Tragedi Tiga Beranak Rentung Dalam Bilik, ’Jeritan Terakhir Isteri Minta Tolong…’

Share

Sayunya tragedi kebakaran yang menimpa tiga beranak terdiri dari suami, Mohd Sharidan Abdul Aziz, 30, isterinya, Siti Rafini Mohd Rafiee, 30, dan anak mereka Rafiq Mohd Sharidan, yang baru berusia setahun.

Ketiga-tiga mereka ditemui rentung dalam bilik pertama kediaman mereka di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim dekat Slim River awal pagi ini.

Kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Yunus Abu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.52 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River bergegas tiba ke lokasi kejadian.

Tiga beranak ini dikatakan baru saja menyewa di kediaman mereka itu pada Januari lalu. Keramahan pasangan suami isteri ni cukup diketahui jiran tetangganya.

Mangsa bukan saja dikenali dengan sikap ramah malah suka menanam sayur-sayuran di kawasan rumah. Dan memberikan sayuran yang ditanam kepada jiran tetangganya yang berdekatan.

Jeritan Isteri Mangsa Meminta Tolong..

Sementara jiran mangsa, yang masih dalam keadaan bersedih berkongsi detik cemas yang dilalui ketika tragedi kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3.30 pagi itu.

Robaayah Yunus, 58 yang terjaga awal kerana menanti kepulangan anak dan menantu terkejut bila dengar bunyi letupan yang kuat. Segera dia buka tingkap dan nampak api marak sedang membakar bahagian tengah rumah jiran yang tinggal bersebelahannya itu.

Dadanya makin berdebar kencang bila mana dia mendengar jeritan isteri mangsa yang meminta pertolongan ketika kebakaran. Bergegas dia kejutkan suami dan anak dari tidur untuk keluar membantu jirannya itu.

Malangnya api begitu marak sekali, mereka suami isteri serta anak tak mampu berbuat apa-apa. Mereka berlari ke rumah jiran berdekatan pula untuk meminta pertolongan.

Biarpun usaha suami dan anaknya cuba menggunakan paip getah dari luar rumah untuk padamkan kebakaran, usaha itu temui kegagalan.

Api marak dengan kuatnya. “Sampai sekarang masih terngiang-ngiang suara isteri mangsa menjeri minta tolong ketika kebakaran..”

Ucapan Terima Kasih Terakhir..

Ujarnya, semalam adalah hari terakhir beliau berjumpa mereka di rumah kenduri sepupu mangsa yang letaknya 30 meter dari kediamannya,

Sempatlah dia bersalaman dengan isteri mangsa yang berterima kasih dengan kedatangannya. Rupanya itulah pertemuan dan ucapan terakhir mangsa untuknya.

Kata suami Robaayah, Mohamad Arif, 60 setiap kali mangsa yang lebih dikenali dengan panggilan Idan hendak ke tempat kerja, mereka sering bertegur dan bergurau.

Pagi itu, dia pun turut sama dengar jeritan dari isteri mangsa. Dan selang beberapa minit suara isteri mangsa hilang mereka terus berlari minta pertolongan jiran kampung untuk hubungi pihak bomba.

Saya memang berasa panik dan cemas ketika itu kerana tak mampu berbuat apa-apa. Pertama kali dalam hidup menghadapi saat cemas begini.”

Akuinya, pemergian mereka dalam keadaan memilukan ini tentunya akan dirasai oleh semua orang kampung.

MW : Al Fatihah.. semoga arwah ketiga-tiga beranak ini ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Sumber/Foto : Berita Harian, Harian Metro

Published by
webadmin