Sedikit rahsia didik anak, penyanyi lelaki popular, Shah Indrawan atau lebih dikenali dengan nama glamornya Tomok, 33, dan isteri Rahayu Abbas, 38, cukup bertuah kerana dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang cukup bijak dan comel.
Tomok dan Ayu juga menerangkan dalam mendidik anak-anak, mereka tidak memaksa malah kedua-dua anak mereka, Arrianshah Akid atau mesra dipanggil Arrian, 5, dan Andrashah Iman atau mesra dipanggil Andra, 2, mempunyai karektor yang berbeza.
Cara Didik Anak, Bukan Niat Nak Menunjuk
“Tujuan utama saya bukanlah nak menunjuk-nunjuk kisah kehidupan kami sebagai selebriti. Siapalah saya, bahkan saya dan keluarga bukanlah selebriti yang punya nama besar. Di sini, saya cuma mahu berkongsi dengan orang luar mengenai idea mendidik anak-anak. Didikan yang kami terapkan kepada Arrian dan Andra cukup berbeza. Saya tak memaksa tapi ikut kesesuaian anak-anak. Mereka ini punya karakter yang berbeza. Sebenarnya saya tak banyak masa untuk ajar anak sebab sibuk dengan dunia seni. Jadi isteri yang lebih dominan menjaga dan memberi pendidikan kepada mereka,” tambah Tomok lagi.
Ayu pula ketika ditanya menjelaskan dalam mengajar anak-anak dia juga sama seperti ibu bapa yang lain.
Ads
“Saya tak ada pengalaman dalam mengajar jadi saya banyak belajar tentang didikan anak-anak menerusi bahan bacaan. Saya kumpulkan bahan-bahan bacaan ilmiah tentang keibubapaan dan pembelajaran awal pendidikan kanak-kanak dan juga sumber Internet, bagaimana untuk membentuk anak-anak kita. Dari situ saya ambil mana yang boleh diterapkan dan bersesuaian dengan anak-anak saya. Kiranya ‘trial and error’. Saya tidak memberi tekanan dan memaksa anak-anak untuk belajar sebab tak nak ganggu proses pembesaran mereka,” ungkap Ayu yang kelihatan lebih muda daripada usia sebenarnya dan teringin untuk memiliki anak perempuan pula.
1. Berbual-bual
Apabila sering berbual-bual dengan anak walau pun pada ketika itu mereka masih belum boleh bertutur dengan baik lagi ada kelebihannya. Walau pun masih belum mengerti dan faham, minda anak-anak sebenarnya seperti span yang menyerap apa yang dilihat dan didengari. Mereka sebenarnya sedang menajamkan kemahiran berbahasa dan komunikasi. Lebih banyak bercakap kepada mereka, lebih baik.
2. Mengagah
Mengagah bayi adalah salah satu komunikasi awal yang boleh dilakukan kepada anak. Selain merangsang, ia juga menggalakkan deria pendengaran. Bayi yang berumur enam bulan atau tujuh bulan akan mula mengesan dan memusing ke arah bunyi itu. Menjelang usiasetahun, bayi sudah mula mengenalpasti lagu kesukaannya dan cuba menyanyikannya.
Ads
3. Membaca Buku
Ramai yang tahu, buku jambatan ilmu. Tapi ramaikah yang membacakan buku kepada anak walau pun mereka masih belum mengerti/faham? Membacakan buku sejak awal lagi boleh membantu mengajar bayi tentang interaksi, komunikasi dan konsep tentang bentuk, warna, abjad, memori, nombor dan tatabahasa dalam cara yang menyeronokkan.
4. Kad Imbasan
Perkenalkan kad imbasan sejak awal melancarkan sebutan dan meningkatkan penguasaan tatabahasa. Mula-mula baca dan sebutkan apa yang ada pada kad. Lama kelamaan anak-anak akan menyebutnya sendiri dan kemudian mengejanya. Ini yang Ayu lakukan kepada Arrian.
5. Bermain
Biarkan anak-anak seronok bermain dengan permainan mereka. Ketika bermain, mereka akan mengeksplorasi, berimaginasi dan menajamkan motor halus. Ia juga merangsang skil kognitif dan penyelesaian masalah. Aktiviti mewarna dan menconteng juga salah satu cara bermain yang digalakkan untuk si manja!
Ads
6. Aktiviti Fizikal
Berenang, bermain di taman permainan dan berjalan memberikan anak-anak peluang untuk aktiviti yang dapat menggunakan otot dan anggota badan. Ia dapat menguatkan otot, keseimbangan dan sokongan tubuh. Selain itu, ia juga merangsang keyakinan diri kanak-kanak. Aktiviti seperti melompat, berlari, memanjat, berguling dan merangkak merupakan aktiviti yang baik untuk perkembangan motor kasar mereka.
7. Menyanyi
Dedahkan bayi kepada lagu kanak-kanak untuk merangsang pendengaran dan apabila anak mula mennyanyikannya, ia menggalakkan aktiviti pada kedua-dua belah otak. Anak-anak juga jadi lebih ceria dan gembira
Hargai Isteri
Itu sedikit perkongsian dalam bab mendidik anak, tetapi Tomok juga dedah cara terbaik menghargai isterinya yang banyak berkorban masa menjaga anak-anak yang tersayang. Haaa… kalau Tomok sediri, dia kebiasaannya akan memberi ganjaran dengan membawa isteri dan anak-anak bercuti bila berkesempatan.
“Selain bercuti saya juga sering bantu isteri dengan memandikan anak-anak atau menukar lampin pakai buang anak-anak. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kerja Ayu.” Ujarnya lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Suami janganlah kita kedekut & jahat dengan isteri kita, bila berjaya gapailah isteri di sisi” begitulah luahan dari Dr Say.
Dikurniakan seorang suami yang memahami dan tahu tanggungjawab serta isteri yang penyayang, sudah begitu besar rahmatnya. Itu pun antara satu bentuk rezeki daripada ALLAH SWT.
Hubungan yang dibina dalam perkahwinan sudah pasti perlu diwangikan dengan kejujuran, keikhlasan dan iman untuk mendapat sebuah hubungan yang bahagia.
“Suami Janganlah Kita Kedekut”
Seperti mana perkongsian dari doktor popular, Doktor Say Shazril menerusi akaun rasmi di Instagramnya, Dr Say menasihati para suami agar menghargai isteri.
Malah Dr Say juga berkongsi tip dalam membina kejayaan sudah pasti isteri yang akan sentiasa ada menguruskan rumahtangga, jadi bila sudah berjaya janganlah lupakan isteri tercinta ya wahai para suami!
“Best Investment In Life In Investing On Your Wife
“Apa saya perasan bila saya berkelahi dengan wife untuk apa jua sebab mesti slow ja job masuk. Bukan job ja sendu, hati & emosi pun kacau bilau tak tau pasaipa.
“Tapi bila buat wife happy, contoh bawak dia keluar jenjalan, buat dia lagi happy bila belanja dia makan, buat dia lagi lagi happy bila belanja dia Oro Italia @habibjewelsofficial ataupun handbag fuuuh macam ayaq terjun melimpah ruah job masuk. Maka sy google “betulkah isteri lubuk rezeki suami & mengapa?” (sy memang sejenis google naive sebegitu)
Pemberi Rezeki Mutlak Adalah Allah SWT
“Apa yg sy temukan, “pada asasnya pemberi rezeki yg mutlak adalah Allah SWT. Tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga.
“Berlaku baik dengan ahli keluarga termasuk isteri adalah antara sebab rezeki diluaskan oleh Allah SWT”.
“Kira saya tersalah sikitlah sebab selama ni sy ingat job masuk macam ayaq terjun tu sebab belanja bini Oro Italia, lepas ni boleh turunkan kepada silver 925 jelah hehe.
Ingatlah Isteri Susah Senang Sentiasa Disisi
“Tapi yelah kepada para suami janganlah kita kedekut & jahat2 dengan isteri kita. Ingat satu ja, WHERE YOU ARE RIGHT NOW IS BECAUSE OF YOUR WIFE.
“Di kala ampa sedang membina empayar, wife lah yang dok hold the fort jaga anak-anak, jaga rumah, jaga makan minum pakaian kita.
“Jangan bila empayar dah gah berjaya dibuangnya isteri atau ditambahnya isteri instead kita gapailah isteri kita sekali di sisi.
“Saya kena admit ada kalanya saya egois dengan bini, ter-mistreat her tapi kena lah usahakan to make up for it. Janganlah masam muka lama2 atau benda yg bini paling anti sy buat “silent treatment” ahaha. Bila terlupa di mana kita berada, lihatlah siapa yg di sebelah kita. Dah nak pi cari silver 925 kat Metro Kajang sat.” kongsi Dr Say.
“Tak Ramai Suami Perasan” Warganet
Menerusi ruangan komen ramai yang bersetuju dengan komen Dr Say.
Tugas isteri bukan sekadar memasak, menyapu sampah dan mengemas rumah. Sedangkan tugas yang dapat dilihat dengan mata kasar inilah sentiasa dipandang oleh pasangan atau bergelar suami. Padahal, kerja-kerja yang melibatkan emosi langsung tidak difikir. Lebih teruk kurang dapat penghargaan daripada keluarga.
Apakah yang dikatakan ‘invisible labor’. Ia bukanlah kerja-kerja rumah yang melibatkan fizikal tetapi kerja mental yang tidak terfikir oleh para suami. Kalau bab memasak, membersih rumah dan sebagainyadiangap kerja rutin isteri. Sebaliknya, bila isteri banyak memikirkan tentang keperluan rumah, susun jadual keluarga dan barangan keperluan anak beranak. Ini sudah cukup memenatkan isteri. Kiranya, dalam kelapa isteri, macam-macam yang difikirkan sematya-mata untuk kebahagiaan keluarga.
Benar juga yang dikatakan oleh Dr Redza Zainol dalam perkongsiannya. Katanya, tugas isteri bukan hanya kerja fizikal tetapi melibatkan kerja-kerja halimunan.
Semua Untuk Keluarga
“Saya nak buat kek hari ni. Abang nak?”
Apa lagi, terus melompat la saya.
“Mestilah nak!” penuh semangat saya jawab.
Terus dia kata jom keluar cari barang. Ahh macam tu je saya termakan umpan isteri. Baru ingat nak duduk rumah hari ni.
Sampai di pasaraya, isteri masuk ke lorong minyak masak, sos cili dan kicap. Satu-satu dia ambil dan masukkan dalam troli.
“Nanti mak abang nak datang kan. Saya beli ni ya.”
“Anak punya ubat gigi pun dah habis.”
Pusing punya pusing, sekejap dah penuh troli tu. Sambil beratur di kaunter pembayaran, saya tanya isteri mana barang untuk buat kek.
Rupa-rupanya, nak beli barang kek kena pergi kedai yang lain. Saya pun gelak aja, dah faham permainan isteri saya.
Akhirnya, kami singgah ke 4 buah kedai. Macam-macam urusan kami selesaikan. Yang paling saya perasan, muka isteri saya jadi berseri-seri. Tersenyum dan nampak dia lega sangat.
Antara kerja yang yang memenatkan isteri bukanlah kerja fizikal tapi kerja yang melibatkan mental.
Isteri saya yang banyak fikirkan barangan di rumah, barang untuk anak. Dialah yang banyak susun jadual kami sekeluarga.
Kerja begini dipanggil sebagai Invisible Labor. Kerja ni wujud pada semua keluarga tapi tak nampak dengan mata kasar.
Yang sedihnya, kerja halimunan ni yang paling kurang dapat penghargaan dari keluarga. Kita hanya nampak kerja yang berbentuk fizikal seperti masak, menyapu dan basuh baju.
Bila kita bantu isteri untuk selesaikan beban halimunan ni, lapanglah kepala isteri. Barulah dia boleh fikir benda-benda gembira pula.
Suami pula dapat tunjuk teladan pada anak lelaki yang teman isteri beli barang, angkat barang dan menyantuni kehendak isteri, itulah contoh baik seorang ketua keluarga.
Pahala dapat, kek pun dapat!
MW: Jangan fikir, isteri hanya buat kerja rumah yang asas sahaja. Bukan itu sahaja memeantkan tetapi dalam kepala isteri kerja-kerja ‘halimunan’ inilah yang menambahkan lagi kepenatan isteri. Kena ingat ya para suami.
Umpama satu perjalanan panjang lagi mencabar, setiap suami isteri pasti pernah berkonflik.
Puncanya macam-macam, termasuk kerana sikap mentua yang suka audit menantu!
Menantu Mentua Tinggal Serumah
Bertengkar disebabkan cemburu dengan pasangan tidak sebisa bertengkar kerana campur tangan keluarga mentua. Ada nasihat rumah tangga yang saya pernah dengar, “Biar banyak rumah, tapi jangan ramai serumah”.
Hari ini semakin ramai pasangan muda yang duduk bersama mentua. Mungkin untuk tempoh awal perkahwinan tidak menjadi masalah. Elok juga mentua memberi petua bagaimana nak menjaga anaknya. Tapi apabila sudah terlalu lama, maka akan berisiko untuk timbul hal-hal lain.
Ada mentua yang seperti juruaudit yang selalu membuat pemeriksaan mengejut cara menantu menguruskan anak dan cucunya. Memang niatnya tulus suci mahukan yang terbaik. Tetapi terus-terang cakap, siapa yang suka setiap hari diaudit?
Lebih mencabar apabila suami pula terpaksa menyebelahi ibunya. Oleh itu, elok jika disebut begini. Cukuplah sekadar enam bulan dan selepas itu berdirilah di atas kaki sendiri. Betul, banyak faktor penjimatan tetapi jangan lupa cabarannya juga besar.
Sebab Lain Timbulnya Konflik:
Cemburu
Tanpa mengikut urutan keutamaan, saya melihat faktor cemburu kepada rakan pasangan, sering menjadi isu perbalahan antara suami dan isteri. Suami cemburu kepada rakan isteri dan isteri pula sakit mata dengan rakan suami.
Mengikut satu kajian, konflik yang berpunca daripada rakan pasangan merangkumi 7% pada pihak suami dan 8% pada pihak isteri.
Suka atau tidak suka, media sosial memang menyumbang kepada perkara ini. Bekas kekasih lama bertemu semula. Mungkin tidak secara berdepan dan sekadar dalam laman sosial tetapi sudah cukup menggetarkan hati pasangan.
Walaupun masing-masing menyedari status yang sudah berubah tetapi itu memang kerap menjadi penguji tegar kepada keyakinan pasangan sendiri. Oleh itu, pilihan keutamaan ada di tangan anda.
Hubungan Intim
Bertengkar tentang hal dalam bilik tidur juga kerap menjadi isu. Ada isu pasal terlebih dan ada juga isu terkurang. Isu begini jarang berlaku pada pasangan muda tetapi lebih kerap berlaku pada pasangan yang boleh dianggap sudah berpengalaman lima hingga 10 tahun perkahwinan.
Perubahan hormon, kekuatan fizikal dan ayunan emosi yang berbeza menjadikan aktiviti di bilik tidur tidak seringkas seperti waktu berbulan madu dahulu. Waktu itu pantang tersentuh terus ‘menjadi’, tetapi sekarang tidak lagi begitu. Lelaki perlukan layanan fizikal tetapi isteri mahukan lebih perhatian emosi. Memang berlaga!
Isteri Lebih Berduit
Masa bercinta semua nampak cantik dan elok. Setelah habis tempoh bulan madu barulah dunia sebenar rumah tangga bermula.
Cinta memang indah tetapi komitmen dalam rumah tangga itu perlu dibuktikan.
Hari ini ramai pasangan yang isterinya mempunyai pendapatan jauh lebih tinggi daripada suami. Ini adalah asid pekat yang pasti menguji kesabaran dan keikhlasan anda.
Tidak salah anda ikhlas membayar lebih kos pengurusan rumah tangga tetapi anda perlu lebih kebijaksanaan untuk berbincang tentang hal tanggungjawab suami. Suka atau tidak realiti ramai pasangan muda hari ini bercerai kerana faktor komitmen kewangan ini.
Cara Didik Anak Berbeza
Jangan lupa yang terakhir ialah faktor cara mendidik anak-anak terutama apabila kedua-dua suami isteri berpendidikan tinggi. Ada pertengkaran disebabkan kelakuan anak-anak yang dianggap berpunca daripada sikap atau cara didikan sama ada si suami atau isteri di rumah. Suami salahkan isteri dan isteri menunding jari kepada suami kerana tidak peduli pasal anak-anak.
Keadaan menjadi lebih runcing apabila pasangan itu dikurniakan anak istimewa. Percayalah, hanya pasangan yang ada anak istimewa sahaja yang tahu betapa hebat cabarannya. Berat mata memandang maka berat lagi bahu memikul. Masalah besar timbul apabila hanya ada satu bahu sahaja yang memikul dan yang satu lagi berlepas tangan. Oleh itu bersedialah!
Artikel ini dikongsikan oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!