Sehari sebelum Ramadan, Nurul Mastura Othman (25) sedang memasak air di dalam kuali di atas dapur. Hajat di hati nak makan mi segera. Sambil memasak, Mastura mencuci pinggan mangkuk dan membelakangkan dapur. Tanpa dia sedari, tiba-tiba anak sulungnya Ahmad Qhalish Amsyar Ahmad Nabil datang dan menarik pemegang periuk yang digunakan. Habis semua air yang sedang panas menggelegak di dalam kuali jatuh menyimbah ke bahagian muka Amysar dan sebahagian badannya.
“Sebenarnya petang tu, sambil cuci pinggan saya nak masak mi segera. Air dalam kuali yang ada pemegang tu dah menggelegak. Saya masukkan sayur-sayur dahulu. Sedang leka basuh pinggan, saya tak sedar bila masa anak datang. Amsyar baru belajar berjalan dan dia datang ke belakang saya sambil tangannya menarik pemegang kuali itu. Automatik air yang dalam kuali jatuh dan menimpa muka dan juga sebahagian anggota badannya yang lain.
“Saya dan suami bergegas membawa Amsyar ke Hospital Rembau. Memandangkan tiada doktor pakar disitu, kami kemudian dikejarkan ke Hospital Seremban dengan menaiki ambulan. Doktor memaklumkan Amsyar mengalami melecur sekitar 22 peratus. Amsyar kemudian ditempatkan di PICU untuk rawatan lanjut selama lima hari kerana perlu menggunakan oksigen,”jelas Mastura yang menetap di Pedas, Negeri Sembilan.
Amsyar trauma
Menurut Mastura lagi, ibu mana yang boleh tenang apabila anak kecil berusia setahun dua bulan meraung-raung kesakitan. Sedangkan kita yang dewasa pun kalau terpercik minyak pun dah merintih sakit, ini kan pula anak sekecil Amsyar.
“Sedihnya saya tengok keadaan Amsyar… selang sehari luka melecurnya akan dibersihkan. Terketar-ketar saya tengok dia tahan sakit sambil menangis. Amsyar sampai trauma apabila melihat doktor dan jururawat yang datang merawatnya,”jelasnya ketika dihubungi semalam.
Tambah Mastura lagi, Amsyar masih meneruskan rawatan di Hospital Seremban. Suami Mastura, Ahmad Nabil Nordin bekerja di sebuah kilang terletak di Chembong, Rembau. Waktu PKP ini suaminya tidak bekerja, Mastura pula suri rumah sepenuh masa.
Buat pembaca MW yang prihatin, pihak kami amat berbesar hati jika anda dapat memberikan sumbangan bagi meringankan kesulitan yang sedang dilalui Mastura sekeluarga. Disini MW sertakan nombor akaun CIMB 7628898554 NURUL MASTURA OTHMAN . Sumbangan ikhlas anda diharap dapat memberi sedikit kelegaan buat mereka sekeluarga. Semoga lekas sembuh Amsyar.