Allahu, 1 Ramadan yang disambut semalam negara dikejutkan dengan tragedi berdarah apabila tiga beradik kehilangan nyawa dan empat yang lain parah, gara-gara ditetak oleh seorang lelaki kurang siuman.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang itu, tiga kanak-kanak maut manakala empat parah selepas ditetak lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Mohamad, Selekoh dekat Rungkup, petang semalam.

Tiga beradik yang maut berusia antara dua hingga lima tahun manakala empat yang parah termasuk ibu ketiga-tiga mangsa serta dua pelajar sekolah bagaimanapun masih belum dikenal pasti. Mangsa yang maut merupakan Nur Ziah Fasihah Mohd. Fadzil, 2, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5.

IKLAN

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, ketika kejadian, lelaki yang dipercayai kurang siuman menceroboh masuk ke rumah didiami tiga mangsa dan ibunya. Jelasnya, suspek yang merupakan rakan kepada bapa ketiga-tiga mangsa bertindak menceroboh rumah tersebut.

“Suspek dipercayai melibas parang ke arah ketiga-tiga mangsa dan menyebabkan mereka maut di lokasi kejadian.

“Selain itu, suspek turut menetak ibu mangsa, Zuraidah Md. Ali, 35, sehingga menyebabkan pergelangan tangan kirinya terkulai dan ibu jari kanannya putus,” katanya.

Tragedi 1 Ramadan Berdarah, 3 Beradik Maut & 4 Parah Ditetak Lelaki Dipercayai Kurang Siuman

Bersenjatakan Parang

“Dalam tempoh setengah jam kemudian, suspek  yang berusia 37 tahun menghala ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Mohamad yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa, menetak dua pelajar sekolah dan seorang orang awam.

Beliau berkata, polis bagaimanapun berjaya menahan suspek berdasarkan maklumat orang awam dan merampas senjata digunakan suspek iaitu parang.

IKLAN

“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang enggan dikenali ketika dihubungi, berkata suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan tinggal tidak jauh daripada rumah mangsa.

“Sejak dua tiga hari lalu, dia kelihatan macam tidak berapa sihat dan kami tidak menyangka dia sanggup melakukan perbuatan yang sebegitu kejam di hari pertama berpuasa,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan menerima rawatan lanjut.

IKLAN

Allahu berat sungguh dugaan buat keluarga ini pada permulaan Ramadan tahun ini. Salam takziah diucapkan, semoga keluarga ini terus tabah dan diberi kekuatan untuk menerima takdir serta ketentutan tuhan. Al Fatihah.

Sumber:Hmetro & Kosmo

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI