“Tolak Masuk TV Kerana Tidak Mahu DiKenali, Malu Ke Depan.” Semuanya Berlaku Secara Kebetulan

Share

Siapa sangka Profesor Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, 46, atau mesra dengan panggilan Ustazah Nik Salida pernah tolak masuk televisyen (tv).

Dr Nik Salida sebenarnya tidak mahu dikenali dan malu “ke depan” kerana dia lebih cintakan dunia penulisan. Jelasnya, ia bukan sesuatu yang dirinya mahu lakukan pada awalnya. Hanya kebetulan sahaja.

Tolak Masuk TV Kerana Tidak Mahu DiKenali

“Minat saya adalah pada penulisan. Saya menulis di akhbar-akhbar arus perdana tempatan berkaitan pelbagai isu yang melibatkan perundangan dan masyarakat. Lama-kelamaan saya mempunyai pengikut dan pembaca setia yang mengikutinya sehingga saya ditawarkan sebagai penulis kolum tetap.

“Antara yang mengikuti tulisan saya ialah pengamal-pengamal media elektronik yang akhirnya menjemput saya ke program bual bicara di TV. Walaupun saya menolak pada awalnya kerana tidak mahu dikenali, tetapi hasil pujukan mereka dan izin suami juga, saya beranikan diri. Dan itulah permulaan penglibatan saya.

Sebagai panel jemputan Forum Perdana Ehwal Islam.

Malu Ke Depan

“Justeru, ia bukanlah ‘passion’ pada saya, tetapi tanggungjawab saya kepada masyarakat. Walaupun saya adalah seorang pensyarah universiti, pengajaran saya bukan eksklusif di dalam bilik kuliah sahaja.

“Banyak perkara yang saya ingin masyarakat, khususnya wanita di luar dari kampus tahu dan faham. Kerana itulah kita tidak boleh berkira dengan masa dan keringat yang ada,”katanya.

Semuanya Berlaku Secara Kebetulan

Setiap kali berkongsi ilmu dengan penonton dan pendengar, sudah tentulah Dr Nik Salida mahu mereka menghayati dan mengamalkan apa yang baik.

“Seringkali saya katakan, jika tidak mahu semua, ambillah sedikit, jika tidak sedikit, ambillah satu, amal dan sampaikan kepada orang lain. Mudah-mudahan, jika saya ikhlas mencari redha-Nya, saya juga akan diberikan ganjaran seperti yang dijanjikan.

“Yang penting, saya tidak mahu pendengar atau penonton berkecil hati dengan apa yang saya kongsikan walaupun isu yang saya sebutkan adalah berkaitan dengan mereka. Saya juga tidak mahu ‘menyerang’, tetapi ingin ‘menerang’.


“Kasih sayang dan rahmat Allah itu tidak bertepi, kenapa pula di antara manusia perlu ada sempadannya? Kerana kasih sayang yang melimpah ruah di antara manusialah kita mampu berkorban untuk manusia yang lain.

“Justeru, jika bukan kerana kasih sayang, saya tidak fikir ramai wanita berada di lapangan seperti saya kerana kita perlu berkorban banyak perkara, terutama keluarga,” ujarnya lagi.

Dua Kali Bersalin

Seperti mana orang lain, Dr Nik Salida juga mempunyai pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Dua kali bersalin ketika sedang lanjutkan pelajaran. Jadi pengalaman yang tidak mungkin dilupakan.

“Banyak perkara yang tidak dapat kita lupakan dalam hidup kita. Yang paling memberi kesan pada saya ialah cabaran dalam mengejar cita-cita dan komitmen pada suami dan anak yang baru lahir. Saya mengandungkan anak pertama sewaktu bergelar mahasiswi ijazah pertama di universiti kerana saya berkahwin sewaktu sedang belajar.

“Saya melahirkan anak secara pembedahan kecemasan kerana komplikasi akibat kedudukan bayi yang songsang. Pada ketika itu saya fikir usia saya tidak panjang, namun Allah masih berikan saya peluang hingga ke hari ini.

’Saya meneruskan pengajian selepas bercuti rehat selama 12 hari sahaja kerana ingin menamatkan pengajian segera dan meninggalkan anak kecil bersama ibu saya yang belum bersara pada ketika itu. Saya berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kelantan setiap hujung minggu untuk bersama dengan anak yang baru lahir,” cerita Dekan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia ini panjang lebar.

Sokongan dan izin suami membawa Dr Nik Salida ke kaca televisyen.

Jadi Pengalaman Yang Tidak Mungkin Dilupakan

Manakala, sewaktu menyambung pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah di United Kingdom, Dr Nik Salida mengandungkan anak ketiga. Oleh kerana ingin menamatkan pengajian pada tempoh yang ditetapkan, dirinya langsung tidak bercuti selepas bersalin.

Kedua-dua pengalaman melahirkan anak sewaktu bergelar penuntut ini banyak memberikan pengajaran kepadanya tentang kesungguhan mencari ilmu, pengorbanan suami, anak dan ibu bapa, ketepatan masa, kecekalan hati, pergantungan kepada Allah dan pengurusan diri yang luar biasa.

Keluarga adalah segalanya buat Dr Nik Salida.

Jarang Rasa Down

Tambah Dr Nik Salida, apabila kita menunjangkan setiap perbuatan kita untuk mencari redha Allah, jarang sekali akan rasa ‘down’. Walaupun dikecam, dikeji, difitnah dan dipersenda, jauh di sudut hati kita tetap rasa kitalah menang dan kitalah yang paling kuat kerana Allah bersama kita.

Tetapi sebagai manusia, dia juga tak lari daripada pelbagai macam pandangan masyarakat apatah lagi dalam dunia moden sekarang.

Menerima Darjah Pekerti Terpilih (D.P.T.) daripada YDPB Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz, sempena hari keputeraan baginda ke 74 baru-baru ini.

Cabaran yang dihadapi apabila berkongsi pandangan dengan khalayak yang besar ialah kita mendepani lapisan masyarakat yang mempunyai tahap pemikiran dan ilmu yang berbeza.

“Sedangkan kita perlu menyampaikan ilmu yang boleh difahami sama oleh semua orang. Kita juga tidak mahu apa yang disampaikan itu menyebabkan salah faham dan perbalahan di kalangan orang awam kerana mereka menafsir sendiri butir bicara yang kita sampaikan mengikut perspektif yang mereka mahu.

“Bukan mengikut apa yang benar sebagaimana yang kita sampaikan. Hari ini, ramai orang bersuara untuk menjadi johan, bukan untuk mencari kebenaran,” luahnya.

Ketika menjalankan ibadat umrah bersama keluarga tercinta.

Tidak Suka Bergantung Pada Orang Lain

Ternyata dibesarkan dalam keluarga besar iaitu anak ketiga daripada enam orang adik beradik menjadikan Dr Nik Salida bukanlah seorang yang manja atau terlalu bergantung kepada saudara yang lebih tua.

“Dek kerana saya merupakan anak perempuan bongsu yang mempunyai 3 adik lelaki, boleh dikatakan saya adalah seorang yang lasak, suka berdikari dan tidak suka bergantung kepada orang lain. “Kebetulan pula kedua ibu bapa saya merupakan guru dan mereka amat menyintai profesyen mereka, tidak banyak ruang antara mereka dan anak-anak, menjadikan kami cepat berdikari dan mengurus diri.

“Saya menganggap situasi itu secara positifnya membimbing kami untuk menjadi orang yang tekun, bersungguh-sungguh apabila bekerja, tidak suka membuang masa dan banyak berkorban untuk orang lain.

“Kami juga tidak banyak pilihan, kerana banyak halatuju kehidupan kami ditetapkan oleh ibubapa. Contohnya, kami hanya dibenarkan bersekolah di sekolah aliran agama yang menggunakan Bahasa Arab sebagai perantara dan lebih banyak matapelajaran agama berbanding kebangsaan.

“Walaupun awalnya terasa tidak adil untuk dipaksa begitu, tetapi akhirnya itulah perkara yang paling kami syukuri dan hargai,” ucapnya syukur.

Menerima anugerah Tokoh Khas Maulidur Rasul Wilayah Persekutuan tahun 2019.

Tidak Suka DiAngkat

“Saya tidak merasakan bahawa saya mampu memberi inspirasi kepada wanita lain, dan saya tidak suka diangkat menjadi contoh atau model ikutan kerana saya sememangnya seorang yang pemalu, tidak suka menonjolkan diri atau berada di hadapan.

“Apa yang dilihat hari ini adalah sesuatu yang berlaku secara tidak sengaja. Jika akhirnya jua saya boleh memberi inspirasi kepada orang lain, saya bersyukur,” jelas Dr Nik Salida.

Sebahagian rakan sejawat dari pelbagai universiti dan kementerian.

Menurutnya secara peribadi, dia selesa memimpin diri dengan falsafah yang mudah sahaja, iaitu melakukan apa jua amalan dan tindakan dengan cara yang paling ihsan (baik) dengan tujuan untuk mendapat redha Allah SWT.

Dalam masa yang sama, dirinya juga sentiasa mengingatkan diri bahawa sentiasa berada dalam kerugian. Masa, wang ringgit, tenaga, ilmu, apa juga yang dirinya miliki bukanlah sesuatu yang menguntungkan, tetapi merugikan.

Bersama rakan sepengajian semasa berseminar di Oxford University UK.

“Melainkan jika saya manfaatkan itu untuk mencari redha Allah. Sebab itu saya amat bimbang jika tidak menepati masa atau membelanjakan wang pada perkara yang tidak sepatutnya.

‘Begitu juga dengan ilmu, jika tidak disampaikan semuanya kepada pelajar saya sehingga mereka pula boleh mengajar orang lain, saya rasakan saya gagal menjadi orang yang tidak rugi,” katanya lagi.

Mewakili negara ke 8th Forum on business and human rights di United Nations Office, Geneva, Switzerland.

Jawatan & Pencapaian:
1. Profesor Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh merupakan Dekan, Fakulti Syariah dan Undang- Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (2021-2022)
2. Pesuruhjaya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (2016-2022)
3. Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2014-kini)
4. Panel Pakar Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (2019-kini)
5. Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institute of Malaysian Plantations and Commodities (IMPAC) (2021-2023) dan Ahli Lembaga Penasihat Pusat Latihan Agensi Antidadah Kebangsaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) (2022-2024).
6. Menulis dan menyunting beberapa buah buku mengenai isu Syariah dan undang- undang antaranya, Diskusi Syariah dan Undang-Undang (2004 dan 2005), Islam Hadhari: Rakyat Berjiwa Merdeka (2005), Prinsip Dan Pengurusan Fatwa di Negara Asian (2006), Issues in Laws and Syariah (2007) dan banyak lagi.
7. Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila telah dijemput sebagai penceramah dalam pelbagai persidangan, seperti di Universiti Oxford, Universiti Manchester, Universiti Birmingham, Universiti Keele, Universiti Nottingham di United Kingdom dan Zayed University, Emiriah Arab Bersatu.
8. Pada Oktober 2021, nama beliau tersenarai sebagai antara ‘Malaysia’s Top Civil Servants’ yang dirakam di dalam buku berjudul ‘Malaysia’s Who’s Who In The Civil Service – The Steel Backbone of the Government – Creme De La Creme’.
9. Dikurniakan Darjah Pekerti Terpilih (D.P.T.) oleh Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus sempena Hari Keputeraan Yang DiPertuan Besar yang Ke-74.

ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!

Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar.  Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.   

Klik link ini untuk daftar penyertaan: https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-aura-wanita-pantang-dicabar/ atau whatsapp : http://www.wasap.my/60196328758/DaftarAura  

Follow kami di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita

 

 

Published by
Nur Syazwani Mehat