Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/