8 Tip Survival Mak Anak Ramai, Wajib Baca! Lagi-lagi Bila Suami Sorang Yang Bekerja

Share

Anak ramai itu satu rezeki. Konsep rezeki yang Allah berikan ini bukan semata-mata duit yang menimbun, harta yang puluhan tahun pun tak habis atau ladang yang berekar-ekar. Sebenarnya jumlah anak yang ramai pun satu nikmat rezeki yang tak boleh kita dustakan. Jadi, bagaimana pula survival buat mak anak ramai?

Lagi-lagi tekanan kehidupan ketika ini sukar nak diterjemahkan. Harga barang runcit yang mendadak naik, minyak kereta yang berubah harga saban minggu, kos hidup bertambah tapi gaji masih ditakuk yang sama. Nak-nak dalam sebuah keluarga dengan anak ramai ini cuma seorang ayah yang bekerja.

Allahu.. anda dapat rasakan kepedihannya bukan? Tapi di sebalik kisah-kisah menekan ini ada cerita inspirasi, kisah survival mak anak ramai. Dan anda perlu baca kerana ada idea yang boleh anda praktikkan.

Perkongsian tip daripada Puan Zaila Mohamad (Mekla), ibu anak 6 yang berhenti kerja ketika mengandungkan anak keempat. Ketika ini, cuma suaminya saja yang bekerja sepenuh masa. Tip ini yang diapply sampai mereka anak-beranak bahagia, tenang dan bersyukur menerima nikmat yang tuhan berikan.

Rezeki 6 orang anak yang sentiasa ada; Amirul Haziq, 11, Nur Ameera Husna, 9, Ashraf Hariz, 6, Azzam Haneef, 4, Nur Aaliyah Hafizah, 3, Arman Hakeem, 1

Survival Seorang Mak Anak Ramai

Pertama: Kami Menumpang Rezeki Anak-anak

Pertama sekali syukur sebenarnya kami ni menumpang rezeki anak-anak. Selepas Mekla berhenti kerja tak dinafikan kami hanya ada satu sumber pendapatan sahaja iaitu gaji en suami.

Selepas bersalinkan Azzam (anak ke-4) rezeki en suami dapat gaji yang lebih untuk membesarkan anak-anak. Setiapkali anak baru akan datang, insya Allah akan ada rezeki yang datang buat anak-anak.

Kedua : Suami Pun Kena Jadi Seorang Penjimat Dan Bijak

Mekla sangat berterima kasih buat en suami yang memang seorang yang berjimat. Dalam jimat, mana yang penting seperti insuran dan pendidikan anak-anak memang wajib ada.

Kita tak tahu masa depan jadi baik sediakan payung sebelum hujan. Moga Allah murahkan rezeki en suami dan berikan kesihatan yang baik buat beliau.

Ketiga : Jangan Manjakan Anak Dengan Duit Belanja Sekolah Melimpah Ruah

Anak-anak Mekla nama je sekolah berbayar tapi sekolah kampung je, biasa-biasa aje cuma yang menariknya sekolah satu sesi sahaja. Duit makan tengahari sudah dibayar di dalam yuran dan kami hanya bagi duit belanja RM2 atau RM3 sehari je pada anak-anak.

Yuran van sekolah sudah dapat dijimatkan bila mama diorang yang jadi supir tak bergaji ni ? Anak-anak ada bawa bekal ke sekolah dan kami tak manjakan sangat dengan duit bekal lebih dari RM5 sebab tahu mereka akan habiskan dengan membeli barang atau makanan yang tak berfaedah.

Keempat : Makan Cuma Sekali, Jajan Tu Tak Perlu

Kami ni nampak mewah makan tapi hanya sesekali. Tapi tak dinafikan anak-anak memang makan makanan yang dimasak oleh mama mereka sahaja. Bab beli bahan mentah en suami yang beli tapi kami jarang sangat beli jajan atau makanan segera untuk anak-anak.

Kalau teringin nak makan pun cuba untuk masak sendiri. Anak-anak kalau makan pun tak berkira, ikan bilis ngan telur dadar pun makan aje. Mereka memang kuat makan tapi bukan makan merapu seperti jajan atau benda yang tak mengenyangkan.

Kelima : Mak Kena Bantu Suami, Secara Sambilan Pun Dah Cukup Baik

Mekla memang bekalkan supplemen buat keluarga. Orang kata mahal tapi alhamdulillah duit hasil berbisnes dapat buat beli barang gadget dalam rumah. Maksudnya nak sesuatu jangan harapkan en suami, usaha juga dan sumbangkan sesuatu buat keluarga.

Memanglah duit bisnes tak dapat “sara” keluarga pun lagi setakat ni tapi sekurang-kurangnya dapat beri kebaikan buat keluarga.

Keenam : Nak Berbelanja Kena Ukur Ikut Kemampuan Diri

Kami berbelanja bila perlu sahaja. Anak-anak tak kisah pakai baju buruk atau pemberian orang. Kami jarang sangat beli pakaian untuk anak-anak. Yalah kan, saya kan mak anak ramai..

Kalau beli pun waktu raya dan balik ke kampung. Jenama bukan pilihan tetapi beli sesuai dengan “berapa yang ada dalam wallet”

Ketujuh : Walau Cuma Sedikit Usahakanlah ‘Memberi’

Banyakkan memberi. Kalau en suami bagi zakat dan derma, tanam dalam diri anak-anak untuk selalu menderma. Jumlah tak banyak takpe asalkan suka memberi. Tapi tengok tempat dan keadaan juga.

Dulu kami silap, bantu “orang luar” hingga diri sendiri terbeban. Paling bagus adalah utamakan mak ayah dulu dalam apa jua urusan. Ataupun keluarga terdekat.

Kelapan : Lupakan Bab Percutian Tapi Cuba Alternatif Paling Terkesan Ni

Sebab saya ini mak anak ramai, jadi kami jarang dah bercuti. Percutian keluarga bermakna balik ke kampung melihat mak dan ayah. Sebenarnya keluarga anak ramai ni memang kalau nak pergi bercuti memang agak kos tinggi dari segi penginapan dan tambang. Jadi kami lebih suka balik ke kampung dimana penginapan sudah tentu FOC ?

Hak baik jadikan teladan, hak tak elok jadikan sempadan. Semua rezeki Allah yang bagi.

8 Tip yang dikonsikan Mekla mak anak ramai ini bukan saja untuk ibu yang ada ramai anak, malah anda yang baru ada seorang dua pun boleh ambil dan praktik panduan yang diberikan ini.

Sumber/Foto : Facebook Zaila Mohamad

Published by
Netty Ah Hiyer