Tips Goreng Ikan Dengan Sempurna, Tak Melekat Di Kuali, Tak Meletup Dan Jadi Lebih Sedap!

Share

Meskipun hanya sekadar goreng ikan, namun bukan mudah nak mendapatkan ikan goreng yang sempurna kalau tak tahu caranya. Ada cara tertentu yang mak-mak boleh cuba praktikkan di rumah demi memastikan ikan yang digoreng tidak melekat, tidak meletup-letup, isi tidak hancur serta hasil gorengannya pula sedap dan rangup.

Ikut tips ini:

1.Cuci Ikan Dengan Bersih

Antara punca utama ikan meletup-letup semasa menggoreng adalah kerana ia masih mempunyai banyak cairan di dalamnya, seperti ikan keli, ikan duri, sembilang dan ikan pari yang berlendir.

Dua cara untuk membersihkan ikan yang berlendir:

  • Gunakan limau nipis dan sedikit garam halus.
  • Gunakan tepung gandum untuk mencuci ikan. Disarankan juga untuk perap ikan dengan tepung gandum lebih kurang 15 minit.Dengan kaedah ini bau hanyir ikan juga dapat dikurangkan selain menghilangkan lendir.

2.Perap Ikan Sebelum Menggoreng

Setelah dicuci bersih, disarankan untuk memerap ikan dengan asam jawa supaya isi lebih enak dan tidak melekat. Asam jawa juga dapat memejalkan isi ikan. Jadi, tidaklah ia berderai dan meletup-letup semasa menggoreng.Perapan asam jawa ini selalunya dilakukan kepada ikan yang kurang segar atau yang sudah lama berada di freezer.

3.Panaskan Kuali

Terlebih dahulu, panaskan kuali sebelum menuang minyak. Setelah menuang minyak, pastikan minyak cukup panas sebelum memasukkan ikan.Uji kepanasan minyak dengan beberapa butir beras atau keropok. Sekiranya ia menembang dengan cepat, ini bermaksud minyak dah cukup panas dan sedia untuk menggoreng.

Jangan biar terlalu lama dan minyak terlalu panas kerana ia akan membuatkan ikan garing di bahagian luar tapi tidak cukup masak di bahagian isi dalam. Minyak yang terlalu panas juga boleh membuatkan kulit ikan melekat di kuali.

4.Minyak Yang Banyak

Penggunaan minyak yang banyak membuatkan ikan mengembang dengan baik dan dapat mengelakkan ikan dari menyentuh dasar kuali. Ini sedikit sebanyak mengelakkan kejadian ikan melekat di kuali ketika menggoreng. Dengan itu, ikan akan masak di semua bahagian dengan sekata.

5.Bahan Salutan

Kepada yang suka hasil gorengan yang rangup, bolehlah gunakan tepung beras untuk meyalut ikan. Salutan membantu mengelakkan ikan melekat di kuali. Boleh juga gunakan kunyit untuk menyalut ikan.

Salah satu lagi cara untuk mendapatkan gorengan yang rangup adalah dengan mencelupkan ikan ke dalam celupan telur. Kemudian salutkan dengan tepung atau serbuk roti sebelum di goreng.

6.Pastikan Ikan Benar-Benar Masak

Sediakan penutup periuk berdekatan untuk menutup kuali jika anda bimbang mionyak akan terpercik. Kecilkan api sebelum membuka penutup masa nak terbalikkan ikan.Diingatkan supaya berwaspada ketika nak membalikkan ikan, agar ia cukup masak terlebih dahulu. Jangan terlalu awal dan terlalu lambat. Sekiranya diterbalikkan berkali-kali, ikan boleh pecah dan isinya berderai.

Petua Orang Lama Goreng Ikan Tak Melekat Di Kuali:

Menurut orang-orang lama, beberapa bahan berikut boleh mengelakkan ikan dari melekat ketika menggoreng:

  • Asam Keping – goreng beberapa keping asam keping terlebih dahulu sebelum mesaukkan ikan.
  • Garam – taburkan sedikit garam ke dalam minyak panas, kemudian goreng ikan seperti biasa.
  • Halia – gorengkan beberapa keping halia sebelum menggoreng ikan.
  • Kulit bawang – Masukkan kulit bawang semasa menggoreng ikan.

Selamat Menggoreng

Dengan beberapa kali percubaan, pasti akan berjaya mengoreng ikan dengan baik. Semoga dengan petua dan cara ini, mak-mak akan mahir mengoreng apa jua jenis ikan dengan baik.

Selamat Mencuba!

Sumber:Petua Tube

Published by
Suhaidah Abd Wahab