Tombong : Jangan Dah Membusuk Baru Cari Doktor!

395

Apabila peranakan terkeluar dari pintu kemaluan, ada yang mendiamkan diri kerana malu nak merujuk hal sulit itu kepada doktor. Hanya apabila nak berjalan pun tak selesa, ketumbuhan yang menjulur keluar itu sudah bergesel dengan celah paha ketika berjalan.

Geseran itu membentuk ulser sekaligus mengundang infeksi kuman dan bauan tidak menyenangkan. Ketika itu jika anda jumpa perawat urutan tradisional sebagai alternatif, mereka pastinya akan menggesa anda segera merujuk masalah itu kepada perubatan bertauliah bagi mencari penyelesaiannya.

Pernahkah anda mendengar tentang tombong? Apa itu tombong? Tombong dalam bahasa mudahnya adalah peranakan jatuh atau saintifiknya prolaps uterus atau rahim. Kondisi ini  boleh disahkan melalui pemeriksaan pangkal rahim dengan membandingkan ketumbuhan yang keluar (kemungkinan serviks atau rahim) relatif dengan aras tertentu bahagian pelvis bawah.

Tahap prolaps dibahagikan kepada tahap satu, dua dan tiga bergantung kepada bahagian pangkal rahim yang menonjol keluar dari pintu kemaluan. Ia berlaku disebabkan otot lantai dan ligamen yang menyokong rahim tidak lagi utuh. Jika dahulu tombong ini lazimnya dialami oleh wanita yang menopaus, sekarang tidak lagi. Menurut Dr. Ida Lilywaty Md Latar (Pakar O&G, Hospital Pantai Cheras, Kuala Lumpur) mengejutkan apabila wanita seawal usia 30-an dan belum berkahwin juga terdedah kepada tombong disebabkan gaya hidup mereka.

Bagi pengamal perubatan dan urutan Melayu, Nur Aziemah Ahmad dari Naurah Beauty Home Spa, pengalaman didatangi wanita muda seawal usia 21 tahun… belum berkahwin datang dalam keadaan menunduk dan berbau, mengadu sedang mengalami masalah tombong. Sebaik diselidik kondisi tombongnya sudah serius, mempunyai ulser yang menyebabkan ia berbau. Tambah Aziemah lagi, wanita itu memaklumkan tugasnya di sebuah gerai makan membuatkan dia sudah terbiasa mengangkat tong gas yang berat sendirian. Impak dari kekerapan mengangkat berat yang berlebihan menyebabkan beliau mengalami tombong.

Risiko buang rahim

Untuk tombong tahap satu, pesakit tidak perlu risau kerana kaedah senaman boleh dilakukan untuk menguatkan otot pelvis yang dinamakan senaman kegel. Selain itu, cuba berusaha untuk mendapatkan berat badan yang ideal.

Tahap dua juga boleh dirawat dengan menggunakan alatan sokongan pessary di dalam vagina untuk menolak rahim ke posisi atas.

Tahap tiga pula memerlukan rawatan segera sekiranya melibatkan pundi kencing atau usus. rawatan yang disyorkan ialah pembedahan histerektomi (pembedahan pembuangan rahim).

Jangan sampai hilang kemahkotaan wanita – Datin Rebecca Nur Al Islam

Culas pantang dan angkat berat yang berlebihan termasuk mendukung anak antara dua kepantangan yang dielakkan aktres Datin Rebecca Nur Al Islam. Menerusi perkongsiannya dalam Mingguan Wanita Talkshow hari ini, terbiasa dengan mengamalkan pengambilan jamu sejak kecil…ibu kepada lapan cahaya mata ini mengakui dia seorang berpemikiran tradisional terutama apabila menyentuh hal dalaman wanita.

Menurutnya lagi,proses  berpantang itu…waktu untuk dirinya fokus kepada memulihkan kesihatan dalaman, berurut, menjaga pemakanan, bertungku, makan jamu, menggunakan perubatan herba dan minyak urutan yang bersesuaian.

Selain pantang ‘bersama suami’, Rebecca juga mengamalkan teknik senaman kagel bagi menjaga kesihatan bahagian intimnya. Tegasnya lagi, menjaga itu lebih elok daripada merawat. Dia juga tidak mahu wanita di luar sana ‘hilang kemahkotaan wanita’ apabila gagal menjaga aset itu sebaiknya.

Jangan lupa saksikan siaran ulangan Mingguan Wanita Talkshow jam 5 petang hari ini yang memaparkan isu, Tombong Digeruni Wanita! di Astro Prima 105 dan di PrimaHD 121.