Kecantikan

Tip-Tip Pemakanan Mencegah Diabetes Dengan Gaya Hidup Sihat

Share

Mengurus dan mencegah diabetes dengan cara gaya hidup sihat adalah perlu agar penghidapnya mampu menjalani kehidupan seharian dengan baik.

Pakar Pemakanan Cik Norhamizah Binti Sohaimi dari Pantai Hospital Laguna Merbok ini menjelaskan mengenai tip-tip mencegah diabetes dengan gaya hidup sihat.

Seorang daripada lima individu dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap diabetes, menurut dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019. prevalen diabetes di negara ini didapati meningkat kepada 18.3 peratus berbanding 13.4 peratus pada 2015.

Sejumlah 49 peratus daripada penghidap diabetes di Malaysia, tidak pernah diperiksa atau didiagnosis menghidap penyakit ini. Menurut dapatan tinjauan itu lagi, tiga negeri merekodkan penyakit diabetes tertinggi, iaitu Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang.

Norhamizah Binti Sohaimi

Apakah tip-tip umum untuk pemakanan pesakit diabetes?

Diabetes merupakan satu daripada masalah kesihatan yang kenali sebagai pembunuh senyap atau ‘silent killer’. Penyelesaian untuk masalah diabetes adalah dengan cara menguruskan masalah penyakit ini dengan serius.

Bukan mudah untuk menguruskan masalah diabetes, kerana seseorang pesakit harus mengubah gaya kehidupan secara total untuk membantu mengurangkan kadar gula dalam badan. Mengikut kajian dari Institut Diabetes Kebangsaan (NADI) menunjukkan hampir separuh daripada rakyat Malaysia tidak sedar mereka menghidap diabetes.

1-Mengambil makanan pada masa yang tetap
•Penghidap diabetes digalakkan untuk mengambil makanan secara sedikit dan kerap mengikut keperluan.

2-Mengawal makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks.
•Pengambilan karbohidrat kompleks perlulah dikawal kerana pengambilan yang berlebihan boleh meningkatkan aras gula dalam darah.

3-Mengawasi pengambilan karbohidrat ringkas seperti makanan dan minuman yang manis.
•Pengambilan karbohidrat ringkas yang tinggi boleh menyebabkan kenaikan gula darah secara mendadak dan menyumbangkan kepada pertambahan kalori dan menyebabkan kenaikan berat badan

5-Mengambil makanan yang mengandungi serat yang tinggi.
•Makanan tinggi serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, legum (kacang soya, kacang pea) dan bijirin gandum penuh dapat mengawal aras gula dalam darah

6-Mengurangkan makanan yang mengandungi lemak yang tinggi.
•Makanan yang tinggi lemak boleh menyebabkan insulin resistant

Apakah jenis makanan yang tidak digalakkan dalam hidangan harian?

Pengambilan makanan dan minuman manis tidak digalakkan kerana boleh meningkatkan paras gula dalam darah dengan mendadak dan sukar dikawal. Pesakit diabetes perlulah mengelakkan makanan seperti:

1.Semua jenis gula: gula putih, gula perang, gula Melaka, gula batu, madu
2.Makanan dan minuman manis: minuman berkarbonat / bergas, kordial, sirap
3.Sapuan: jem, kaya, marmalade
4.Gula-gula, kuih manis, kek, coklat
5.Ais krim, susu pekat manis, dadih/yogurt manis, lassi manis
6.Pencuci mulut: buah dalam tin yang ditambah sirap, agar-agar

Apakah makanan yang digalakkan  untuk pesakit diabetes?

Untuk pesakit diabetes, anda disarankan mengambil protein secara sederhana iaitu sebanyak ½ – 2 sajian protein seperti ayam, telur, daging, ikan dalam setiap waktu makan. Bagi pesakit diabetes yang vegetarian, anda boleh menggantikan sumber protein di atas dengan memilih sumber protein dari sumber tumbuhan seperti tofu, tempeh, edamame, kacang pis dan banyak lagi.

Bagaimanakah untuk mengatasi masalah ‘craving makanan manis’ di kalangan pesakit diabetes?

Keinginan yang tinggi pada makanan yang manis berlaku apabila kita tidak makan makanan yang seimbang dan memakan terlalu banyak karbohidrat. Untuk pengetahuan, karbohidrat ialah sumber tenaga utama dan tidak kekal lama di dalam perut setelah kita memakannya.

Jadi, jika kita tidak mengambil makanan yang seimbang iaitu mengandungi protein, sedikit lemak, dan serat yang lebih tinggi, tubuh kita akan berasa masih lapar dan menginginkan sesuatu yang manis. Oleh itu, pastikan setiap hidangan yang diambil adalah seimbang iaitu mengandungi karbohidrat, protein dan serat seperti konsep suku suku separuh.

Artikel Berkaitan:
7 Tanda-Tanda Awal Diabetes Jenis 2, Ramai Tak Sedar Diri Mengalaminya!
Pelan Pemakanan Untuk Penghidap Diabetes Jenis 2, Bantu Berpuasa Dengan Selamat!

Baca sini lagi:

Jangan Mandi Malam,Nanti Paru-Paru Berair! Betul Ke? Apa Kata Doktor

Adakah disarankan untuk pesakit diabetes mengambil makanan ‘sugar-free’?

Pesakit diabetes perlulah berhati-hati dengan istilah “bebas gula”. Haruslah diingat bahawa makanan yang bebas gula juga masih mengandungi karbohidrat dan juga kalori. Penting untuk membaca label dan memperhatikan jumlah karbohidrat dalam makanan. Penting juga untuk di ingatkan bahawa setiap makanan yang dimakan perlulah diambil dalam kuantiti yang sederhana.

Berapakah kadar karbohidrat untuk setiap hidangan atau sehari yang baik untuk pesakit diabetes jenis 2?

Pengambilan jumlah karbohidrat bagi pesakit diabetes perlulah tetap konsisten dan haruslah dikira mengikut keperluan pesakit secara individu bergantung kepada keperluan kalori dalam sehari dan gaya hidup pesakit.

Di sini, pesakit bolehlah merujuk kepada pakar pemakanan/dietitian bagi mengira keperluan karbohidrat pesakit dalam sehari bagi mengawal paras gula dalam darah. Pesakit juga akan dinilai adakah mereka perlu mengamalkan pengambilan karbohidrat secara sederhana atau terhad bergantung kepada tahap kandungan gula dalam darah.

Gambar sekadar hiasan

Adakah terdapat had dalam pengambilan buah-buahan atau jus untuk pesakit diabetes ?

Bagi pesakit diabetes, pastikan pengambilan buah-buahan bersama hidangan utama dalam porsi yang ditetapkan. Pesakit diabetes boleh mengambil buah-buahan sebanyak 2 hidangan dalam sehari iaitu bersamaan 1 biji epal dan 1 potong buah jambu batu.

Bagi mengawal kandungan gula dalam darah, pesakit digalakkan mengamal pemilihan buah-buahan yang rendah kandungan Glicemik Indek bagi mengawal kenaikan paras gula dalam darah seperti buah epal, oren, pir, jambu batu dan buah- buahan beri.

Namun pesakit diabetes tidak digalakkan mengambil buah-buahan di dalam bentuk cecair/jus kerana menggunakan banyak buah. Sebagai contoh, segelas kecil jus oren mungkin mengambil 2-4 biji oren bergantung pada ukurannya. Selain itu jus juga tidak mempunyai serat yang dapat mengawal kenaikan paras gula di dalam darah.

Bolehkah seseorang yang menghidap diabetes menggunakan pemanis tiruan atau guna sahaja gula sebenar dalam masakan harian?

Pemanis tiruan membuatkan makanan berasa manis, rendah kalori dan tidak meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat. Pemanis tiruan seperti stevia adalah dibenarkan untuk menggantikan gula dalam makanan atau minuman.

Walau bagaimanapun, penggunaan pemanis tiruan perlu diambil dengan selamat iaitu sebanyak 1 biji dalam 1 cawan dan dibenarkan hanya untuk 2 kali sehari untuk elak kesan sampingan lain.

Adakah selamat untuk pesakit diabetes mengambil minyak kelapa yang mengandungi triglycerides sederhana?

Ya, minyak kelapa selamat di ambil oleh pesakit pra-diabetes. Namun, perlulah mengawal kuantiti lemak yang di ambil dengan mengamalkan kaedah memasak yang lebih sihat dan kurangkan penggunaan minyak seperti kaedah kukus, panggang, rebus.

Pengambilan lemak yang berlebihan akan menyebabkan peningkatan berat badan dan menyukarkan kawalan gula darah.

MW : Jangan takut nak ubah gaya hidup harian kita mak ayah, sebab gaya hidup sihat inilah bantu anda hindari penyakit-penyakit berbahaya.

Sumber: Norhamizah Binti Sohaimi Dietitian Pantai Hospital Laguna Merbok

Published by
julie roshana Shafee