Sukar membayangkan perasaan seorang suami yang kehilangan isteri dan enam anak sekaligus. Ternyata ini bukan kecil-kecil ujian, semoga keluarga ini tabah menghadapi ujian.
Jiran mangsa yang awalnya mendengar jeritan mereka kesal dan meminta maaf kerana tidak mampu membantu keluarga ini kerana kejadian berlaku terlalu cepat.
Suami kepada wanita yang rentung bersama enam anak mereka dalam kebakaran di Kampung Lampijas, Membakut, awal pagi hari ini, parah dan masih menerima rawatan di Hospital Beaufort.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, mangsa Romel Sharif, 34, terselamat dalam kebakaran itu, namun parah akibat melecur.
“Turut selamat anak sulungnya Rezwan Romel, 15, dan anak saudaranya, Rizal namun kedua-duanya cedera dan menerima rawatan di hospital sama.
“Keadaan Romel agak parah dan masih menerima rawatan di Hospital Beaufort,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azmir berkata, siasatan awal mendapati rumah terbakar itu didiami sebuah keluarga seramai 10 orang iaitu suami isteri dan tujuh anak mereka serta seorang anak saudaranya.
Beliau berkata, semua mangsa adalah warga asing dari Filipina dan Indonesia dan dipercayai bekerja sebagai petani.
“Bagaimanapun butiran lengkap semua mangsa yang sukar diperoleh kerana keadaan suami yang parah.
“Semua mangsa yang rentung dibawa ke Hospital Beaufort untuk siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian itu, isteri dan enam anak Romel ditemui rentung oleh bomba sebaik api berjaya dikawal.
Mangsa terkorban iaitu Nadia, 25, warga Indonesia, enam anaknya dikenali sebagai Samasan Romel, 2, Faisal, 5, Danial, 7, Shasha, 10, Aisa, 13, dan Nana, 14.
“Saya mendengar suara wanita meminta tolong, tetapi tidak berupaya untuk membantu,” kata Halimah Salleh.
Halimah, 50, adalah saksi kebakaran rumah yang menyebabkan tujuh beranak rentung di Kampung Bandau, Membakut, Beaufort, hari ini.
Suri rumah itu berkata, dia terjaga dari tidur awal pagi tadi apabila mendengar bunyi letupan kuat sebelum menyedari api sedang marak.
“Saya terjaga sekitar 1.15 pagi apabila mendengar bunyi letupan kuat, kemudian saya dapati rumah sebelah terbakar dan api begitu besar.
“Saya mendengar suara wanita yang dirasakan isteri kepada tuan rumah itu meminta tolong. Tetapi apakan daya saya tidak mampu berbuat apa-apa.
“Melihat api besar sebegitu, anak lelaki saya, Arianto Amal segera menghubungi bomba. Sehingga kini, bila saya lihat rumah itu, saya tidak dapat menahan air mata.
“Suara meminta tolong itu masih jelas kedengaran di telinga saya sehingga kini,” katanya ketika ditemui NSTP.
Sementara itu, Arianto, 29, berkata dia menghubungi bomba apabila melihat api marak di rumah terbabit.
“Sementara menunggu bomba sampai, saya dan orang kampung berusaha memadamkan api. Tapi semuanya sudah terlambat,” katanya.
Sumber: Harian Metro
MW: Malang tidak berbau, berhati-hatilah. Sudah tertulis sang ibu pergi bersama anaknya. Kebakaran bukan hanya memusnahkan harta benda, malahan jika tidak bernasib baik mampu meragut nyawa seperti yang berlaku pada keluarga. Semoga mangsa yang selamat kembali sihat.