Pada Bulan Ramadan ramai yang berlumba-lumba merebut ganjaran pahala yang dijanjikan. Salah satunya dengan bersedekah. Bagi para peniaga di bazar ramadan, tidak salah mengamalkan konsep menjual sambil bersedekah dan tidak mengharapkan keuntungan semata-mata. Paling penting dapat berkongsi rezeki dan mendapat keberkatan sepanjang bulan yang mulia ini.
Menjual sambil beramal. Itu amalan dilakukan peniaga tiga beradik yang meneruskan tradisi ibu mereka memberi kuih itu secara percuma kepada wanita mengandung sepanjang Ramadan.
Menurut Mohd Shaiful Hafiq MohdHadir, 27, dia bersama dua lagi adiknya, Mohd Zulfadhly, 24, dan Mohd Hashiff, 19, meneruskan tradisi ibunya sejak 18 tahun lalu sebagai tanda syukur dengan rezeki kepada keluarganya.
Katanya, sejak mengambil-alih perniagaan ibunya, Hafizah Abu Hassan, 52, setahun lalu, mereka tiga beradik memperuntukkan 500 karipap untuk wanita mengandung di 13 cawangan gerai seluruh negeri.
“Ibu selalu pesan, jika mahu berniaga, jangan hanya fikir untung saja, perniagaan dilakukan mesti memberi manfaat kepada orang lain juga, kalau tak lebih baik jangan berniaga.
“Sebagai insan yang melahirkan kami, nasihat ibu itu kami pegang dan kami putuskan untuk memberi kepada wanita mengandung iaitu di lima cawangan di bazar Ramadan dan lapan cawangan di tepi jalan di seluruh negeri,” katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Taman Suria di sini.
Mohd Shaiful berkata, setiap hari seorang ibu mengandung mendapat tiga biji kuih itu dan sekurang-kurangnya lima ibu mengandung singgah mendapatkan karipap berinti daging dan ayam secara percuma.
Katanya, resipi karipap diwarisi sejak turun-temurun menjadikan kuih itu istimewa dengan aroma rempah giling yang wangi selain minyak yang cepat meresap di bahagian kulitnya sebaik ia siap digoreng.
“Setiap hari, 11,000 karipap terjual, Alhamdulillah rezeki kami tidak pernah putus, sebagai orang Islam kita tidak boleh takut bersedekah kerana amalan itu yang menjemput rezeki,” katanya yang tinggal di Kampung Padang, di sini.
Sementara itu, seorang pelanggan, Halimatul Fazliyana Harun, 23, yang mengandung memuji langkah tiga beradik itu yang menghargai wanita mengandung.
“Pada hari pertama Ramadan lalu, saya dapat karipap percuma dari cawangan sama di bazar Ramadan Changlun tetapi tidak sangka apabila ke bazar Taman Suria mereka melakukan perkara sama untuk wanita mengandung.
“Saya berterima kasih kepada mereka yang menghargai pengorbanan seorang ibu yang melahirkan mereka sebelum ini, usaha murni itu wajar dipuji dan dicontohi orang lain,” katanya.
MW: Semoga bertambah murah rezeki. Sikap sebegini harus dijadikan contoh buat setiap peniaga, agar tidak mementingkan keuntungan semata-mata, pada masa yang sama beroleh keberkatan dalam berniaga sambil bersedekah.
Sumber: Hmetro