Tolonglah! Jangan Buang Anak Itu, Sebab Ada Orang Sanggup Bela

Share

Sebaknya baca kisah bayi perempuan yang dicampak dari tingkat empat Flat Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan lepas, Pulau Pinang itu. Walaupun bayi itu kini stabil dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang, tetap tindakan buang bayi itu tak boleh diterima dek akal.

Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli juga terkesan dengan tindakan tidak bermoral ibu muda seusia 18 tahun bayi berkenaan. Hakikatnya, apabila ibu terlalu buntu, sebenarnya ada cara lebih selamat dengan menyerahkan bayinya itu pada keluarga angkat.

Kerana, ramai saja yang sedia menghargai bayi berkenaan. Cuma caranya bagaimana. Ini proses yang peguam terangkan proses pengambilan anak angkat. Sila hadam.

Jangan Buang Bayi Itu, Ada Orang Sanggup Mengambilnya

Semalam ada satu berita yang dah lama tak kedengaran iaitu kes buangan bayi. Isunya berlaku di Bayan Baru, Pulau Pinang. Bayi tersebut dilempar daripada tingkap sebuah flat dari tingkat tiga namun dengan kuasa Allah, alhamdulillah anak tersebut masih lagi hidup.

Sejujurnya saya tak dapat tengok gambar berita tersebut apatah lagi mendengar dengan habis berita yang disampaikan di televisyen. Saya percaya ramai yang akan ada perasan geram, marah, sedih dan kesian terhadap isu tersebut. Dan pasti akan ramai yang akan cakap ‘daripada dia nak bunuh anak tu, lebih baik bagi kat aku, biar aku yang bela’.

Memang ramai yang akan sanggup untuk mengambil seseorang bayi untuk menjadi anak angkat. Tambah-tambah pasangan yang tidak ada zuriat sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Cuma, masalab besar adalah mereka tidak tahu bagaimana proses yang sepatutnya dilalui dan bertepatan dengan undang-undang.

Jadi, ada beberapa perkara yang perlu diketahui untuk proses pengambilan anak angkat yang sah disisi undang-undang.

Permohonan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat

Bagi pasangan yang berhajat untuk mengambil anak angkat dan membuat pengangkatan yang sah, mereka boleh memohon kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Cuma, ada syarat dan kriteria yang mesti dipenuhi dan terpaksa menunggu giliran yang lama kerana ramai yang membuat permohonan.

Namun, sekiranya satu pasangan suami isteri atau mana-mana individu perseorangan mempunyai rezeki untuk mendapat anak angkat secara terus daripada ibunya, itu lebih baik. Namun, tak semua orang ada peluang sebegini.

Elakkan agen jual bayi

Di internet, ruang penipuan itu sangat terbuka. Ada yang ingin mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan keatas mereka yang memang mahukan anak angkat. Bagi pasangan yang memang terdesak, wang ringgit memang tidak menjadi masalah. Namun, banyak yang tertipu dengan isu begini. Selalunya agen ini akan menyatakan sejumlah wang yang besar disamping menyuruh agar kita menanggung kos bersalin ibu tersebut.

Sebaiknya bayi yang masih menyusu

Bukan maksudnya anak yang dah besar itu tak bagus kalau diambil sebagai anak angkat, namun, sebaiknya anak tersebut masih menyusu badan. Ini kerana bayi ini berpeluang menjadi anak susuan kepada ibu angkat tersebut. Hukumnya sama seperti anak kandung bagi anak susuan ini dari segi auratnya kelak. Sekarang ini, banyak klinik penyusuan yang boleh berikan rawatan untuk mengeluarkan susu badan meskipun tidak melahirkan anak.

Proses akuan sumpah

Bagi mereka yang telah mendapat seorang anak angkat, proses pertama yang perlu dilakukan adalah proses akuan sumpah. Proses ini mesti dilakukan dihadapan mana-mana Pesuruhjaya Sumpah yang bertauliah dengan kehadiran ibu kepada anak tersebut bersama keluarga angkatnya. Surat akuan sumpah tersebut ada disediakan di Jabatan Pendaftaran Negara. Atau juga mungkin telah disediakan oleh pesuruhjaya sumpah tertentu.

Sijil Pengangkatan Sementara

Selepas melalui proses akuan sumpah, bayi tersebut bersama dengan keluarga angkat mestilah seberapa segera ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan Sijil Pengangkatan Sementara. Jika masih tidak berubah, borangnya berwarna merah. JKM akan menyoal sedikit tentang latar belakang keluarga angkat untuk memastikan kebajikan anak tersebut terbela. Sijil sementara tersebut tidaklah sekuat Sijil Pengangkatan yang sah kerana ia hanya bertahan sehingga 2 tahun. Jika ibu kandung hendak membuat pembatalan penyerahan atas faktor kebajikan anak terjejas, ia masih boleh dilakukan di Mahkamah Sivil.

Sijil Pengangkatan Sah

Selepas tempoh 2 tahun anak angkat berada di bawah jagaan keluarga angkat, keluarga angkat boleh memohon Sijil Pengangkatan Tetap secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara. JPN akan menyoal latar belakang keluarga angkat sebelum memberikan sijil tersebut. Ketika waktu ini juga, jika keluarga angkat hendak memohon pertukaran nama juga adalah dibenarkan cuma, tidak boleh dibin atau bintikan kepada bapa angkat sahaja.

Rebut anak angkat di Mahkamah Syariah

Seandainya satu pasangan Islam yang mungkin berpisah dan mempunyai isu hak jagaan anak angkat, ia masih dibawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Anak angkat juga tetap dikira anak dibawah Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri. Jadi, ibu dan bapa angkat perlu mengemukakan bukti dan hujah masing-masing siapa yang lebih berhak untuk menjaga anak tersebut. Begitu juga bagi ibu kandung yang ingin membuat tuntutan semula, proses tuntutan tersebut juga di Mahkamah Tinggi Syariah asalkan proses pengangkatan tersebut adalah sah.

Anak angkat tak boleh mewarisi

Walaupun anak angkat tersebut mungkin sudah menjadi anak susuan, namun, kedudukannya sebagai waris terhadap pusaka kita adalah tidak dibenarkan. Namun, jika kita bimbang anak angkat kita akan terabai tanpa mewarisi apa-apa daripada kita, mereka masih boleh menerima wasiat atau hibah. Kedua-dua instrumen harta ini akan menjadi pembela kepada hak anak angkat dalam Islam.

Wali perkahwinan

Jika anak angkat perempuan yang diambil tersebut adalah anak tidak sah taraf, maksudnya tidak ada bapa kandung kepada anak perempuan tersebut, maka jika anak itu besar kelak, perlu mohon kepada Mahkamah untuk Wali Hakim sekiranya mahu mendirikan rumahtangga.

Atau juga, tidak diketahui siapa bapa kandung dan dimana dia berada, mungkin juga boleh memohon untuk Wali Hakim di Mahkamah Syariah. Tapi, bagi anak angkat yang memang bapa kandungnya masih wujud, maka walinya masih bapa kandung tersebut.

Nafkah Anak Angkat

Nafkah bagi seorang anak angkat yang diambil secara sah oleh keluarga angkat, nafkahnya adalah sama tertanggung oleh seorang bapa kandung. Sekiranya pasangan bercerai sekalipun, ibu angkat boleh menuntut nafkah anak angkat tersebut kepada bekas suaminya, dengan syarat pengangkatan tersebut dilakukan secara sah dan yang lebih bagus, nama bapa angkat juga terdapat di dalam sijil pengangkatan.

Kesimpulannya, sebagai seorang islam dan beriman, pastinya kita tidak mahu isu pembuangan bayi ini berterusan. Daripada anak yang tidak berdosa ini terbunuh, sebaiknya kita boleh menjadi penyelamat kepada nyawa yang tidak berdosa tersebut. Bahkan Rasulullah saw juga mempunyai anak angkat sejak kecil sehingga besar iaitu Zaid bin Harithah.

Walaupun anak tersebut adalah anak angkat, saya percaya mereka juga adalah saham terbesar kita diakhirat mahupun di alam barzakh kelak kerana doa anak yang soleh itu pastinya tidak tersepit hanya untuk anak kandung semata-mata. Wallahualam. Siapa yang rasakan nak ambil anak angkat, cuba beritahu pada rakannya, apa yang saya sampaikan ini. Boleh tak?

Jangan dibunuh nyawa tak berdosa, ada yang sanggup memeliharanya.

MW : Menakutkan bila baca kes-kes buang bayi begini, tolonglah share info ini. Sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang dalam kebuntuan.

Sumber/Foto : Fahmi Ramli

Published by
Team MW