Selepas beberapa hari, akhirnya isteri kepada vokalis Seventeen, Dylan Sahara, 25, ditemui mati selepas badai tsunami malam Sabtu lalu.
Orang ramai turut bersimpati apabila melihat video yang tular di media sosial memaparkan detik bagaimana ombak besar tsunami akibat dari letusan gunung anak krakatau di Selat Sunda menghancurkan pentas utama konsert yang sedang rancak berlangsung pada hari kejadian.
Berita kematian Dylan disahkan suaminya, Riefan Fajarsyah atau Ifan melalui Instagram dan meminta orang ramai mengirimkan al-Fatihah buat isterinya.
“Alhamdulillah sudah ketemu isteriku dylan_sahara, terima kasih teman mendoakan, cuma Allah dapat balas kebaikan semua.
“Minta tolong kirim al-Fatihah buat isteriku, InsyaAllah husnul khotimah. Allahumma Amin,” tulisnya.
Dylan yang juga seorang pelakon dan pengacara hilang sejak Sabtu lalu selepas pentas persembahan kumpulan Seventeen di Tanjung Lesung Beach Resort dipukul gelombang tsunami.
Menurut sumber berita dari Indonesia, jenazah Dylan ditemui di Hospital Pandeglang selepas dikenal pasti kira-kira jam 7 malam (waktu tempatan).
Pengurusan Seventeen, Aconk berkata, ketika ini, jenazah sudah dibawa menuju Hospital Serang untuk dimandikan.
“Iya ditemui di Hospital Pandeglang, jamnya tidak tahu tetapi identiti sudah dikenal pasti.
“Perancangannya, sebaik dimandikan di Hospital Serang, jenazah Dylan akan diterbangkan ke kampung halamannya di Ponorogo, Jawa Timur,” katanya.
Ifan juga sudah melihat jenazah isterinya dan sama-sama menaiki ambulans menuju ke Hospital Serang.
Ketika kejadian, Dylan yang berada di belakang pentas tempat Seventeen mengadakan persembahan untuk satu undangan acara himpunan sebuah syarikat elektrik Indonesia yang dihadiri 260 orang.
Ifan, satu-satunya anggota kumpulan itu yang terselamat selepas dua pemain gitarnya, Herman Sikumbang dan Muhammad Awal Purbani serta pemain dram, Andi disahkan terkorban.
Sementara itu, Juliana Moechtar, isteri kepada gitaris Seventeen masih dalam keadaan berduka.
Jumlah mangsa yang maut dalam kejadian tsunami yang melanda Banten di Jawa Barat, Indonesia meningkat kepada 222 orang. Manakala 843 cedera dan 28 mangsa masih lagi hilang dalam tragedi berkenaan.
Semoga saudara-saudara kita disana dalam keadaan baik baik sahaja. Salam takziah buat mereka yang kehilangan insan tercinta.