Allahu, 1 Ramadan yang disambut semalam negara dikejutkan dengan tragedi berdarah apabila tiga beradik kehilangan nyawa dan empat yang lain parah, gara-gara ditetak oleh seorang lelaki kurang siuman.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang itu, tiga kanak-kanak maut manakala empat parah selepas ditetak lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Mohamad, Selekoh dekat Rungkup, petang semalam.
Tiga beradik yang maut berusia antara dua hingga lima tahun manakala empat yang parah termasuk ibu ketiga-tiga mangsa serta dua pelajar sekolah bagaimanapun masih belum dikenal pasti. Mangsa yang maut merupakan Nur Ziah Fasihah Mohd. Fadzil, 2, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5.
Ads
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, ketika kejadian, lelaki yang dipercayai kurang siuman menceroboh masuk ke rumah didiami tiga mangsa dan ibunya. Jelasnya, suspek yang merupakan rakan kepada bapa ketiga-tiga mangsa bertindak menceroboh rumah tersebut.
“Suspek dipercayai melibas parang ke arah ketiga-tiga mangsa dan menyebabkan mereka maut di lokasi kejadian.
“Selain itu, suspek turut menetak ibu mangsa, Zuraidah Md. Ali, 35, sehingga menyebabkan pergelangan tangan kirinya terkulai dan ibu jari kanannya putus,” katanya.
Bersenjatakan Parang
“Dalam tempoh setengah jam kemudian, suspek yang berusia 37 tahun menghala ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Mohamad yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa, menetak dua pelajar sekolah dan seorang orang awam.
Beliau berkata, polis bagaimanapun berjaya menahan suspek berdasarkan maklumat orang awam dan merampas senjata digunakan suspek iaitu parang.
Ads
“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk kampung yang enggan dikenali ketika dihubungi, berkata suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan tinggal tidak jauh daripada rumah mangsa.
“Sejak dua tiga hari lalu, dia kelihatan macam tidak berapa sihat dan kami tidak menyangka dia sanggup melakukan perbuatan yang sebegitu kejam di hari pertama berpuasa,” katanya.
Beliau berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan menerima rawatan lanjut.
Ads
Allahu berat sungguh dugaan buat keluarga ini pada permulaan Ramadan tahun ini. Salam takziah diucapkan, semoga keluarga ini terus tabah dan diberi kekuatan untuk menerima takdir serta ketentutan tuhan. Al Fatihah.
“Memang rasa tak sedap hati.” Ibu ingat kemalangan biasa, rupanya anak terkorban. Panggilan telefon daripada menantu disangkakan anak lelakinya hanya terlibat kemalangan biasa saja, namun kuasa Allah mengatasi segalanya.
Daripada Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali. Semoga keluarga ini kuat berdepan ujian berat di kala bulan Ramadan ini. Luluh perasaan seorang ibu dan juga isteri bila menerima khabar mengejutkan begini.
Memang Rasa Tak Sedap Hati
Perasaan tidak sedap hati seorang ibu selepas tidak melihat van dinaiki anaknya berhampiran rumah membawa khabar duka apabila buah hatinya itu disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Kampung Sungai Ikan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kuala Nerus, petang semalam.
Dalam kejadian jam 6.22 petang itu, Mohd Shalam Mat Saat, 37, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas van dinaikinya bersama tiga lagi rakan terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu van, dua kereta (Proton Wira dan Proton Persona) dan sebuah bas ekspres.
Turut terkorban dalam kemalangan itu adalah tiga rakan sekerja Mohd Shalam.
Menurut Che Rokiah Che Long, 65, biasanya van dinaikinya akan melalui kawasan rumah mereka di Losong sebelum anaknya itu pulang ke kediamannya di Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong, Marang.
“Biasanya van diparkir berhampiran rumah tetapi petang tadi tak nampak van membuatkan saya terdetik mengapa dia pulang lewat hari ini.
“Memang rasa tak sedap hati dan perasaan itu terjawab apabila menerima panggilan daripada menantu (isteri Mohd Shalam) jam 7.20 malam memaklumkan Mohd Shalam terbabit dalam kemalangan.
“Ketika terima panggilan itu, kami sedang berbuka dan menantu cuma bagi tahu dia kemalangan sahaja. Sebaik selesai solat Maghrib, kami sekeluarga ke hospital sebelum dimaklumkan anak sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, malam tadi.
Rupanya Anak Terkorban
Sementara itu, bapa kepada Mohd Shalam, Mat Saat Jusoh, 72, berkata, dia tidak menyangka kemalangan itu meragut nyawa anak keempat daripada tujuh beradik.
“Ketika menantu telefon, ingatkan anak hanya kemalangan biasa tetapi sangkaan itu meleset apabila anak disahkan meninggal dunia,” katanya.
Allahyarham Mohd Shalam meninggalkan isteri yang sedang hamil tiga bulan dan seorang anak berusia lima tahun.
Tragedi 2 Ramadan ini meragut empat nyawa manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah bas ekspres dalam kejadian di Kampung Sungai Ikan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, jam 6.22 petang semalam.
Mangsa yang disahkan maut adalah Syed Mohd Shukri Tuan Yahya, 36; Muhammad Saufi Jusoh, 34 dan termasuklah Mohd Shalam, 37 tahun. Manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah van, dua kereta iaitu Proton Wira dan Proton Persona serta sebuah bas ekspres.
Menurutnya, mangsa yang maut adalah penumpang dan pemandu sebuah van yang dipercayai pekerja sebuah syarikat kimpalan berdasarkan tong gas yang terdapat dalam kenderaan terbabit.
Katanya, dua mangsa yang parah dalam insiden itu adalah pemandu dan penumpang Proton Wira, Muhammad Fazil Husin, 33, dan Nursilawati Said @ Nawang, 42.
“13 penumpang termasuk dua pemandu bas ekspres dan pemandu Proton Persona, Chew Cheong Keng, 55, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Sebaik menerima panggilan, seramai 18 anggota termasuk tujuh dari BBP Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila van jenis Daihatsu yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu dikatakan gagal memotong sebuah kenderaan sebelum melanggar Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.
“Van terbabit kemudian melanggar bas ekspres yang dalam perjalanan menghala ke Kota Bharu menyebabkan kenderaan terbabit remuk,” katanya.
Ambil Masa 1 Jam
Katanya, Proton Wira dinaiki Muhammad Fazil dan Nursilawati yang berada di belakang van terbabit kemudian melanggar Proton Persona yang berpusing selepas dirempuh van berkenaan.
Tambahnya, pihaknya mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam van berkenaan dengan mangsa terakhir dikeluarkan jam 7.14 malam.
Semua mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Mingguan Wanita : MW mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga mangsa yang terlibat. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan menempatkan mereka di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.
Tipu jika Rasmawati Rashid, 25 tak sedih sebaik menyambut kelahiran bayi sulungnya. Dengan tubuh badan berparut umpama kesan terbakar di seluruh tubuh dan cacat penglihatan.
Namun dia dan suami, Adam bin Hassan, 30, tetap menerima kehadiran Cahaya Imani,5, dengan penuh kesyukuran.
Suami yang bekerja sebagai pemandu lori tak dapat bersama dalam sesi temubual. Dia bertugas di luar daerah.
Kisah Cahaya Imani pernah tersiar di akhbar dan televisyen. Dia penghidap Goltz Syndrome, sejenis penyakit genetik yang cukup asing, mungkin dia satu-satunya yang ada penyakit ini di Malaysia.
Sepanjang mengandung, Rasmawati atau mesra dipanggil Ras, tak alami kejadian pelik.
“Cuma alahan yang agak teruk sehingga pernah dimasukkan ke wad kecemasan. Masa itu penyakit gastrik saya juga teruk hingga pernah muntah darah.
“Tapi semuanya okay setelah usia kandungan tiga bulan. Bila saya membuat imbasan (scan) pun semuanya normal.”
Suami Tenangkan, Minta Saya Bersabar
Masa lahir Ras tak perasan anaknya cacat penglihatan. Selepas satu jam, baru jururawat datang dan terangkan keadaan sebenar bayinya.
“Masa itu saya tak rasa apa-apa bila jururawat beritahu Cahaya Imani lahir tak ada bebola mata dengan badannya ada kesan terbakar.
“Perutnya ada kesan luka sedikit. Mungkin sebab masa tu masih terlalu lemah akibat proses bersalin. Saya pegang Imani macam tak ada apa-apa. Saya susukan dia.
“Tapi bila suami tenangkan saya, minta saya bersabar. Barulah sedih tu datang. Susah sebenarnya nak terima masa awal-awal. Tapi suami tak pernah berhenti bagi semangat.
“Sampai akhirnya saya terima dengan hati terbuka. Goltz Syndrome adalah penyakit genetik, bukan penyakit keturunan.”
Kata doktor yang merawat Imani, kes anaknya itu ‘special. Mengikut laporan di negara lain, semua penghidap adalah normal. Tak alami kecacatan anggota yang lain.
Doktor-doktor sendiri pun sukar nak buat rujukan berkaitan penyakit Cahaya Imani.
“Walau apa pun, saya dan suami redha dengan ujian Allah ini. Kami adalah insan terpilih untuk diuji dengan anak istimewa ini.
“Imani juga lahir dengan tiga lubang pada jantungnya. Alhamdulillah, hasil imbasan baru-baru ini, tinggal satu lubang saja lagi. Kata doktor, tak kronik. Jadi, tak perlukan pembedahan, cuma rawatan susulan saja.”
Bila Nak Makan, Dia Tadah Tangan Macam Orang Berdoa
Cahaya Imani dah pun berusia lima tahun. Dia semakin aktif dan boleh berjalan di sekeliling ruang di dalam rumah.
“Dia sensitif sangat dengan haba panas. Kulitnya nipis jadi perlu kerap mandi. Saya juga akan sapukan krim untuk menggelakkan kulitnya kering.
“Bila dia rasa tak selesa, dia akan tarik tangan saya. Fahamlah saya yang dia nak minta dimandikan.
“Imani belum boleh bercakap tapi saya boleh teka keinginannya dari kelakuan dia. Kalau nak makan, dia akan menadah tangan macam orang membaca doa.
“Anak saya ini juga alami masalah pendengaran pada telinga kirinya. Dia cuma boleh dengar 50% saja. Sebab dekat belakang gegendangnya ada air.
“Setakat ini, tubuhnya kecil berbanding kanak seusianya. Tubuhnya cuma boleh terima cecair.
“Bukan saya tak cuba bagi makanan pejal tapi dia tak pandai kunyah nanti akan tercekik. Tak berani saya nak bagi. Imani cuma makan nestum dan bubur.”
Akui ibu ini, tidak sukar menjaga anaknya. “Dia tak ada penyakit kronik lain. Cuma sejak berusia empat tahun, dia kerap demam panas, antara tiga hingga empat kali dalam sebulan.”
Kalau di lihat pada tubuhnya tinggal parut-parut umpama kesan terbakar. Tapi anaknya sukat tidur malam. Tugas Raslah kena berjaga malam mengawasi anaknya.
Sampai setakat ini, anaknya sudah melakukan tiga kali pembedahan pada bahagian mata.
Ada Juga Yang Pandang Semacam, Tapi Normallah Tu
Ras berharap anaknya mampu membesar dengan sihat dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
“Cahaya Imani inilah penyeri hidup saya dan suami. Kami bersyukur kerana kedua-dua keluarga kami sentiasa menyokong dan memberikan semangat. Mereka pun terima keadaan diri Cahaya Imani dengan tabah dan redha.
“Takkan sekalipun anak ini dipinggirkan. Sering kami bawa dia bersiar-siar. Takkan biarkan dia di rumah saja. Walau pun ada yang pandang semacam, saya anggap itu normal.
“Jika dia mampu bercakap dan tubuhnya membesar dengan sihat, baru kami akan fikir langkah seterusnya. Misalnya membawanya ke pusat pembelajaran untuk kanak-kanak istimewa dan sebagainya.”
Foto: Mohd Izari Rosli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Besar sebenarnya tanggungjawab sebagai anak lelaki. Usia yang masih remaja bukan penghalang bagi seorang adik untuk melaksanakan tanggungjawab, menjadi wali bagi menikahkan kakak sendiri. Saat ini pasti menjadi detik yang paling bermakna, apatah lagi dapat menyempurnakan hasrat arwah ayah. Malah keberanian ini patut dipuji dan menjadi inspirasi buat anak-anak lelaki kita.
Nikahkan Kakak Kedua
Ismaildaniel yang juga anak bongsu daripada empat beradik berjaya menikahkan kakak keduanya, Noriffa Akasha, 21, bersama pasangannya, Ahmad Asyaf Syafik Ahmad Shamsuddin, 27, kira-kira 9 malam.
“Allah SWT beri saya ketenangan dan Alhamdullilah, saya berjaya menikahkan kakak,” kata Ismaildaniel Ibrahim, 15, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pasir, Dungun, semalam.
Galas Tanggungjawab Arwah Ayah
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah itu berkata, dia berlatih beberapa kali sebelum berjaya menyempurnakan majlis berkenaan.
“Ketika perkahwinan kakak sulung, Norintan Azlin, 24, dua tahun lalu, saya tidak berani berbuat demikian kerana merasakan saya masih kanak-kanak.
“Sebelum ini, ibu, Salmiah Ali, 43, meminta saya berbuat demikian tetapi saya tidak yakin tetapi kali ini, sudah sampai masanya saya menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan arwah ayah, Ibrahim@Nordin Muhamad Ali yang meninggal dunia akibat kanser ketika saya berusia setahun.
“Sebagai anak tunggal lelaki, ini tanggungjawab saya apatah lagi ibu sentiasa berpesan arwah ayah mahu saya mengambil alih tanggungjawab itu.
“Pada mulanya, saya rasa gementar kerana bimbang akad saya itu tidak menjadi namun Alhamdulillah, semua berjalan lancar,” katanya.
Kagum Kematangan Anak
Sementara itu, Salmiah berkata, dia kagum dengan kematangan anaknya untuk menjadi wali serta menyempurnakan majlis nikah kakak kandungnya itu.
“Dia menjadi wali untuk perkahwinan kakak sulungnya dua tahun lalu tetapi dia enggan menikahkan kakaknya ketika itu kerana dia masih kecil.
“Pada mulanya, kami merancang mahu wakilkan kepada jurunikah namun Ismaildaniel minta izin untuk melafazkan akad sambil disaksikan jurunikah.
“Sebagai ibu, saya bangga apatah lagi tetamu yang hadir melahirkan perasaan kagum dengan kebolehan Ismaildaniel yang berjaya melakukannya dengan baik,” katanya.
MW: Alhamdulillah.. tahniah buat adik ini, berjaya menunaikan kewajipan sebagai anak dan adik lelaki. Sikap inilah salah satu perkara yang mak ayah perlu semai dalam jiwa anak-anak lelaki kita, agar tahu erti tanggungjawab pada adik beradik perempuannya.
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...