Pinjam senang tetapi kalau nak bayar hutang bukan main payah. Haaa… ini berkait dengan isu panas di laman sosial tentang penangguhan bayaran pinjaman PTPTN bagi semua graduan yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, ramai yang rasa lega bila dapat kelonggaran tangguh bayar.
Namun ingat ya, hutang PTPTN tetap kena bayar walaupun tak diwajibkan untuk gaji 4k ke bawah. Allah SWT tahu kita kurang mampu maka sebab itu kita berhutang. Dan dengan niat berhutang nak bayar balik, Allah SWT mudahkan jalan rezeki kita. Tapi siapa berniat nak lari dari bayar hutang, nanti makin susah hidupnya.
Bercakap pasal tagih hutang ni, ada yang sampai putus sahabat gara-gara berhutang. Sebab itulah jangan dibuat main dengan hutang ni.
“Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya.”
Imam Bukhari
Maka sekiranya kita mampu, bayarlah hutang tersebut secepat mungkin. Adalah satu kezaliman kita menangguhkan membayar hutang sedangkan kita ada duit. Bak kata Cikgu Mohd Fadli Salleh, kalau dah berhutang tolong jaga adab berhutang. Nah, jemput baca dan berlapang dada…
TUJUH ADAB BILA BERHUTANG.
Hidup kita, ada turun naiknya. Masa sempit dan terdesak, terkadang kita perlu meminjam dengan kawan. Suka aku ingatkan, bila berhutang tolong jaga adab-adab berhutang agar hubungan berkekalan.
1) Tepati janji.
Bila berjanji nak bayar sekian-sekian hari, maka tepatilah. Aku pernah berhutang bila terdesak. Bila aku janji nak bayar hari gaji, aku langsaikan semua sekali walau aku tahu baki itu tidak mencukupi.
Bayar dulu, dan hutanglah lagi. Sangat perlu kecilkan nilai hutang seterusnya. Contoh kau hutang seribu, bayar dulu seribu walau baki tinggal rm100 sahaja.
Nak teruskan hidup, pinjam jangan lebih dari nilai asal. Contohnya cukup sekadar 5-6 ratus. Gaji seterusnya, bayar semua sekali terus sekali lagi. Masa ni kalau tak cukup pun sekadar seratus dua sahaja.
Masuk bulan ketiga, dah mampu bayar semua tanpa perlu hutang semula. Senang kan?
Kawan pun rasa tenang bagi kau hutang bila kau jenis yang tepati janji.
2) Maklumkan segera bila tak mampu tepati janji.
Adakalanya, bila kita buat janji sekian-sekian hari, kita tak mampu nak tunaikan atas pelbagai sebab yang tak dapat dielak.
Sebaik kita pasti tak dapat tunaikan pada hari yang dijanjikan, maklumkan awal-awal. Jangan sampai kawan kita tertunggu-tunggu. Jangan diam sahaja atau tunggu kawan yang minta.
Cakap elok-elok, minta maaf banyak-banyak. Minta satu tarikh baru yang boleh kau tepati janji. Jangan amalkan selalu bertangguh seperti ini.
Sesekali boleh, tapi pastikan maklum awal. Jangan tangguh berkali-kali dan heret masa lama sangat dari tarikh asal.
Ini penting untuk pastikan kepercayaan orang pada kita kekal selamanya.
3) Jangan blok pemberi hutang. Jangan tak angkat call. Jangan tak balas wasap.
Ini pun pantang besar juga. Bila tak mampu bayar, dia blok pemberi hutang. Malah jika kawan tu call, dia cancel dan tak angkat.
Wasap pula tinggal blue tick sahaja. Marahlah orang. Memang mengundang makian kalau buat gini.
Jawab panggilan, reply wasap elok-elok. Lebih elok pergi berhadapan dan jelaskan situasi sebenar. Minta maaf pula. Baru pemberi hutang tidak terasa hati.
4) Ungkap maaf, terima kasih.
Ini sangat penting. Bila orang beri hutang, ucap terima kasih. Satu ucapan ringkas yang mampu memberi senyuman pada kawan.
Bila tak mampu bayar, atau tangguhkan tempoh bayaran, minta maaf elok-elok. Bukan ego dan berlagak pula.
Sebaik hutang diselesaikan, ucap juga terima kasih atas pertolongan kawan itu. Adab ini kena jaga. Ingat ya!
5) Jangan sindir-sindir pemberi hutang.
Ada segelintir pemiutang ini jenis suka menyindir. Masa dia nak berhutang bukan main lagi lembut lidah. Dah dapat hutang, nak bayar pun liat. Bila kawan tu minta, disindir pula kita depan muka atau di alam maya.
“Alah. Setakat hutang RM50 pun kecoh. Tu pun nak bising-bising. Apa guna kawan entah!”
Amboi kau. Sedapnya mulut. Dia bagi pinjam sebab anggap kau kawan. Dia minta sebab kau tu tak pandai tunai janji. Itu hak dia, dia layak minta.
Jenis ni sangat teruk. Orang dah berbudi, dia balas dengan tahi.
6) Jangan bermewahan selagi hutang tak settle.
Hal ini paling ramai pemberi hutang marah. Dah la hutang mereka dia diamkan sahaja, dia pula bermewah-mewah.
Selalu tengok wayang, makan restoran mahal, beli pula pakaian berjenama dan melancong sini sana.
Amboi, hutang orang banyak alasan. Kau punya berbelanja macam setan.
Mengalahkan First Lady Type R pula kau ni. Elok lipat tujuh sumbat dalam guni.
7) Jangan mengungkit.
Jangan sesekali mengungkit untuk melepaskan diri dari hutang. Kau hutang, kau bayar. Itu sifirnya. Itu tanggungjawab kau yang kau dah setuju dulu.
Ada yang suka mengungkit kebaikan mereka suatu ketika dulu.
“Dulu masa sama-sama susah, aku selalu belanja dia tu makan. Beli barang dapur, bayar sewa rumah. Sekarang aku susah, pinjam RM500 je pun kecoh minta dah.”
Aduh bang. Budi kau dulu tu kau yang taburkan. Sekarang ini soalnya tentang hutang. Jangan berhutang kemudian mengungkit kisah lama.
Kalau begitu baik jangan minta pinjam. Minta terus. Ungkit sewaktu meminta. Senang. Bila dia beri, itu dah tak kira hutang tau. Dia pun takkan tuntut balik.
“Kau ingat tak Bibol? Masa kita susah dulu berus gigi aku pun aku kongsi lagi. La ni aku susah, kau senang. Bak seribu bagi aku boleh? Bukan nak pinjam, aku nak minta terus.”
Kan senang terus terang gitu. Dia beri, rezeki kau. Dia tak beri, kau cari kawan lain. Itu kawan yang tak kenang budi. Simple je sebenarnya.
Itu tujuh adab berhutang yang aku susun untuk kau baca dan hadam.
Ingatlah, bila kita berjanji orang akan berharap. Kau janji nak bayar 25hb, maka 24hb kawan tu tak risau nak berbelanja sebab yakin 25hb duit dia akan dapat pula.
Sekali kau mungkiri janji, hidup dia pula terkapai-kapai. Dia pula terpaksa meminjam sebab kau tak bayar hutang dia.
Maka hidup kau sentiasa dalam caci maki orang. Mana nak berkat hidup kita kalau asyik kena maki saja.
Kena juga ingat, kawan tu beri kau hutang kerana anggap kau kawan. Jangan khianati sebuah persahabatan yang dia taruh kepercayaan. Sekali khianat, selamanya orang akan ingat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ada tak mak-mak yang tak pernah marah atau membebel. Rasanya seribu dalam satu. Tambah-tambah kalau dah ada anak, macam-macam ragam dan peel. Boleh hilang sabar. Ini belum lagi termasuk peel suami lagi.
Namun, sebenarnya apa isteri atau mak-mak marah tu ada benarnya. Dia cakap sebab mungkin dirinya terlalu penat dan sebagai suami janganlah buat tak tahu bila isteri dah mula menunjukkan ciri-ciri nak membebel atau marah.
Ini perkongsian daripada Redza Zainol tentang macam mana nak hargai isteri dan cara suami nak tunjuk rasa sayang pada isteri.
“Saya ni suka bagi hadiah pada isteri.
Sekejap bagi bunga ros, sekejap belikan coklat, minggu depan saya bagi kad.
Tapi saya hairan bila dia dapat semua hadiah tu, muka dia selamba saja.
Bunga tu dia akan ambil, letak dalam pasu dan biar gitu je lah. Sampai layu.
Sampaikan saya fikir, tak best ke hadiah semua ni.
Adegan filem isteri lompat bintang siap hidu bau bunga sampai terpejam-pejam mata tu rupanya hanyalah fantasi.
Kenal Isteri
Ada satu hari kawan saya cakap gini.
“Kau ni bengap la Redza.”
Saya menyirap.
“Kau kahwin dengan isteri tapi tak pernah usaha nak kenal dia.”
Pedih ayat dia sampai saya terdiam lama.
Dia ajar 2 cara untuk lebih kenal isteri sendiri. Saya kongsikan 1 dululah ya.
Masa isteri membebel dari dapur sampai ke ruang tamu tu, dengar betul-betul apa yang dia bebel.
Buang emosi sekejap. Fokuskan hanya pada apa perkataan yang keluar.
Masa Berkualiti
“Abang ni asyik kerja je, jarang nak ada kat rumah.”
Ni maknanya dia ni seorang yang rasa lebih disayangi kalau pasangan dapat luang masa berkualiti dengan dia.
Luang masa berkualiti ni ada 2 jenis.
Pertama, luang masa bersama-sama. Kita ada di rumah pun dia dah suka. Yang penting ialah keberadaan kita tu.
Kedua, ialah buat aktiviti bersama-sama. Contohnya pergi tengok wayang sama-sama atau masuk pertandingan berbasikal sama-sama.
Puji Isteri
“Kita dah pakai tudung baru, baju cantik-cantik, sikit pun tak ada nak puji kita.”
Ni maksudnya dia rasa disayangi kalau diberi puji-pujian dan kata semangat. Dia punya seronok kalau kena puji tu, macam dapat rantai tangan coco 20gram.
“Dah lama tak dapat baju baru dari abang. Tudung pun dah lusuh. Duit tu asyik pula lebihkan pada mak ayah abang je.”
Haa, hati-hati. Dia paling rasa disayangi bila dapat hadiah dari pasangan. Hadiah murah macam sekeping kad pun dia dah gembira apatah lagi hadiah mahal macam Thermomix kan.
Tolong Isteri
“Abang tak habis-habis dengan phone tu. Tolonglah saya potong sayur, beli barang, sediakan meja tu. Tolong jaga anak. Tolong betulkan paip. Kalau tak nak tolong, kahwin je dengan phone tu.”
Kalau dengar betul-betul, semua yang isteri sebut tu berkaitan dengan perkataan “Buat”. Isteri macam ni dia rasa disayangi bila pasangan buat sesuatu untuk dia.
Kalau beli tepung pun dah boleh buat dia senyum. Kau rasa?
“Dah lama tak jalan-jalan pegang tangan kan, bang?”
Isteri macam ni rasa sangat disayangi bila dipegang, dipeluk dan sebagainya la ya. Maksudnya dia suka disentuh.
Bahasa Cinta
Selalunya pasangan kita akan ada hanya 1 atau 2 dari bahasa cinta ni. Jadi, kita fokuskan tenaga dan usaha kita pada 1-2 bahasa cinta tu.
Kalau dia suka dipuji, mulalah belajar memuji pasangan kita. Gitu.
Kita boleh belajar banyak dari pasangan bila dia tengah marah. Waktu tu, apa yang dia cakap semuanya jujur datang dari hati.
Kalau kita fokus untuk lawan marah dengan marah, kita yang rugi. Rasa sayang tu hanya bertambah bila kita saling memaafkan.
Rasa sayang tak boleh dipaksa, ia hanya boleh dipupuk.
Sumber: Redza Zainol
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Biasanya mak-mak tahu ke bacaan suhu anak demam? Dan macam mana pula cara anda mandikan anak, guna air suam atau belasah je dengan air sejuk? Nak tahu jawapan penuh dan cara yang betul, rujuk perkongsian dari Doktor Abdul Rahim Nor ini…
“Doktor, boleh tak anak saya mandi ketika demam?”
Soalan di atas banyak disoal oleh pesakit ketika saya merawat pesakit di klinik. Saya rasa adalah tanggungjawab saya memberikan penjelasan di bawah agar anak bangsa saya pandai menjaga anak ketika mereka demam. InshaAllah.
Jangan pengaruh orang keliling, tetapi saya berharap anda bertindak dengan ada ilmu dan amal cara yang betul. Okay?
1. KENA TAHU BETUL KE ANAK TU DEMAM
Sebenarnya demam ni boleh check bila naiknya suhu badan dari suhu normal 36-37.5’C, tak kisahlah jadi 38’C atau sampai ke 40’C. Demam sebagai pertahanan badan si bayi jika ada serangan bakteria/virus. Ketika ini, suhu badan naik automatik sebab si comel sedang bergusti sendiri melawan infeksi itu.
Itulah kita sebagai ibu bapa relax sajalah jika bayi itu tetap aktif bermain, minum dan makannya okay. Tak perlu berikan ubat penurun panas. Biarkan saja tubuhnya bekerja secara alami.
2. CARA MENURUNKAN SUHU TUBUH BADAN BILA DEMAM
A) Gunakan kain tuala kecil dibasahkan dengan air panas suam (Tapid Sponging) lalu diletakkan di dahi, perut, leher, ketiak dan celah paha.
Air hangat suam ini dapat membantu pembuluh darah di kulit mengembang lalu membuka pori-pori dan memudahkan mengeluarkan suhu panas dari dalam tubuh.
B) Adalah satu kesilapan jika anda:
Menggunakan air sejuk, air ais atau ketul ais sebab hal ini bukannya menurunkan suhu tubuh badan tetapi meningkatkan lagi suhu badan kerana iar dingin menyebabkan pembuluh darah di kulit mengecut sehingga panas dibawa darah ke kulit, terhalang.
Apatah lagi bila demam ada yang suruh mandikan anak dengan air sejuk. Kasihan si anak lagi menggigil serta lagi naiklah demamnya. Kalau nak buat ekspirimen,jika kita ibu bapa demam, cuba terus pergi mandi air sejuk. Pijak lantai bilik air pun dah menggeletar. Apatah lagi nak mandi air sejuk?! Kalau periuk panas dibasuh poun akan berasap. Biar periuk itu sejuk terlebih dahulu, baru basuhkan. Bukan?
3. BERSELIMUT KETIKA DEMAM
Hindari menyelimuti si comel yang demam atau memakaikan baju yang tebal seperti jaket atau pakaian ketat yang boleh meningkatkan suhu badan. Sebaiknya gunakan pakaian yang tipis dan longgar, yang dapat menyerap peluh sehingga suhu badan si comel menurun ke paras normal
4. KERAP MINUM AIR
Demam paksa badan mengeluarkan cairan lebih banyak seperti peluh dan kencing. Maka rajin-rajinlah menyusu atau beri air yang banyak kepada bayi anda untuk mengelakkan dehidrasi. Lagi banyak cairan diberi, maka lagi banyaklah cairan yang keluar melalui urin yang juga menolong menurunkan suhu badan yang panas.
5. JANGAN GUNA AIR SEJUK!
Kalau nak dimandikan juga bayi/kanak-kanak yang panas, dibolehkan tetapi air yang digunakan haruslah air yang hangat suam. Jangan gunakan air sejuk. Dengan begitu, tubuh menjadi segar dan nyaman. Setelah mandi, keringkan tubuh dengan kain tuala dan terus cepat tutup badan dengan pakaian.
6. TAK PERLU MAKAN UBAT JIKA ANAK MASIH AKTIF
Anak tidak perlu makan ubat jika ia demam tetapi boleh makan, minum seperti biasa. Hanya jeram jelum anggota badannya dengan air panas suam. Ubat diberikan jika suhu badannya mencapai lebih dari 38’C.
Jika bayi/anak anda demam berpanjangan lebih dari dua hari, kelihatan lesu, hilang selera makan minum, panas kejang, susah bernafas, muncul bintik merah atau biru di tangan, muntah, cirit birit, ini tanda infeksi kuman/virus yang tubuh badan bayi tidak berupaya melawan. Segeralah bawa bayi/anak berjumpa dengan doktor. Doktor akan siasat punca panas dan infeksi tersebut. Mungkin antibiotik diperlukan.
Nasihat saya, segera rawat demam anak anak. Elakkannya daripada menjadi sawan panas tarik “Fibrile Fit”.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila anak sudah remaja tak boleh marah, tengking! Kena guna pendekatan nasihat dengan hikmah. Memang sungguh mencabar mendidik anak-anak yang meningkat remaja.
Setiap peringkat tumbesaran anak-anak ada cabaran yang tersendiri. Begitu juga dengan peringkat usia remaja, anak-anak tidak boleh dimarah sesuka hati, bimbang bila mereka mulai terasa hati mereka mula menjauhkan diri,
Ikuti perkongsian Dr Taufik Razif ini dan fahami apa yang cuba disampaikan dalam mendidik anak-anak yang meningkat remaja.
Bila Anak Sudah Remaja
Anak perempuan saya tunjuk tarian TikTok!
Beberapa hari lepas anak perempuan sulung saya datang di depan saya dengan wajah tersenyum-senyum seakan-akan hendak beritahu sesuatu.
” Abi, nak tengok tak? ”
” Nak tengok apa kakak?”, terpinga-pinga saya dibuatnya.
Tiba-tiba si Maryam ini angkat tangan dia, dihayun tanggannya ke kanan dan kiri. Yang tak tahannya siap goyang goyang punggung tu.
Ya Rabbi. Astaghfirullah!
Tak Boleh Marah, Tengking!
Masa tu tiba-tiba datang rasa menyirap! Rasa nak tengking pun ada tapi cepat cepat saya rasionalkan balik diri saya.
Kalau saya marah dia terus, apa jadi? Ada kemungkinan lepas ini Maryam tak akan beritahu saya apa-apa dah. Dia akan pendam sendiri saja semua kesalahan dia!
Yang kedua, bila fikir balik dia menari tiktok macam tu depan keluarga sendiri. Tak haram. Tak berdosa pun. Cuma yang berdosa kalau pergi tayang pada yang bukan mahram saja.
Hati saya tiba tiba kembali sejuk.
” Kakak belajar kat mana menari ni? ”
” Ada kawan kakak ajar. ”
” Yelah yelah. Lain kali boleh saja hendak menari tapi elakkan menari depan orang lain. Dan kalau boleh elakkanlah menari tiktok ni ”
Artikel Berkaitan:
‘Beli Telefon Beribu Boleh, Minta RM20 Tak Beri..’ Waspada Didik Emosi Anak Remaja
Tunjuk Kasih Sayang Pada Keluarga, Inilah Perlu Ayah Didik Anak Lelaki Sebelum Remaja
Remaja 15 Tahun Meninggal, Dianggap ‘Wira’ Bertarung Nyawa Selamatkan Jiran Dalam Kebakaran
Kena Nasihat Dengan Hikmah
Sambil nasihat, sambil saya buka 1 video yang menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan yang berumur dalam 5 hingga 6 tahun yang tiba-tiba menari seperti kerasukan jin ketika mendengar muzik TikTok walaupun sedang lena tidur!
Saya tunjuk video tersebut pada anak saya dan saya boleh nampak dia ketakutan.
Bila anak nak masuk usia remaja ni kena nasihat dengan hikmah. Dah tak boleh sangat guna cara ‘Control & Dominance’ dengan cara marah-marah dan tengking.
Mereka sudah mula ada identiti. Dan mereka juga sudah mula ada circle sendiri. Di samping itu, mereka sudah mula ada kecenderungan sendiri.
Terpaksa Berlembut Dengan Anak-Anak
Makin kita berkasar, makin mereka lari. Makin kita memaksa, makin mereka pendam sendiri dan kerosakan sebenar bila mereka mula buat kesalahan secara diam-diam di belakang kerana merasa tak selamat untuk meluah dan mengadu pada ibubapa.
Ya Allah. Bantu kami didik anak perempuan dan anak lelaki kami Ya Allah dan jauhi anak anak kami daripada pengaruh buruk dunia dan rakan sebaya mereka. Amin Ya Allah.
Mingguan Wanita : Mendidik anak bukan sesuatu yang mudah dalam zaman sekarang. Usahakan yang terbaik dan selebihnya berserah kepada Allah.
Sumber : Dr Taufik Razif
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI