Hasrat sebuah keluarga untuk menghadiri majlis kenduri kahwin tidak kesampaian selepas kereta Perodua Myvi dinaiki lima mangsa merempuh belakang sebuah lori tiga tan dalam kejadian di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan 4.40pagi tadi.
Mangsa yang maut adalah pemandu kereta, Mohamad Rodzi Abdul Kadir,52; penumpang di sebelah pemandu, Jamilah Jalim @Jamil, 47, dan penumpang di bahagian belakang, Bashirah Jalim@Jamil, 49; Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, dan Nur Shifa Abdul Rashid, 17.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kereta berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Shah Alam untuk menghadiri kenduri perkahwinan.
“Difahamkan kereta dinaiki lima mangsa itu dari Kedah menuju ke Shah Alam berkonvoi bersama dua lagi kenderaan. Ketika kejadian, berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori yang terbalik pada jarak kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi kejadian.
“Kemalangan lori terbalik itu menyebabkan trafik perlahan di lokasi. Difahamkan dua kenderaan yang berkonvoi bersama kereta Myvi berkenaan sudah melepasi laluan kemalangan itu.
“Manakala kereta dinaiki lima mangsa terbabit yang berada di lorong kiri melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa muatan buah yang sedang bergerak perlahan,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.
Azman berkata, mereka yang meninggal dunia adalah lima sekeluarga membabitkan pesara tentera, Mohamad Rodzi dan isterinya, Jamilah bersama anaknya, Nur Intan.
“Dua lagi mangsa yang meninggal adalah kakak ipar kepada Mohamad Rodzi, Bashirah dan anaknya Nur Shifa.
“Difahamkan urusan pengebumian kelima-lima mangsa akan dilakukan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk membawa balik jenazah ke Yan, Kedah, untuk dikebumikan,”
katanya.Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, kemalangan berlaku apabila lori dalam perjalanan dari Selama, Perak ke Selayang dilanggar dari belakang oleh Perodua Myvi di lorong kiri lebuh raya.
“Akibat kemalangan itu kesemua penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Lori berkenaan mengalami kerosakan di bahagian belakang manakala Perodua Myvi mengalami kerosakan di bahagian hadapan.
“Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurutnya, dua mangsa tersepit di bahagian depan kereta berjaya dikeluarkan dengan kerja-kerja pemotongan kenderaan dilakukan oleh anggota bomba.
“Penumpang di bahagian belakang tidak tersepit namun disahkan meninggal dunia di lokasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
MW: Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga semua mangsa ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah. Pesanan buat yang memandu, semoga lebih berhati-hati di jalan raya terutama dalam musim hujan dan keadaan jalan yang licin.
Sumber: Hmetro, Sinar Harian