Walaupun sedang bertarung nyawa, ibu yang positif Covid-19 tetap fikirkan anak dalam kandungan. Dan minta pada doktor, “Tolong selamatkan bayi saya.”
Ternyata tiada yang lebih utama daripada anak yang dikandung berbanding nyawa sendiri. Di saat antara hidup dan mati, seorang ibu masih merayu agar anaknya diselamatkan.
“Tolong selamatkan bayi saya,” itu permintaan seorang pesakit Covid-19. Kepada Dr Tan Boey Warn, pegawai perubatan Unit Rawatan Rapi (ICU), Jabatan Perubatan Anestesiologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor.
Kongsi Dr Tan, 33, sehingga ke saat ini, dirinya tidak dapat melupakan kata-kata pesakitnya itu yang diungkapkan sebelum ditidurkan atau diintubasi.
Biarpun sudah biasa mengendalikan prosedur itu, namun Dr Tan mengakui sebak melihat harapan pesakit terbabit yang mahu melihat bayinya selamat walaupun sedang bertarung nyawa.
“Pesakit itu sedang hamil anak kedua dan mengalami Covid-19 yang serius, malah dia sendiri meminta bantuan pernafasan kerana sudah tidak berupaya untuk bernafas dengan baik.
“Keadaan paru-parunya juga agak teruk dan cara pengendalian pesakit itu agak berbeza kerana keadaannya yang hamil.
“Jadi, saya perlu mengeluarkan bayi dalam kandungannya dahulu sebelum meniarapkan badannya untuk diintubasi,” katanya.
Baca Juga Di Sini:
Doktor Ini Kongsi, RISIKO Jangkitan Covid-19 Wanita Hamil Lebih TERUK, Bersalin Awal!
Doktor Hamil 29 Minggu Positif Covid-19, Bayi Selamat Dilahirkan Lebih Awal Elak Komplikasi
Jururawat Dijangkiti Covid-19 Ketika Kandungan 30 Minggu Meninggal, Syukur Bayi Berjaya Diselamatkan
Emma Maembong & Suami Positif Covid-19 Tiada Sebarang Simptom, Syukur Baby Negatif
Sebelum menjalankan prosedur intubasi, Dr Tan berkata, dia perlu menenangkan pesakit dan tugas itu bermain dengan emosi.
“Jika pesakit itu Muslim, saya minta mereka berselawat dan membaca doa sebelum diintubasi.
“Begitu juga dengan pesakit yang menganut agama lain, saya akan beri semangat dan minta lakukan perkara sama (berdoa),” katanya yang mempunyai sembilan tahun pengalaman sebagai pegawai perubatan dengan enam tahun dalam bidang anestesiologi.
Menyedari keresahan keluarga terhadap keadaan pesakit Covid-19, Dr Tan meminta semua pihak memahami dan menaruh keyakinan terhadap pegawai perubatan dan petugas kesihatan.
“Saya mohon pengertian masyarakat dengan kekangan serta kesibukan kami terutama yang bertugas di ICU.
“Keadaan dalam wad ICU Covid-19 sama sahaja, malah kami seperti angkasawan kerana perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap.
“Jadi, jika mereka tidak dapat menghubungi wad, bersangka baiklah kerana kita bukan enggan berkongsi perkembangan terkini tetapi ada kalanya tiada masa menjawab panggilan telefon,” katanya.
Mingguan Wanita : Lumrah seorang ibu, demi anak dia sanggup korbankan apa saja. Semoga semua pesakit Covid-19 di luar sana kuat berdepan dengan virus ini dan cepat sembuh.
Sumber : myMetro
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW