Berat mata memandang, lagi berat mahu yang memikul. Terlalu besar ujian ibu ini apabila anak keduanya yang berusia setahun meninggal dunia di hari pertama anaknya di hantar ke rumah pengasuh.
Pihak MW merakamkan ucapan takziah buat keluarga Muhammad Aydan Firas Muhammad Faris Azim. Buat ibunya Safiah, semoga anda kuat menerima ujian ini.
“Tidak sangka hari pertama arwah dihantar ke rumah pengasuh menjadi hari terakhir saya dan suami melihatnya bernyawa,” kata seorang wanita yang dikenali sebagai Safiah, 29, ibu kepada Muhammad Aydan Firas Muhammad Faris Azim.
Kanak-kanak berusia setahun itu disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Setapak selepas dikatakan tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Taman Melati, di sini, semalam.
Menceritakan semula kejadian, Safiah berkata, dia dihubungi pengasuh pada jam 12 tengah hari memaklumkan anaknya kebiruan dan tidak sedarkan diri.
Ads
Menurutnya, cemas mendengar perkhabaran itu, dia bergegas dari tempat kerja ke rumah pengasuh sebelum dimaklumkan anaknya sudah dihantar ke klinik dan dirujuk ke sebuah hospital swasta.
Sudah Meninggal Dunia
“Sebaik tiba di hospital, doktor yang memberi rawatan kecemasan mengesahkan Muhammad Aydan sudah meninggal dunia. Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
“Bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah namun punca kematian masih belum dapat dipastikan sehingga laporan lengkap selesai,” katanya ketika ditemui di Masjid Bulatan Pahang, Kuala Lumpur, hari ini.
Ads
Jenazah Muhammad Aydan disolatkan kira-kira 30 ahli keluarga dan rakan rapat ibu bapanya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudah Sakinah, Batu Muda, Kuala Lumpur.
Safiah berkata, anak keduanya itu sebelum ini dijaga keluarganya namun dia dan suami berhasrat menghantar ke rumah pengasuh supaya arwah dapat bergaul dengan kanak-kanak lain.
Ads
Reda Dengan Pemergian
Katanya, dia dan suami reda dengan pemergian anak lelakinya tetapi berharap keadilan terhadap punca kematian dapat dicari namun bukan bermakna mahu menyalahkan sesiapa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan. Katanya, punca kematian akan dimaklumkan sebaik polis menerima laporan lengkap forensik.
Sumber: Harian Metro
MW: Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua. Harapnya anak-anak kita sentiasa dilindungi Allah. Sesungguhnya mana-mana ibu ingin lakukan yang terbaik untuk anak yang dikandungnya selama sembilan bulan, namun apakan daya. Takdir penentu segala.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramadhan bulan istimewa, bulan yang Allah sediakan untuk hambaNya mengumpul sebanyak-banyak pahala. Bulan untuk menjadi manusia yang lebih baik daripada semalam. Bulan untuk mencipta kesabaran diri yang tinggi melangit.
Bak kata Ustaz Ebit Lew, “Malam ini saat pintu langit dibuka. Doa dimakbulkan oleh Allah. Pintu syurga dibuka. Pintu neraka ditutup. Syaitan diikat. Kita semua ingin diampunkan oleh Allah. Rezeki orang beriman bertambah. Terima kasih Allah, sejuk Ramadhan.”
Doa Kita Makbul.. Doa Itu Ajaib.
2 waktu jangan terlepas berdoa.
Kejut isteri dan anak-anak bersahur. Kerana sahur itu berkat.
Selepas itu ajak semuanya solat tahajud 2 rakaat. Doa panjang-panjang. Doa dari hati dengan rendah diri dan faham apa yang didoakan.
Baca Al-Quran sama-sama.
Setiap ayat kita baca mak ayah kita akan naik tingkat demi tingkat dalam syurga. Tempat terakhir mak ayah kita ialah tempat terakhir bacaan Al-Quran kita.
Hadiahkanlah syurga paling tinggi buat mak ayah. Dalam syurga, Mak ayah kita diberi mahkota yang bercahaya dan pakaian yang lebih mahal dari dunia. Bila ditanya kenapa kami diberi pakaian ini. Diberitahu ini kerana bacaan Al-Quran anak kamu.
Bawalah isteri dan anak-anak sama-sama baca Al-Quran. 1 hari 1 juz. Baca Al-Quran sebelum Subuh.
Jikalau orang tahu nilai baca al-Quran sebelum Subuh. Rasanya.. Kesannya.. Allahukbar.
Jangan Lupa Banyak Berdoa
Keduanya jangan lupa banyak berdoa terutama sebelum berbuka. Sebelum masuk waktu Maghrib. Doalah panjang-panjang. Mintalah apapun. Allah pasti kabulkan.
Teringat semasa di sebuah masjid berbuka puasa.
Ribuan orang berbuka puasa. Kami beberapa dulang orang Malaysia. Biasanya sebelum berbuka lebih kurang 15 minit kami berdoa bersama-sama sehingga berbuka puasa. Doa ketika siang dan malam buka puasa makbul. Alhamdulillah masih amalkan sehingga hari ini.
Saya berdoa tapi sambil senyum-senyum sebab nampak makanan banyak. Budak-budak lagi.
Kenapa Jemaah Dan Pelajar Indonesia Ini Menangis
Tiba-tiba saya nampak jemaah dan pelajar Indonesia mereka cuma ada sedikit makanan dan kurma cuma 2 dulang. Mereka semuanya menangis semasa berdoa. sambil tersedu-sedu.
Malamnya saya tanya pada mereka kenapa menangis. Jawab mereka syukur dengan nikmat Allah dan teringatkan Nabi saw dan keluarga Nabi saw lapar demi kerana Allah dan sehingga jadi sebab kita semua dapat Islam. Kami menangis bersama-sama.
Zainab atau mesra panggilan Dea adalah antara wanita yang kurang bernasib baik apabila bergelar ibu tunggal dalam usia yang muda. Biar pun bukan mudah, Dea menganggap segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Bukan mudah membesarkan anak-anak tanpa suami di sisi. Lebih-lebih lagi sempena kedatangan syawal yang kurang dua minggu lagi. Terus-terang ibu muda ini belum lakukan sebarang persiapan untuk raya, baik untuk dirinya atau pun anak-anak. Paling penting makan, pakai anak-anak terjaga dan ada rumah untuk berteduh.
Setiap pasangan mengidamkan perkahwinan yang didasari cinta berkekalan hingga ke Jannah. Kita hanya merancang, selebihnya Allah yang menentukan. Jodoh, takdir dan pertemuan telah tertulis sejak azali lagi. Jika tiba masanya perpisahan berlaku, maka terjadilah dengan kehendak-Nya. Sebagai manusia biasa kita perlu redha dengan setiap ujiannya biar pedih menikam hati.
Zainab Abdul Razak atau panggilan Dea berusia 34 tahun, merupakan salah seorang wanita di luar sana yang terparangkap dengan gelaran ibu tunggal. Ternyata biar pun berat ujian yang diberikan, Dea terus kuat melangkah demi amanah yang dikurniakan padanya iaitu anak kembarnya. Kehidupannya dahulu sedikit sebanyak berubah apabila dirinya mulai positif menerima segala ketentuan Ilahi.
“Saya di kurniakan sepasang kembar yang di lahirkan pada 29 Mac 2014 dan kini berusia 4 tahun. Nama mereka ialah Ali Huraira dan Alya Humaira. Saya telah di tinggalkan bekas suami seawal empat bulan perkahwinan dan proses perceraian tidak dapat dilakukan kerana saya mengandung ketika itu. Dalam erti kata lain saya telah menjadi ibu tunggal semenjak awal kandungan sehingga kini yang telah memasuki tahun ke empat.
“Saya mengenali bekas suami melalui seorang kawan. Tidak lama setelah perkenalan kami memutuskan untuk bernikah. Pernikahan kami agak sederhana, dan seperti pasangan lain kami juga merancang untuk mempunyai anak, namun bekas suami tidak dapat serius dalam berumah tangga dan tidak dapat meninggalkan tabiat buruknya yang menjejaskan hubungan kami suami, isteri.
“Saya amat kecewa setelah banyak kali beri peluang dan dia janji untuk berubah. Saya dapat rasakan saya dan dia perlu berpisah. Akhirnya ketika saya sedang mengandung, kami tidak tinggal serumah lagi,” ungkap Dea yang kini bekerja sebagai Pembantu Pengurus di Elzar Trading Sdn Bhd.
Lalui Pengalaman Mengandung Seorang Diri
Ternyata bukan mudah untuk bergelar ibu tunggal. Sekiranya insan lain ditemani sang suami saat-saat kehamilan dan teruja berkongsi momen indah menunggu detik kelahiran, berbeza sekali dengan Dea. Ketika dirinya berpisah, kandungannya baru mencecah usia dua bulan. Seluruh perjalanan mengandung dan melahirkan anak di laluinya sendirian.
Begitu juga setelah melahirkan anak, berpeluh keringatnya mengusung anak kembarnya yang dilahirkan pramatang berulang alik ke hospital untuk melalui rawatan susulan dan pemeriksaan rutin. Segala-galanya dirinya lakukan sendiri. Akhirnya setelah usia anak hampir setahun, Dea dan bekas suami sah bercerai.
Anak kembarnya adalah harta dunia dan akhirat buat Dea. Dialah ibu dan dialah bapa buat anak-anaknya. Malahan anaknya tidak pernah mengenali siapa bapa mereka kerana sejak dilahirkan hanya Dea di depan mata mereka. Oleh itu anak-anaknya tidak pernah merasa kehilangan sesuatu kerana tidak pernah sekali pun merasai kasih sayang dari seorang ayah.
Menurut Dea, dirinya tidak mengambil masa terlalu lama untuk bangun daripada kesedihan. Malahan seoalah-olah kepahitan yang dilaluinya langsung tidak terkesan di hati kerana dirinya terlampau sibuk mengurus sepasang kembar dari sebesar dua jari dan kini makin membesar.
Tambahnya, barangkali tempoh perkahwinan yang singkat membuatkan dirinya tidak begitu ambil pusing, lebih-lebih lagi anak kembarnya memerlukan perhatian 200% darinya.
Utamakan Keperluan Anak
Setiap wanita yang bergelar ibu akan berubah secara total setelah memiliki anak. Menurut Dea, perkara yang sangat berbeza berbanding zaman bujang, kini dirinya tidak lagi berbelanja untuk diri sendiri melainkan untuk makanan.
“Setiap kali selepas gaji, saya akan menolak terus mana yang perlu di bayar seperti sewa rumah, ansuran kereta, sekolah anak dan juga bayaran pengasuh. Di situ gaji saya hanya berbaki kurang RM 300 dan duit itulah saya akan guna untuk sebulan. Oleh itu, perkara pertama yang saya harus lupakan adalah keperluan diri saya sendiri. Makanan anak, dan susu adalah keutamaan saya.
“Alhamdulillah, ramai sahabat dari media sosial yang banyak membantu saya. Saya adalah seorang yang sebatang kara, iaitu tidak mempunyai keluarga, saya hidup seorang diri di sini. Setelah mempunyai anak, banyak perkara yang saya tidak tahu. Tetapi, saya amat bersyukur, ramai sahabat yang berpengalaman banyak membantu saya dan memberi khidmat nasihat. Ada juga antara mereka yang memberikan bantuan seperti pakaian bayi dan barangan terpakai untuk anak-anak saya. ” ceritanya panjang lebar.
Di samping itu, kadang-kadang setiap cabaran yang dilaluinya Dea membuatkan diri semakin kuat menghadapi lumrah kehidupan. Cabaran yang paling ketara setiap kali dirinya perlu mengangkut anaknya seorang diri secara serentak.
Maklumlah tinggal di rumah flat yang tiada lif, memang perkara ini menyukarkan dirinya yang tinggal sebatang kara. Di tambah pula dengan masalah urat saraf yang dialaminya selepas melahirkan anak, membuatkan Dea pitam beberapa kali tatkala turun dan naik tangga sambil mendukong anaknya. Namun kini setelah dikenang ianya menjadi kenangan terindah.
Sayangilah Diri Anak Sepenuhnya
“Tidak banyak yang dapat saya nasihatkan kerana saya juga masih belum sempurna, yang paling utama saya ingin mengingatkan pada ibu-ibu tunggal di luar sana agar sayangilah diri anak dahulu sebelum menyayangi diri sendiri dan sebelum menyayangi orang lain.
“Sebagai seorang ibu tunggal, kita adalah segalanya untuk anak kita, maka jadikanlah mereka segalanya untuk diri kita. Jangan sesekali mengabaikan anak-anak demi mencari pasangan hidup. Anak adalah keutamaan. Saya amat kesal apabila banyak kes yang melibatkan teman lelaki kepada ibu tunggal yang mendera anak dan yang lebih malangnya, para ibu tunggal itu memilih untuk mendiamkan diri dan menyokong perbuatan teman lelaki. Kes seperti ini adalah amat menyedihkan dan saya berdoa setiap masa moga di jauhkan sifat seperti ini dari saya dan anda semua,” luahnya tegas.
Biar pun dirinya kerap dihujani bebanan, tenyata masih ada masanya dirinya mengecap nikmat bahagia. Sudan tentu menjadi pengalaman manis buatnya apabila orang sekeliling memuji anak-anaknya, Dea merasakan ianya satu pencapaian yang cukup besar buatnya. Setiap pujian dan perkembangan anak kembarnya adalah satu pencapaian baru yang harus Dea banggakan.
Manakala pengalaman yang cukup pahit apabila setahun yang lalu, keluarga kecil ini dihalau keluar dari rumah sewa kerana tidak dapat menjelaskan bayaran sewa akibat kehilangan kerja.
Ditanya tentang sambutan hari raya kali ini, Dea jelaskan “Hari raya sebagai ibu tunggal hanya kami bertiga biasanya duduk di rumah sahaja tidak kemana melainkan ada jemputan. Pada tahun lepas, saya dapat bantuan sedikit dari seoang sahabat untuk membeli baju raya anak-anak.
“Namun pada tahun ini, saya terpaksa mengumpul duit untuk membayar cukai jalan yang perlu dperbaharui selepas hari raya, maka saya tiada sebarang persiapan baru untuk tahun ini. Saya akan mencari baju baju yang masih elok dalam simpanan untuk anak-anak pakai pada hari raya pertama, insyaallah.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Seorang wanita yang bakal bersalin, sebenarnya dia sedang berdepan satu saat antara hidup atau mati. Itulah antara pesan ibu, Da’i Hamidah atau nama sebenarnya Hamidah Abdul Razak.
Pada Isnin, 11 March 2019, Da’i Hamidah selamat melahirkan anak sulungnya. Melalui tempoh 44 hari berpantang meninggalkan kesan yang amat mendalam pada emosi juara Da’i Pendakwah Milenia 2015 ini.
Katanya di instagram miliknya, “Alhamdulillah bersyukur sangat dipermudahkan segala urusan mengandung 9 bulan dan melahirkan.”
“Walaupun dah habis 44 hari berpantang, masih tak dapat lupa betapa sakitnya “melahirkan” mungkin first time kot jadi masih teringat-ingat.”
“Saya teringat juga pesanan mak saya ketika saya mengandung, kata mak wanita nak melahirkan ni dia akan berdepan antara hidup atau mati. Jadi dia perlu dijaga dengan baik dan tidak boleh mengganggu emosi isteri yang sudah terganggu emosinya kerana mengandung.”
Ketika itu, saya kurang faham, saya rasa biasa saja.
Tapi setelah saya melaluinya sendiri baru saya sedar sakit bersalin tu sakit yang tidak mampu diungkapkan dan sukar diceritakan hanya Allah Azza Wajalla sahaja yang tahu.
Hargailah Pengorbanan Isteri, Sayang Dan Layani Sebaiknya
Oleh itu, hargailah pengorbanan isteri, sayangilah mereka dan layanilah mereka sebaik mungkin. Sesungguhnya mereka amanah Allah dan Ingatlah ketika saat lafaz sakinah diungkapkan dulu, harapan ibu bapanya agar insan yang mengambil alih tanggungjawabnya itu menggalas amanah Allah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin.
Tiada yang lebih membahagiakan mereka melainkan melihat anaknya juga turut bahagia menjalani kehidupan berumahtangga diringi rahmat dan redha Ilahi.
“Terima kasih suami menjaga saya dengan baik dan terima kasih mak, ummi dan ayah menjaga saya sebaik mungkin. Semoga Allah Taala pelihara kita semua dan elakkan dari perkara yang tidak diingini.”
Anak Anugerah Terindah..
SubhanaAllah Alhamdulillah AllahuAkbar.
Alhamdulillah ya Allah.
“Syukur ke hadrat ilahi atas anugerah terindah ini ya Allah. Alhamdulillah atas kebesaranMu Ya Allah permudahkan urusan saya melahirkan anak pertama kami pada Hari Isnin 11.3.2019. Semoga anak ini bakal menjadi insan yang bertaqwa dan menjadi permata ummah serta mata rantai kepada perjuangan Islam. Amin Ya Rabbal Alamin.”
Terima kasih sangat-sangat untuk doa dari suami,ayah, ummi mak, adik beradik dan semua yang mendoakan.
Mohon doa semoga permata kami ini sentiasa sihat dan selalu dalam lindungan Allah Taala. Jazakumullah khoir. Semoga Allah Taala merahmati kita semua.
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...