Debaran mak ayah makin terasa. Semakin dekat dengan hari pengumumam peperiksaan UPSR, makin ‘dup dap dup dap’ dalam dada. Dalam hati mak ayah harapkan keputusan terbaik diperoleh anak-anak.
Cemerlang atau sebaliknya, mak ayah kena terima keputusan anak itu dengan lapang dada. Kerana perjalanan mereka masih panjang.
Abdul Muiez Ruslee berkongsi pesan apa yang seharusnya mak ayah lakukan sebaik keputusan peperiksaan diumumkan. Yang penting, jangan paksa anak, masuk sekolah impian mak ayah. Kenapa pula? Haa.. baca perkongsiannya.
29 November, itulah tarikh muktamadnya. Semua murid tahun 6 2018, boleh mengambil Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) di sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi.
Macam mana? Cemas? Begitulah. Harapan emak ayah setinggi gunung. Cuma yang menjadi teka teki ialah, adakah anak-anak mampu merealisasikan impian kita atau sebaliknya.
Macam mana kalau keputusan UPSR tidak sebaik orang lain?
Sabar emak dan ayah sekalian. UPSR sekarang tak sama macam zaman kita dulu. Dahulu, kekuatan individu bergantung sepenuhnya kepada berapa A yang kita dapat. Tetapi sekarang, penilaian pelajar dibuat secara holistik. Bukan sekadar bilangan A dalam UPSR semata.
Untuk pengetahuan semua, UPSR adalah satu daripada empat komponen yang terdapat dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah. Perkara lain yang turut dinilai di dalam PPSR ialah,
√ Psikometrik,
√ Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani,
√ Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Jadi, andai anak-anak kita tidak mendapat keputusan yang baik di dalam UPSR, jangan risau. Kerana ada 3 perkara lain yang turut dinilai. Sebab itu, ada antara pelajar yang memperoleh 3A pun dapat menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Relaks.
Masalah utama ibu bapa sekarang ini ialah, ke mana hala tuju anak-anak ini selepas tahun 6.
Soalan itu sepatutnya bukan difikir waktu sekarang tetapi sebelum anak-anak menduduki UPSR lagi? Kenapa?
Sekarang ini, kebanyakan permohonan ke sekolah-sekolah hebat sudah ditutup.
Contohnya, permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh. Dibuka pada 27 Ogos dan ditutup pada 30 September 2018. Malah, pelajar-pelajar yang terpilih telah pun menduduki Ujian Kemasukan Sekolah Berasrama Penuh beberapa minggu lalu.
Begitu juga permohonan ke sekolah menengah kawalan KPM seperti SMKA, SABK, Sekolah Rancangan Khas dan seangkatan dengannya. Permohonan dibuka pada September 2018 dan ditutup pada Oktober 2018
.Yang tinggal hanyalah MRSM. Permohonan kemasukan ke tingkatan 1 MRSM 2019 akan ditutup pada 30 November 2018 (sehari selepas keputusan UPSR diumumkan)
Bagaimana jika anak-anak kita tidak memohon ke mana-mana? Jangan risau. Setiap sekolah rendah ada feeder school sendiri. Jika kalian tidak membuat apa-apa permohonan, tunggu sajalah surat penempatan ke sekolah menengah berhampiran kawasan rumah.
Sebelum kita memaksa anak-anak untuk masuk ke mana-mana sekolah, kita nilai dahulu keadaan anak-anak kita. Sebagai contoh. Ramai ibu bapa yang menginginkan anak mereka belajar di sekolah tahfiz. Sedangkan, anak-anak itu tidak mampu.
Sama juga keadaannya jika kita mengharapkan anak-anak kita berada di sekolah berasrama penuh. Kita nilai dahulu prestasi mereka sepanjang tahun. Bukan sekadar penilaian kepada tahap akademik, tetapi termasuk kokurikulum mereka.
Kenapa? Ya, memang anak-anak kita layak untuk masuk ke sekolah pilihan. Tetapi kita khuatir, anak-anak itu tidak mampu survive untuk hidup di dalam persekitaran ‘beraras tinggi’.
Bila kami rakan-rakan kaunselor duduk berkongsi cerita, tidak terlepas kisah pelajar-pelajar sekolah elite yang lemas dalam situasi ‘kelas tinggi’. Akhirnya mereka terpaksa keluar meninggalkan sekolah yang diidamkan oleh ibu bapa.
Bila ditanya, kenapa? Jawapan mereka mudah. “Mak ayah suruh masuk sini
.” Allahu akbar.Jadi, kepada ibu bapa. Sebelum kita mengarah anak kita untuk ke sana sini, berbincanglah dari hati ke hati. Ceritakan pro dan kontra apabila belajar di sesebuah sekolah. Mudah-mudahan, mereka masuk dengan keadaan hati yang terbuka. Atas pilihan sendiri, bukan paksaan ibu bapa.
Ya, saya tahu. Berada di SBP, MRSM itu memang impian setiap ibu bapa. Sama juga dengan saya. Cuma, penilaian terhadap anak kita perlu dibuat secara menyeluruh agar mereka mampu melangkah seiring dengan rakan-rakan yang lain untuk mencorak kejayaan.
Berada di sekolah menengah kebangsaan biasa bukannya tidak bagus. Ramai juga pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi.
Cuma itulah. Kata kuncinya, jangan memaksa anak. Kita tunjukkan lorong, biar anak yang pilih.
Sumber gambar: pendidik2u, ikimfm.my