Sangat kesal apabila sebilangan individu di lokasi tragedi rempuhan maut ketika sambutan Halloween di Itaewon, malam kelmarin, didakwa lebih sibuk merakam kejadian yang berlaku menggunakan telefon bimbit masing-masing berbanding menghulurkan bantuan terdesak untuk menyelamatkan mangsa.
Demikian dakwaan ditulis dalam Twitter oleh seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai jururawat serta mengaku turut memberi bantuan kecemasan CPR ke atas mangsa di lokasi insiden.
“Saya tidak dapat menahan air mata daripada menitis kerana tiada yang tampil membantu, sebaliknya meneruskan rakaman,” dakwanya merujuk pada ketika beliau melakukan CPR berkenaan.
Susulan tragedi itu, media melaporkan syarikat teknologi di Korea Selatan telah menggesa supaya pengguna mereka tidak menyebarkan rakaman kejadian berkenaan.
Begitupun, terdapat ramai orang awam yang bertungkus lumus membantu usaha menyelamatkan mangsa bersama anggota pasukan kecemasan. Rakaman video tular melalui Twitter menunjukkan puluhan orang giat melakukan CPR ke atas mangsa bergelimpangan di atas jalan raya, selain ada yang bergegas mendukung mangsa yang kelihatan terkulai untuk diberikan bantuan segera.
“Saya sedang lalu di kawasan itu tetapi berhenti untuk memberikan bantuan CPR kerana ia adalah keadaan kecemasan,” kata seorang bekas jururawat, Min Byung-yeon, kepada YTN.
Sementara itu, selama berjam-jam sepanjang malam kelmarin, saksi tragedi rempuhan pada sambutan Halloween di Itaewon, Seoul, bertungkus lumus menarik keluar seorang demi seorang mangsa terjatuh saling bertindih yang pada satu ketika dikatakan mencecah lapisan lebih empat meter (15 kaki).
Lebih 151 maut dengan majoriti mangsa dikatakan golongan wanita muda dalam lingkungan umur 20-an, manakala ramai lagi dilaporkan cedera termasuk ada yang kritikal, dalam kejadian malam kelmarin.
Dianggarkan kira-kira 100,000 orang menyertai acara sambutan itu, bilangan disifatkan sebagai tidak dijangka, namun terdahulu pasukan polis yang dikata turut ditugaskan menangani tunjuk perasaan di sekitar kawasan berkenaan pada masa terbabit, didakwa hanya merancang untuk menempatkan kira-kira 200 anggota bagi melakukan kawalan.
Tiga tentera Amerika Syarikat (AS) yang ditempatkan di Korea Selatan tetapi tidak bertugas ketika kejadian, menyingkap detik cemas mereka berada dalam lautan manusia dan bergelut membantu menyelamatkan mangsa di lokasi yang penuh huru-hara serta kelam-kabut bersama suara jeritan dan ramai mengerang kesakitan.
Ketiga-tiganya memberitahu AFP, sebelum itu mereka turut berada dalam gerombolan orang ramai berasak-asak menuju ke lorong sempit yang kemudian menjadi ‘perangkap maut’, namun sempat tukar fikiran dan menghimpit ke suatu tebing di bahagian tepi sejurus sebelum kejadian.
“Tidak lama kemudian, insiden mula berlaku – ramai tersungkur bertindih atas satu sama lain seperti ‘permainan domino’,” kata Jarmil Taylor, 40.
Gerombolan peserta dari belakang didakwa terus berasak-asak ke hadapan walaupun keadaan dikatakan sudah terlalu padat ketika memasuki laluan sempit itu, sebelum ramai mangsa mulai tersungkur dan saling menghempap.
“Mangsa terjatuh bertindih di atas satu sama lain hingga berlapis-lapis. Ketika itu, tidak cukup orang untuk membantu kesemua mereka pada satu masa yang sama.
“Keadaan bertambah buruk apabila orang ramai dalam lautan manusia itu panik, malah jeritan kedengaran di mana-mana,” katanya yang kelihatan bingung dan letih ketika ditemui di lokasi.
Katanya, beliau bersama rakan bertungkus lumus menarik keluar mangsa demi mangsa terbabit dan membawa mereka ke tempat selamat untuk diberikan bantuan kecemasan.
“Kami segera membawa mangsa berkenaan ke sebuah kelab berhampiran yang membuka pintunya. Kelab itu dipenuhi mangsa yang terbaring di atas lantai,” katanya.
Dane Beathard, 32, berkata terdahulu mereka mengambil keputusan untuk keluar daripada tengah-tengah gerombolan besar itu selepas timbul perasaan bimbang kerana terlalu ramai berasak-asak.
Beliau berkata, tragedi itu menyaksikan begitu ramai mangsa tersungkur saling bertindih sehingga menyukarkan usaha untuk menarik keluar dan menyelamatkan mereka.
“Sepanjang malam, kami membantu menarik keluar mangsa. Ia adalah tempoh masa panjang bagi mangsa yang terperangkap dan tidak dapat bernafas. Kebanyakan mangsa adalah mereka yang berada di bahagian hadapan. Pada satu ketika, situasi begitu teruk sehingga mangsa bertindih mencecah 15 kaki (lebih empat meter),” katanya.
Mesti Baca:Percutian Jadi Tragedi, 3 Beranak Meninggal Serentak. Bapa Mimpi Anak Datang Berpakaian Putih & Hitam
Baca Lagi Di Sini:Tragedi Rider Dilanggar Di Lampu Isyarat, Kutipan Kilat Berjaya Kumpul RM204,322 Dalam 48 Jam
Artikel Menarik:10 Konsert Berskala Besar, Bertalu-talu! Jangan Sampai Allah Murka Seperti Tragedi Palu, Indonesia
Mingguan Wanita: Semoga tragedi ini menjadi pengajaran buat kita, elak bersesak di tempat yang ramai. Semoga mangsa-mangsa kejadian bersemadi dengan tenang.
Sumber: Bharian
Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.