Pinjam senang tetapi kalau nak bayar hutang bukan main payah. Haaa… ini berkait dengan isu panas di laman sosial tentang penangguhan bayaran pinjaman PTPTN bagi semua graduan yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, ramai yang rasa lega bila dapat kelonggaran tangguh bayar.
Namun ingat ya, hutang PTPTN tetap kena bayar walaupun tak diwajibkan untuk gaji 4k ke bawah. Allah SWT tahu kita kurang mampu maka sebab itu kita berhutang. Dan dengan niat berhutang nak bayar balik, Allah SWT mudahkan jalan rezeki kita. Tapi siapa berniat nak lari dari bayar hutang, nanti makin susah hidupnya.
Bercakap pasal tagih hutang ni, ada yang sampai putus sahabat gara-gara berhutang. Sebab itulah jangan dibuat main dengan hutang ni.
“Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya.”
Imam Bukhari
Maka sekiranya kita mampu, bayarlah hutang tersebut secepat mungkin. Adalah satu kezaliman kita menangguhkan membayar hutang sedangkan kita ada duit. Bak kata Cikgu Mohd Fadli Salleh, kalau dah berhutang tolong jaga adab berhutang. Nah, jemput baca dan berlapang dada…
TUJUH ADAB BILA BERHUTANG.
Hidup kita, ada turun naiknya. Masa sempit dan terdesak, terkadang kita perlu meminjam dengan kawan. Suka aku ingatkan, bila berhutang tolong jaga adab-adab berhutang agar hubungan berkekalan.
1) Tepati janji.
Bila berjanji nak bayar sekian-sekian hari, maka tepatilah. Aku pernah berhutang bila terdesak. Bila aku janji nak bayar hari gaji, aku langsaikan semua sekali walau aku tahu baki itu tidak mencukupi.
Bayar dulu, dan hutanglah lagi. Sangat perlu kecilkan nilai hutang seterusnya. Contoh kau hutang seribu, bayar dulu seribu walau baki tinggal rm100 sahaja.
Nak teruskan hidup, pinjam jangan lebih dari nilai asal. Contohnya cukup sekadar 5-6 ratus. Gaji seterusnya, bayar semua sekali terus sekali lagi. Masa ni kalau tak cukup pun sekadar seratus dua sahaja.
Masuk bulan ketiga, dah mampu bayar semua tanpa perlu hutang semula. Senang kan?
Kawan pun rasa tenang bagi kau hutang bila kau jenis yang tepati janji.
2) Maklumkan segera bila tak mampu tepati janji.
Adakalanya, bila kita buat janji sekian-sekian hari, kita tak mampu nak tunaikan atas pelbagai sebab yang tak dapat dielak.
Ads
Sebaik kita pasti tak dapat tunaikan pada hari yang dijanjikan, maklumkan awal-awal. Jangan sampai kawan kita tertunggu-tunggu. Jangan diam sahaja atau tunggu kawan yang minta.
Cakap elok-elok, minta maaf banyak-banyak. Minta satu tarikh baru yang boleh kau tepati janji. Jangan amalkan selalu bertangguh seperti ini.
Sesekali boleh, tapi pastikan maklum awal. Jangan tangguh berkali-kali dan heret masa lama sangat dari tarikh asal.
Ini penting untuk pastikan kepercayaan orang pada kita kekal selamanya.
3) Jangan blok pemberi hutang. Jangan tak angkat call. Jangan tak balas wasap.
Ini pun pantang besar juga. Bila tak mampu bayar, dia blok pemberi hutang. Malah jika kawan tu call, dia cancel dan tak angkat.
Wasap pula tinggal blue tick sahaja. Marahlah orang. Memang mengundang makian kalau buat gini.
Jawab panggilan, reply wasap elok-elok. Lebih elok pergi berhadapan dan jelaskan situasi sebenar. Minta maaf pula. Baru pemberi hutang tidak terasa hati.
Ads
4) Ungkap maaf, terima kasih.
Ini sangat penting. Bila orang beri hutang, ucap terima kasih. Satu ucapan ringkas yang mampu memberi senyuman pada kawan.
Bila tak mampu bayar, atau tangguhkan tempoh bayaran, minta maaf elok-elok. Bukan ego dan berlagak pula.
Sebaik hutang diselesaikan, ucap juga terima kasih atas pertolongan kawan itu. Adab ini kena jaga. Ingat ya!
5) Jangan sindir-sindir pemberi hutang.
Ada segelintir pemiutang ini jenis suka menyindir. Masa dia nak berhutang bukan main lagi lembut lidah. Dah dapat hutang, nak bayar pun liat. Bila kawan tu minta, disindir pula kita depan muka atau di alam maya.
“Alah. Setakat hutang RM50 pun kecoh. Tu pun nak bising-bising. Apa guna kawan entah!”
Amboi kau. Sedapnya mulut. Dia bagi pinjam sebab anggap kau kawan. Dia minta sebab kau tu tak pandai tunai janji. Itu hak dia, dia layak minta.
Jenis ni sangat teruk. Orang dah berbudi, dia balas dengan tahi.
6) Jangan bermewahan selagi hutang tak settle.
Hal ini paling ramai pemberi hutang marah. Dah la hutang mereka dia diamkan sahaja, dia pula bermewah-mewah.
Selalu tengok wayang, makan restoran mahal, beli pula pakaian berjenama dan melancong sini sana.
Ads
Amboi, hutang orang banyak alasan. Kau punya berbelanja macam setan.
Mengalahkan First Lady Type R pula kau ni. Elok lipat tujuh sumbat dalam guni.
7) Jangan mengungkit.
Jangan sesekali mengungkit untuk melepaskan diri dari hutang. Kau hutang, kau bayar. Itu sifirnya. Itu tanggungjawab kau yang kau dah setuju dulu.
Ada yang suka mengungkit kebaikan mereka suatu ketika dulu.
“Dulu masa sama-sama susah, aku selalu belanja dia tu makan. Beli barang dapur, bayar sewa rumah. Sekarang aku susah, pinjam RM500 je pun kecoh minta dah.”
Aduh bang. Budi kau dulu tu kau yang taburkan. Sekarang ini soalnya tentang hutang. Jangan berhutang kemudian mengungkit kisah lama.
Kalau begitu baik jangan minta pinjam. Minta terus. Ungkit sewaktu meminta. Senang. Bila dia beri, itu dah tak kira hutang tau. Dia pun takkan tuntut balik.
“Kau ingat tak Bibol? Masa kita susah dulu berus gigi aku pun aku kongsi lagi. La ni aku susah, kau senang. Bak seribu bagi aku boleh? Bukan nak pinjam, aku nak minta terus.”
Kan senang terus terang gitu. Dia beri, rezeki kau. Dia tak beri, kau cari kawan lain. Itu kawan yang tak kenang budi. Simple je sebenarnya.
Itu tujuh adab berhutang yang aku susun untuk kau baca dan hadam.
Ingatlah, bila kita berjanji orang akan berharap. Kau janji nak bayar 25hb, maka 24hb kawan tu tak risau nak berbelanja sebab yakin 25hb duit dia akan dapat pula.
Sekali kau mungkiri janji, hidup dia pula terkapai-kapai. Dia pula terpaksa meminjam sebab kau tak bayar hutang dia.
Maka hidup kau sentiasa dalam caci maki orang. Mana nak berkat hidup kita kalau asyik kena maki saja.
Kena juga ingat, kawan tu beri kau hutang kerana anggap kau kawan. Jangan khianati sebuah persahabatan yang dia taruh kepercayaan. Sekali khianat, selamanya orang akan ingat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ucapan terima kasih untuk segelas air itu hanyalah sekadar satu contoh untuk menghargai pemberian pasangan. Dan ini antara tip yang mengeratkan lagi hubungan suami isteri.
Ada banyak cara sebenarnya dalam mencari bahagia hidup berumah tangga. Baik suami mahupun isteri, keduanya perlu memberikan komitmen bersama, agar kasih sayang tidak hanya bertepuk di sebelah pihak.
Bagus sekali perkongsian Jaja Isa ini. Pesanan ibu dan mak mentua yang boleh diterima pakai untuk pasangan suami isteri melayari alam perkahwinan dengan aman dan tenang.
Ini Pesanan Ibu & Mak Mentua
Dulu, arwah ibu selalu pesan. Esok-esok bila dah kahwin kena banyak-banyak bersabar. Kena dekatkan diri dan kuatkan kebergantungan dengan Allah. Perkahwinan adalah gudang pahala. Apa yang kita buat, semuanya dikira sedekah. Sebab itu syaitan akan usaha buat macam-macam, bisik yang bukan-bukan untuk porak perandakan rumah tangga kita.
Mak mentua pula pesan. Dalam rumah tangga kita kena banyak tolak ansur. Cintai pasangan tanpa syarat, diselimuti syukur. Serta sabar sebagai penguatnya.
Guru saya, Bonda Nor kata kalau merajuk, jangan lama-lama. Rugi! Bila dah kahwin, kita kena bersedia terima sikap pasangan yang adakala tak seperti yang kita inginkan. Kena sentiasa berlapang dada.
Alhamdulillah, untungkan dapat banyak nasihat daripada orang-orang berpengalaman. Yang dah merasa masam manis hidup berumah tangga.
Syukur, hari ini genap setahun usia perkahwinan kami. Setahun yang penuh warna. Banyak perkara yang saya belajar. Baru tahu, rupanya seronok kahwin. Haha.. Antara perkara penting yang saya belajar untuk kekal bahagia dalam rumah tangga.
1. Komunikasi. Yang ini sangat penting dalam melayari rumahtangga. Perlu adanya perbincangan dua hala. Kalau tak puas hati, tak suka apa yang pasangan buat atau apa sekalipun, duduk berbincang. Bukan diam membisu dengan harapan pasangan boleh baca apa yang terpendam dalam hati kita. Pasangan kita bukan ahli silap mata. Yang penting, jangan suka bersangka-sangka atau buat andaian sendiri.
2. Sentiasa tolong menolong. Tak kira suami atau isteri kena sama-sama ringan tulang. Bila isteri memasak, suami basuh pinggan. Isteri menyapu, suami mop lantai. Kan seronok buat semua perkara bersama. Bak kata pepatah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Tambahan, bila suami berusaha membahagiakan isteri, isteri pula akan membahagiakan seisi rumah sepenuh hatinya.
3. Tolak ansur. Sebagai pasangan, dua-dua tak boleh keras kepala. Salah seorang kena beralah bila ada perbalahan atau krisis. Tak perlu tunjuk ego masing-masing. Rugi!
Sentiasa Ucap Terima Kasih
4. Kena sentiasa ucap terima kasih tanda kita menghargai pemberian, pengorbanan, keprihatinan atau bantuan yang diberikan pasangan. Tak kiralah sekecil apapun bantuan yang diberikan. Even ambilkan segelas air pun, ucaplah terima kasih. Kan berbunga hati pasangan kita.
5. Sentiasa minta maaf. Tak kisah suami yang salah atau isteri yang salah atau dua-dua tak salah. Minta maaflah selalu. Dr Fadhilah Kamsah pesan, nak eratkan lagi hubungan suami isteri, kena sama-sama saling bermaafan sebelum tidur. Maklumlah dalam seharian, kita tak sedar mungkin ada percakapan dan perbuatan kita yang mengores hati pasangan.
6. Sentiasa bergurau senda. Tak kisahlah nak main cakcak ke berlari dalam rumah ke. Apa saja yang boleh menghadirkan gelak ketawa pasangan, buatlah. Bukan ada yang tahu. Bila ada gurauan barulah happening. Lagi-lagi bila dapat pasangan yang seorang suka mengusik, yang seorang lagi mudah terhibur. Memang meriah rumah.
Lagi satu, suami saya sentiasa ingatkan, cinta bukan tentang perasaan saja tapi juga tentang komitmen. How 2 person commits to give their best, whatever it’s takes. Dalam rumahtangga kena sentiasa berebut-rebut buat kebaikan. Bukan mempertikaikan siapa yang paling banyak berkorban, siapa yang paling buat kerja etc.
Apa yang pasti, selepas berkahwin tiada lagi aku, yang ada hanyalah kita. Semoga Allah memelihara rumahtangga kita semua dengan mawaddah dan sakinah hingga akhir usia.
Selamat hari kita cinta hati
Mingguan Wanita : Perkahwinan bukan semata penyatuan dua hati, tetapi melunaskan setiap tanggungjawab yang bakal terpikul oleh keduanya.
Suraya Abu Hassan, 26 tahun, tidak pernah menyangka bahawa dirinya akan mengalami lumpuh separuh badan.
Segala-galanya bermula dengan sakit kepala yang dialami secara tiba-tiba. Namun, dia tidak menghiraukannya kerana mahu menumpukan perhatian kepada peperiksaan SPM yang bakal dihadapi pada tahun 2009.
Setelah tiga hari menamatkan peperiksaan, sekali lagi dia mengalami masalah yang sama. Kali ini lebih teruk kerana dia hampir pitam. Kejadian itu berlaku ketika dia menemani emaknya, Saayah Zaini ke Pekan Sehari berdekatan rumahnya.
Mereka kemudiannya balik ke rumah. Keadaan Suraya yang semakin membimbangkan menyebabkan emaknya membawa dia ke Klinik Desa Felda Lepar Utara, Pahang. Namun setelah bertemu doktor, Suraya hanya diberikan ubat tahan sakit.
Sebaik kembali semula ke rumah, badannya menjadi lembik. Kali ini bapanya Abu Hassan Zakaria segera membawanya ke hospital Temerloh.
Suraya bertuah kerana keluarga sentiasa ada di sisi memastikan dia dapat meneruskan hidup seperti biasa.
Pembedahan
Doktor di Hospital Temerloh telah mengesyorkan agar Suraya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. Hasil pemeriksaan scan oleh doktor di HKL mendapati ada air yang tersumbat pada otaknya.
Doktor segera melakukan pembedahan membuang air di bahagian kanan otaknya. Kesan pembedahan membuatkan Suraya tidak boleh bercakap lebih kurang 2 bulan lamanya.
“ Saya terbaring seperti mayat hidup. Itu yang saya rasakan ketika itu. Anggota badan terutamanya sebelah kiri tidak boleh bergerak. Perasaan saya pada ketika itu usah cakaplah.
Asyik menangis. Kalau diingatkan saat-saat tersebut memang menyedihkan,” ujar Suraya mengimbau kisah hampir Sembilan tahun lalu.
Walau lumpuh sebelah badan, Suraya masih mampu berjalan. Namun begitu langkahnya agak lemah. Nasib baik dia tidak memerlukan kerusi roda untuk bergerak.
Sambung Pelajaran
Lumpuh sebelah badan menyebabkan cita-cita Suraya tidak kesampaian. Lama juga dia mendiamkan diri di rumah tanpa melakukan sebarang kerja atau bergaul dengan ramai orang.
Dia mengakui keadaanya itu bukan sahaja memberi kesan pada dirinya malah emak dan ayahnya turut menerima tempiasnya.
“ Emak dan ayah risau tengok keadaan saya. Saya sedar saya perlu buat sesuatu untuk hilangkan rasa risau mereka itu. Dahulu saya fikir selepas SPM saya mahu menyambung pengajian. Saya mahu masuk Universiti. Cita-cita saya mahu jadi guru. Itu yang saya sedih bila jadi lumpuh sebelah badan.
Pada suatu hari saya, abang saya telah mengesyorkan saya belajar di PLPP Bangi yang kebetulan tidak jauh dari rumah dia. Saya setuju dan mengambil kursus IT dan Pembantu Tadbir.
Saya duduk di asrama. Itulah pertama kali saya berada berjauhan daripada keluarga. Di situ juga saya sedar masih ramai lagi OKU seperti saya. Malah ada yang lagi teruk daripada saya.
Melihatkan kesungguhan kawan-kawan OKU di sana telah menambah keyakinan saya untuk mengubah nasib. Saya akhirnya berjaya menamatkan kursus di sana.”
Jadi Guru Tadika Pasti
Sejak menamatkan pengajian di PLPP, Suraya telah mendapat kerja sebagai guru di sebuah Tadika Pasti yang terletak di Felda Lepar Utara Satu .
Tadika ini terletak tidak jauh dari rumahnya. Setiap kali pergi kerja, Suraya akan memandu sendiri kereta yang telah diubahsuai. Ternyata kekurangan diri bukan penghalang buat dirinya untuk berdikari.
Suraya bersama kanak-kanak Tadika Pasti yang pernah diajarnya.
Jadi guru menyeronokkan Suraya. Setiap hari dia perlu melayan kanak- kanak berusia 4 tahun. Keletah mereka menghiburkan hatinya.
“ Kadang-kadang ada juga mereka bertanya pada saya apabila mereka melihat saya berjalan dalam keadaan tidak teratur. Kak Su, kenapa jalan macam itu? Itu antara soalan yang biasa saya terima dari mereka. Saya hanya mampu senyum sahaja apabila mendengar soalan tersebut.
” Tugas saya di tadika itu mengajar kanak-kanak membaca, menulis dan mewarna. Apabila tengok kanak-kanak ini saya rasa gembira. Kecacatan tidak menghalang kerjaya saya.
Paling penting saya perlu ada kesabaran. Saya perlu sabar menghadapi dugaan dan berusaha untuk membangunkan diri. Itu paling penting.”
Penyelidik UM Ajar Suraya Melakukan Regangan
Prihatin terhadap nasib insan yang kurang bernasib baik telah membuatkan sekumpulan penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) telah melawat Suraya.
Kumpulan penyelidik UM bergambar kenangan bersama keluarga Suraya (dua dari kiri)
Program lawatan ini merupakan sebahagian dari siri program yang dinamakan ‘Be Able’ yang mendekati pelbagai segmen masyarakat OKU dan cuba mendekatkan mereka dengan aktiviti kemasyarakatan arus perdana.
‘Be Able’ telah dimulakan sejak 2016 dan menerima dana geran penyelidikan komuniti dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UM Cares). Geran dalaman ini diberikan kepada penyelidik UM yang mampu memindahkan kemahiran dan kepakaran penyelidikan mereka untuk manfaat masyarakat setempat.
Pensyarah Kanan dan Pakar Prostetik dan Ortotik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, Dr Nasrul Anuar Abdul Razak yang mengetuai delegasi penyelidik ini berkata, walaupun perjalanan mereka ke Felda Lepar Utara Satu, Bandar Tun Abdul Razak, Pahang ini mengambil selama 4 jam dari Kuala Lumpur, namun tidak mematahkan semangat ahli kumpulan penyelidik ini.
“ Objektif lawatan ini adalah bagi mendekati segmen komuniti orang kelainan upaya (OKU) yang mungkin terpinggir dan menerima khidmat sokongan pakar rawatan dan pemulihan.
Melihatkan keadaan Suraya ini saya percaya dengan latihan regangan yang betul dan dilakukan dengan konsisten, keadaan Suraya masih boleh dipulihkan lagi.”
Dengan bantuan pelajar sarjana Nur Afiqah Hashim dan Saibah Ghani, beberapa latihan regangan pemulihan telah dikongsi bersama Suraya untuk diamalkan secara konsisten.
Saibah (tengah) melakukan latihan regangan pergelangan tangan Suraya sambil diperhatikan Nasrul (kanan)
Keadaan lumpuh sebelah badan, atau dikenali sebagai ‘hemiplegia’, boleh disebabkan oleh pelbagai faktor yang melibatkan sistem saraf, sama ada strok atau lain-lain kecederaan fizikal.
Bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami oleh otak dan sistem saraf yang terlibat, tahap kelumpuhan yang terhasil juga berbeza, dan memerlukan strategi rawatan dan pemulihan yang bersesuaian.
Untuk jangka masa panjang, latihan regangan pemulihan sentiasa dicadangkan oleh mana-mana perawat pemulihan untuk mengembalikan fungsi fizikal tubuh pesakit yang lumpuh kepada tahap yang lebih baik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Masuk tahun ke-4 wanita ini menjalani kehidupan bermadu. Tenang.. dan tak berperang laki bini. Dia juga baik dengan adik madunya. Bagusnya wanita ini merai kehadiran adik madu dari saat suami menyuarakan hasrat mahu berpoligami sampailah selamat berumah tangga.
Bukan sedikit yang bertanya pada Nor Iida Amiza Ismail, bagaimana dia boleh merelakan semua itu. Malah bahagia sambut 5 kali Hari Raya dengan madunya. Tidak mahu berteka teki, wanita ini berkongsi tip dan persoalan yang ramai orang nak tahu tentang poligami.
“Ada yang minta tips. Ada yang pm tanya itu ini. Sebab ada yang berteka-teki dan menyimpan soalan-soalan yang terpendam, meh mummy tolong jawabkan ya.”
5 tahun sambut Aidilfitri dengan madunya.
Jawapan Poligami Yang Orang Nak Tahu Sangat
1. Dah Lama Ke Poligami?
Alhamdulillah dah masuk tahun ke-4. Baru je adik madu & tuan suami sambut anniversary yang ke-4 pada 20 Jun tempoh hari.
2. Baru Tahu Ke Atau Memang Dari Awal Tahu?
Memang tahu dari awal niat tuan suami. Kami berbincang dan ambil keputusan sama-sama. Mohon kebenaran poligami, turun naik mahkamah sama-sama. Pendek kata, tuan suami memang buat secara baik.
Tips untuk para suami di luar sana. Jika ada keinginan bernikah lagi, pastikan Tuan memang MAMPU ZAHIR DAN BATIN. Kalau tidak, lupakan sebelum periuk belanga singgah di kepala.
Seterusnya SUARAKAN dan BINCANG dengan isteri. Walaupun tidak perlukan keizinan isteri sedia ada , sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab, perlu BERITAHU isteri.
Disinilah ujian buat Tuan. Sama ada layak atau tidak untuk tuan berpoligami.
Walaupun nanti isteri meroyan, tolong jangan nafikan perasaan dan gejolak jiwanya. Pujuk dan didik isteri dengan SABAR dan LEMAH LEMBUT. Jika tuan mempunyai niat yang baik, Allah akan permudahkan.
Amacam, ada berani?
3. Tak takut Ke Berkurang Sana-sini?
Insya Allah, rezeki setiap orang telah ditentukan oleh Allah. Rezeki kita bukan di tangan tuan suami. Allah akan beri apa yang kita PERLUKAN, bukan yang kita MAHUKAN.
Di sini perlunya perancangan kewangan yang baik. Kasih sayang saja tak boleh nak bagi makan. Jika suami sudah berusaha memenuhi semua keperluan, isteri perlu terima dan berlapang dada. Dapat ekstra, itu bonus Allah nak bagi atas kesabaran isteri.
Alhamdulillah, sepanjang poligami ini, rasa cukup semuanya. Belum lagi kami kebulur sebab tak makan.
4. Tak Cemburu Ke?
Cemburu itu memang fitrah perempuan. Tapi cemburu biarlah berpatutan. Bukan yang didorong oleh nafsu nafsi. Di sinilah ujian untuk isteri. Jika buat kerana Ilahi, Insya Allah kita akan dapat menundukkan nafsu yang beraja di hati.
Orang yang berbahagia adalah mereka yang punya Allah di hatinya. Allah yang pegang hati kita. Jadi serahkan 100% pergantungan kepadaNya.
Harap jawapan ni dapatlah memuaskan hati. Insya allah ada kesempatan satu-satu bab tu akan dikupas lebih lagi. Jangan ada pulak nak membawang di belakang tu nanti.
Ada lagi ke soalan-soalan ‘maut’yang nak mummy jawabkan?
Ps: Ni mummy belanja gambar raya kami sekeluarga. Dah 5 kali beraya bersama. Alhamdulillah.
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...