Penyanyi lelaki popular Shah Indrawan atau lebih dikenali dengan nama glamornya Tomok, dan isteri Rahayu Abbas, cukup bertuah kerana miliki tiga orang anak. Anak-anak pasangan ini sememangnya menjadi perhatian pengguna media sosial selepas beberapa video yang memaparkan nyanyian dan kepetahannya bertutur dalam bahasa Inggeris dimuat naik di laman Instagram milik Tomok.

Ikut Kesesuaian Anak-Anak

Tomok dan Ayu juga menerangkan dalam mendidik anak-anak mereka tidak memaksa malah kedua-dua anak mereka mempunyai karektor yang berbeza.

IKLAN

“Didikan yang kami terapkan kepada Arrian dan Andra cukup berbeza. Saya tak memaksa ikut kesesuaian anak-anak. Mereka ini punya karakter yang berbeza, saya tak banyak masa untuk ajar anak sebab sibuk dengan dunia seni. Jadi isteri, yang lebih dominan menjaga dan memberi pendidikan kepada mereka,” tambah Tomok.
Ayu pula ketika ditanya menjelaskan dalam mengajar anak-anak dia sama juga seperti ibu bapa yang lain;

“Saya tak ada pengalaman dalam mengajar jadi saya banyak pelajari tentang didikan anak-anak menerusi bahan bacaan. Saya kumpulkan bahan-bahan bacaan ilmiah tentang keibubapaan dan pembelajaran awal pendidikan kanak-kanak dan juga sumber Internet bagaimana untuk membentuk anak-anak kita dari situ saya ambil mana yang boleh diterapkan dan bersesuaian dengan anak-anak saya. Kiranya trial and error. Saya tidak memberi tekanan dan memaksa anak-anak untuk belajar sebab tak nak ganggu proses pembesaran mereka.”

IKLAN

Tomok juga menjelaskan sebagai seorang bapa dia punya cabaran tersendiri dalam membesarkan anak-anak.
“Sebagai seorang bapa saya tidak punya banyak masa dengan anak-anak. Tapi bila saya berada di luar KL saya akan sentiasa hubungan isteri untuk memantau perkembangan anak-anak,” celah Tomok yang turut meminta pandangan dari kedua ibu bapa dan mentua dalam mendidik anak-anak.

Dalam menghargai isterinya yang banyak berkorban masa menjaga anak-anak yang tersayang. Tomok pada kebiasaannya akan memberi ganjaran dengan membawa isteri dan anak-anak bercuti.

IKLAN

“Selain bercuti saya juga sering bantu isteri dengan memandikan anak-anak atau menukar lampin pakai buang anak-anak. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kerja Ayu.

Tomok & Isteri Dedah 7 Tips Didik Anak-Anak

7 Tips Tomok & Ayu Dalam Mendidik Anak-Anak

1.Berbual-bual
Berbual-bual dengan anak walaupun pada ketika itu mereka masih belum boleh bertutur dengan baik lagi ada kelebihannya. Walau pun masih belum mengerti, minda anak-anak sebenarnya seperti span yang menyerap apa yang dilihat dan didengari. Dia sebenarnya sedang menajamkan kemahiran berbahasa dan komunikasi. Lebih banyak bercakap kepada mereka, lebih baik.
2.Mengagah
Mengagah bayi adalah salah satu komunikasi awal yang boleh dilakukan kepada anak. Selain merangsang, ia juga menggalakkan deria pendengaran. Bayi yang berumur enam bulan atau tujuh bulan akan mula mengesan dan memusing ke arah bunyi itu. Menjelang usia setahun, bayi sudah mula mengenalpasti lagu kesukaannya dan cuba menyanyikannya.
3.Membaca Buku
Ramai yang tahu, buku jambatan ilmu. Tapi ramaikah yang membacakan buku kepada anak walau pun masik belum mengerti? Membacakan buku sejak awal lagi boleh membantu mengajar bayi tentang interaksi, komunikasi dan konsep tentang bentuk, warna, abjad, memori, nombor dan tatabahasa dalam cara yang menyeronokkan.
4.Kad Imbasan
Perkenalkan kad imbasan sejak awal melancarkan sebutan dan meningkatkan penguasaan tatabahasa. Mula-mula baca dan sebutkan apa yang ada pada kad. Lama kelamaan anak-anak akan menyebutnya sendiri dan kemudian mengejanya, seperti Ayu lakukan kepada Arrian.
5.Bermain
Biarkan anak-anak seronok bermain dengan permainan mereka. Ketika bermain, mereka akan mengeksplorasi, berimaginasi dan menajamkan motor halus. Ia juga merangsang skil kognitif dan penyelesaian masalah. Aktiviti mewarna dan menconteng juga salah satu cara bermain yang digalakkan untuk si manja!
6.Aktiviti Fizikal
Berenang, bermain di taman permainan dan berjalan memberikan anak-anak peluang untuk aktiviti yang dapat menggunakan otot dan anggota badan. Ia dapat menguatkan otot, keseimbangan dan sokongan tubuh. Selain itu, ia juga merangsang keyakinan diri kanak-kanak. Aktiviti seperti melompat, berlari, memanjat, berguling dan merangkak merupakan aktiviti yang baik untuk perkembangan motor kasar mereka.
7.Menyanyi
Dedahkan bayi kepada lagu kanak-kanak untuk merangsang pendengaran dan apabila anak mula mennyanyikannya, ia menggalakkan aktiviti pada kedua-dua belah otak. Anak-anak juga jadi lebih ceria dan gembira.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI