Tragedi Hari Pertama Hantar Anak, Jadi Kali Terakhir Lihat Arwah Bernyawa

Share

Berat mata memandang, lagi berat mahu yang memikul. Terlalu besar ujian ibu ini apabila anak keduanya yang berusia setahun meninggal dunia di hari pertama anaknya di hantar ke rumah pengasuh.  

Pihak MW merakamkan ucapan takziah buat keluarga Muhammad Aydan Firas Muhammad Faris Azim. Buat ibunya Safiah, semoga anda kuat menerima ujian ini.

“Tidak sangka hari pertama arwah dihantar ke rumah pengasuh menjadi hari terakhir saya dan suami melihatnya bernyawa,” kata seorang wanita yang dikenali sebagai Safiah, 29, ibu kepada Muhammad Aydan Firas Muhammad Faris Azim.

Kanak-kanak berusia setahun itu disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Setapak selepas dikatakan tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Taman Melati, di sini, semalam.

Menceritakan semula kejadian, Safiah berkata, dia dihubungi pengasuh pada jam 12 tengah hari memaklumkan anaknya kebiruan dan tidak sedarkan diri.

Menurutnya, cemas mendengar perkhabaran itu, dia bergegas dari tempat kerja ke rumah pengasuh sebelum dimaklumkan anaknya sudah dihantar ke klinik dan dirujuk ke sebuah hospital swasta.

Sudah Meninggal Dunia

“Sebaik tiba di hospital, doktor yang memberi rawatan kecemasan mengesahkan Muhammad Aydan sudah meninggal dunia. Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah namun punca kematian masih belum dapat dipastikan sehingga laporan lengkap selesa

i,” katanya ketika ditemui di Masjid Bulatan Pahang, Kuala Lumpur, hari ini.

Jenazah Muhammad Aydan disolatkan kira-kira 30 ahli keluarga dan rakan rapat ibu bapanya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudah Sakinah, Batu Muda, Kuala Lumpur.

Safiah berkata, anak keduanya itu sebelum ini dijaga keluarganya namun dia dan suami berhasrat menghantar ke rumah pengasuh supaya arwah dapat bergaul dengan kanak-kanak lain.

Reda Dengan Pemergian

Katanya, dia dan suami reda dengan pemergian anak lelakinya tetapi berharap keadilan terhadap punca kematian dapat dicari namun bukan bermakna mahu menyalahkan sesiapa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.


Katanya, punca kematian akan dimaklumkan sebaik polis menerima laporan lengkap forensik.

Sumber: Harian Metro

MW: Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua. Harapnya anak-anak kita sentiasa dilindungi Allah. Sesungguhnya mana-mana ibu ingin lakukan yang terbaik untuk anak yang dikandungnya selama sembilan bulan, namun apakan daya. Takdir penentu segala.

Published by
Nur Syazwani Mehat