Anak payah membaca atau menulis ketika belajar di sekolah, bukan bererti dia tak bijak tetapi ada kemungkinan, si kecil mengidap disleksia.
Sindrom disleksia agak sukar dikenal pasti sejak kecil kerana ia tidak seperti sindrom atau penyakit lain. Dari segi fizikalnya, anak kelihatan sama seperti kanak-kanak normal. Tetapi kalau nak tahu lebih jelas ciri-ciri anak disleksia, jemput baca perkongsian Cikgu Mohd Fadli Salleh.
Anak-anak kita, jika pernah kita dapati mereka lambat bertutur, susah ingat apa yang dipelajari, tulisan bercelaru, terlampau aktif atau pendiam, sangat perlahan dalam pelajaran; tolong. Tolong jangan labelkan mereka sebagai lembab, bodoh, bengap dan seumpamanya.
Kemungkinan anak ini mempunyai masalah pembelajaran atau disleksia. Bagaimana hendak kenali anak disleksia? Berikut antara ciri-ciri disleksia.
Murid/anak disleksia payah nak faham jika kita bagi arahan yang panjang-panjang. Arahan pendek sahaja mereka senang tangkap seperti,
“Adik, duduk.”
“Adik, baca buku.”
Elakkan memberi arahan yang panjang seperti ini,
“Adik, ambil buku cerita dalam bilik, atas meja, sebelah lipstick Mary Kay ibu, bawah wallet ayah kemudian buat kerja muka surat 45.”
Bagi kita, arahan itu jelas. Bagi anak disleksia, ia umpama syair pujangga yang tidak mampu mereka fahami.
Anak-anak seawal usia 6-7 tahun sepatutnya sudah pandai mengikat tali kasut jika kita ajar mereka beberapa kali. Jika anak kita umur 9-10 tahun dan dah ajar ikat berpuluh kali pun masih tak mampu ikat, mungkin dia ada masalah disleksia. Beli saja kasut tampal. Settle.
Anak disleksia biasanya aktif atau pendiam. Antara satu. Mereka juga tidak pandai mengimbang badan jika diminta berjalan atas titi.
Kanak-kanak disleksia biasanya pelat dan mempunyai masalah ‘speech delay’. Masalah pertuturan yang lambat dan pelat antara ciri-ciri kanak-kanak disleksia. Namun perlu ingat, bukan semua anak pelat dan lambat dalam bertutur itu merupakan anak disleksia. Ini hanya salah satu ciri-ciri kecil sahaja. Jangan cepat buat konklusi ya!
Biasanya di sekolah, guru cepat dapat kesan murid disleksia melalui tulisan mereka dan cara mereka belajar. Huruf dan nombor sering mereka terbalik dan keliru.
Malah ada murid menulis seperti kita lihat dalam cermin. Terbalik!
Ya, di mata anak-anak ini, tulisan yang mereka lihat itu seolah-olah terapung, menari-nari dan bergerak. Begitu juga gambar. Ini membuat mereka cepat keliru dan hasilnya dapat dilihat pada tulisan mereka.
Apa yang diajar juga cepat mereka lupa. Ajar A, B, C sahaja, masuk huruf D, huruf A dan B dah lupa. Walau diulang-ulang mereka sangat lambat ingat dan faham. Ini ciri-ciri besar anak disleksia dan perlu diambil perhatian.
Jika kita menulis sesuatu di papan putih, mereka mengambil masa sangat lama untuk menyalin. Sangat lambat untuk faham dan tulisan pula tunggang terbalik.
Itu 6 ciri-ciri disleksia yang dapat aku kongsi malam ini. Walau pun anak kita menepati ciri-ciri yang aku tulis, jangan cepat simpulkan bahawa mereka ini mempunyai masalah disleksia.
Bawa jumpa pakar kanak-kanak untuk pengesahan lanjutan melalui ujian yang dijalankan. Banyak hospital kerajaan yang punya pakar kanak-kanak dan membuat ujian bagi mengesan penyakit kanak-kanak seperti ini.
Antaranya Hospital Selayang, pergi sahaja ke Unit Mekar dan buat temujanji dengan doktor pakar kanak-kanak.
Dan jika anak kita disahkan disleksia, tolong, tolong, tolong jangan malu untuk masukkan mereka ke kelas pendidikan khas.
Di sana hak mereka. Di sana tempat yang paling sesuai untuk mereka belajar. Guru-guru pendidikan khas dilatih untuk mendidik anak-anak seperti ini. Mereka punya kepakaran dan handal sekali memulihkan kanak-kanak disleksia.
Tahukah anda, seorang guru pendidikan khas hanya mengajar 7 orang murid sahaja? Tumpuan penuh dapat diberi pada anak-anak kita.
Bergantung pada kemajuan anak-anak kita. Ada yang masuk 6 bulan, ada yang setahun, ada pula yang bertahun-tahun. Sebaik dipulihkan, mereka akan dihantar ke aliran perdana dan dikenali sebagai murid inklusif.
Murid ini akan terus dipantau oleh guru pendidikan khas. Jika mereka dapat ikuti dengan baik pelajaran di kelas aliran perdana, mereka akan terus kekal di aliran perdana.
Namun jika guru pendidikan khas mendapati mereka belum bersedia dan makin merudum teruk pelajarannya serta mula mengganggu kelas dan rakan-rakan, mereka akan ditarik semula ke kelas khas untuk dipulihkan. Sebaik bersedia, di hantar semula.
Jangan terkejut tuan-tuan jika saya kata ada murid inklusif mendapat 6A dalam peperiksaan UPSR. Jangan terkejut ya!
Anak-anak ini boleh sebenarnya. Mereka mampu kuasai dengan syarat kita sebagai ibu bapa dan guru terus menerus memberi sokongan kepada mereka serta memberikan hak yang sepatutnya mereka terima.
Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat pada semua yang rajin membaca hingga titik terakhir.