
Tip ‘reapply makeup’ selepas wuduk, wajah segar dan yang penting jimat masa. Bagi kaum wanita yang gemar bersolek, sebelum mengambil wuduk dan selepas solat adalah waktu yang sangat mencabar.
Jika sebelum mengambil wuduk, anda perlu bersihkan solekan pada wajah terlebih dahulu, selepas solat pula perlu memakai mekap semula. Sebenarnya ada cara yang mudah untuk anda ‘reapply makeup’ selepas mengambil berwuduk.
Anda akan nampak lagi fresh apabila ‘reapply makeup’ dan boleh jadi cantik lagi seperti awalnya. Tapi untuk anda yang aktif melakukan aktiviti luar, sangatlah penting untuk reapply sunscreen juga supaya kulit tetap dilindungi dari sinar UV.
BERIKUT TIP YANG DIKONGSIKAN OLEH Syazwani Md Saad
Ini antara ‘perkakas’ mekap yang diperlukan.
- Gunakan Face mist supaya wajah lebih segar dan lembap.
2. Sapukan skin tint pada seluruh wajah supaya tona wajah kelihatan lebih sekata.
3. Sapukan loose powder ke seluruh wajah secara sekata agar wajah nampak lebih glowing.
4. Kemaskan kening yang mungkin ‘berselerak’ ketika mengambil wuduk. Pakai juga maskara untuk efek bulu mata yang lebih lentik.

5. Supaya bibir tidak kelihatan pucat lesi, aplikasikan ‘lip tint’ pada bibir. Gunakan warna-warna yang lembut agar bibir nampak segar dan natural.
Sebenarnya tak adalah susah mana pun untuk ‘reapply makeup’ selepas mengambil wuduk. Ikut cara seperti yang dikongsikan ini mudah sangat! Nak cuci pun senang. Mekap pun tak tebal mana. Selamat mencuba!
Sumber: Syazwani Md Saad
Kredit foto (top image): Pexels
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Punca TAK Bahagia, BILA Kita Tidak Bersyukur Dengan SETIAP Pemberian Allah

Isi Kandungan
TogglePunca hidup tak bahagia ada pelbagai sebab. Hidup ini mudah, jika kita sentiasa bersyukur dengan setiap nikmat Allah walaupun sebesar zarah, nescaya kita akan bahagia. Sebaliknya jika mak,ayah sentiasa menbandingkan hidup ini dengan orang lain kononnya lebih kaya, lebih senang dan lebih hebat, pasti jauh rasa “bersyukur” itu nak sampai.
Punca tak bahagia ada banyak. Tahukah mak,ayah antara punca hati tidak tenang, punca kita tak bahagia adalah apabila kita tak bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan pada kita. Astaqfirullahalazim….
Ikuti perkongsian Intan Dzulkefli ini dan fahami baik-baik:
Dugaan terbesar jadi manusia ni, adalah susah sangat nak bersyukur.
Mungkin kita kata, kita sudah bersyukur tapi hakikatnya masih belum. Sudah itu… macam mana nak bahagia jika tidak bersyukur kan?
Paling payah bila ada rasa nak bersaing dengan orang terdekat seperti adik beradik, kawan-kawan, jiran tetangga. Tentang material duniawi. Bab kahwin, bab tambah anak, tambah harta benda, rupa paras.
Benda-benda yang ulama’ kata tak berharga pun untuk timbangan amal, tak berharga untuk menyelamatkan kita masa dalam kubur. Tapi itulah yang nafsu kita ini kejarkan sangat kan. Astaghfirullah.
Merasa Orang Lain LEBIH
Nampak mereka bahagia kahwin muda, ada kereta, beli rumah, kita rasa insecure.
Nampak orang buat bisnes sekejap terus kaya, kita merungut kenapa kita jual susah nak laku?
Nampak orang famous tayang itu, ini dekat media sosial kita pertikaikan kenapalah hidup orang lain ‘seems perfect’ saja?
Nampak orang lain beranak tiap tahun anak semua baik saja tak tantrum, kita pun cakap; “Untungnyalah… Dahlah muka cantik, kaya, suami handsome, anak lawa-lawa”
Mungkin kita tak luahkan dengan kata-kata tapi hati kecil yang memberontak begitu. Oh bahaya!
Telitilah dengan penuh hikmah setiap apa yang Allah anugerahkan kepada kita. Berhentilah memandang orang-orang yang di ‘atas’ kita, kerana bimbang kita sibuk membanding-banding kehidupan mereka dengan kita dan hasilnya lahir prasangka yang sangat buruk kepada Tuhan Yang Maha Pengasih, Allah yang Maha Penyayang.
Kurang Bersyukur, Punca Hati Tak Tenang
Tahu tak kenapa kita susah nak rasa tenang dan bahagia?
Antara sebabnya, kita kurang bersyukur atas apa yang ada di sekeliling kita.
Apa yang Allah bagi kita kurang bersyukur, apa yang Allah belum bagi dan tak bagi kita persoalkan pula. Astaghfirullahaladzhim.
Pujuklah hati kita yang keras ini untuk selalu bersyukur selalu. Bukannya hanya kata syukur di mulut tapi di hati dan perbuatan kita juga.

Kan Allah dah janji siapa yang bersyukur akan ditambah lagi nikmat? (Bacalah Surah Ibrahim, ayat 7).
Kena Selalu Berdoa
Jomlah kita sama-sama selalu berdoa..
“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu jiwa yang merasa tenang kepada-Mu, yang yakin akan bertemu dengan-Mu, yang redha dengan ketetapan-Mu, dan yang selalu merasa cukup dengan pemberian-Mu.”
Tiada yang lebih bermakna dalam hidup ini melainkan diberikan rasa kecukupan atas segala nikmat pemberian Tuhan. Itulah dia namanya, qanaah.
Allah… Sentap. Muhasabah diri.
MW: Sebaiknya setiap daripada kita bersyukurlah dengan setiap apa yang Allah berikan. Sentiasalah memandang ke bawah kepada mereka yang tidak punya apa-apa daripada hanya memandang ke atas. Setiap yang berlaku pasti ada asbabnya.
Sumber: Intan Dzulkefli
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jaga Solat, Barulah Aliran Rezeki Berkat Dan Mencurah

Isi Kandungan
ToggleJaga solat kerana solat itu adalah tiang agama. Mari kita mulai kehidupan tahun baru ini dengan muhasabah diri. Kita tinggalkan pengalaman tahun lalu dengan keazaman untuk melalukan sesuatu yang lebih baik pada tahun ini.
Mendepani kehidupan yang serba mencabar, kita perlu kembali kepada asas-asas kehidupan yang dituntut dalam Islam. Antara yang sangat diperlukan adalah kesyukuran.
Ibadah Malam Rasulullah
Bercerita mengenai syukur, sirah tentang ibadah malam Rasulullah s.a.w hingga bengkak-bengkak kaki menjadi motivasi untuk dicontohi. Bila Saidatina Aisyah r.a. bertanya kenapa dilakukan sampai begitu rupa, baginda ingin menjadi hamba Allah SWT yang sentiasa ingin bersyukur (‘abdan syakura).
Keinginan untuk menjadi hamba yang sentiasa bersyukur ini perlu meresap di dalam sanubari muslim mukmin. Ia menjadi tuntutan daripada satu ayat dalam surah al-Fatihah yang dibaca saban waktu, “Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan”.
Ikrar ini meletakkan manusia berstatus sebagai hamba kepada Tuhan. Antara tanggungjawab hamba tentunya memiliki perasaan bersyukur kepada-Nya.
Pelihara dan Jaga Kefarduan Solat
Bila Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa amalan pertama yang bakal disoal di hari pembalasan adalah solat, dan ia penentu penerimaan atau penolakan amalan-amalan lain, maka jelas kedudukan solat di dalam kehidupan seseorang muslim.
Justeru itu, kayu ukur tanda bersyukur kepada Tuhan adalah dengan menilai solat yang dikerjakan. Individu perlu bermuhasabah tentang solat yang dikerjakan saban waktu agar solat yang dikerjakan itu benar-benar menjadi tanda kesyukuran kepada Tuhan.
Muhasabah Tentang Solat
Bagaimana bermuhasabah tentang solat? Bila mengerjakan solat, individu meyakini bahawa solat yang dikerjakan berlaku dengan izin-Nya. Maksudnya, individu merasai bahawa Tuhan beri pertolongan untuk bersolat. Tuhan buka hati untuk menunaikannya. Tuhan memudahkan segala urusan berkaitan solat. Dia meyakini Tuhan kurniakan perasaan khusyuk serta kehadiran hati sewaktu dalam solat.
Mohon juga agar solat yang dilakukannya itu datang daripada kurniaan kasih sayang-Nya. Dengan kata lain, Tuhan menyayangi dirinya dan Tuhan berkehendakkan dirinya menjadi hamba yang pandai bersyukur. Maka dengan sifat kasih sayang-Nya (al-Rahman dan al-Rahim), Tuhan rezekikan kemudahan untuknya bersolat.
Kejayaan Didahului Dengan Jaga Solat
Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan kejayaan dan kecemerlangan hidup melalui solat. “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1 – 2)
Dengan memperbanyakkan solat serta memelihara waktu dan kualitinya, seseorang mengukuhkan nilai ketakwaan diri. Nilai ketakwaan bakal menambah rezekinya. Bukankah Tuhan menjanjikan rezeki yang luas melalui jalan yang tidak disangka-sangka kepada orang-orang yang bertakwa!
Maksudnya, cara betul seseorang beroleh rezeki adalah melalui ibadah solat yang dikerjakan demi mencari keredaan Tuhan. Solat dipelihara maka barulah rezeki akan dilimpahkan kepada seseorang sebagai memenuhi janji Tuhan kepada hamba yang bertakwa serta banyak bersyukur.
Lagi artikel menarik di sini:
Bila Habis Period, Kena Jamak Dan Qada Solat. Jangan Main-Main Bab Fardu Ain
Nak Bebas Hutang Solat Jangan Tinggal, Berdoalah Namun Usahlah Berkira ‘Untung’ Setelah Berdoa
Rezeki Dalam Keadaan Diri Cuai
Bagaimana jika nikmat atau rezeki yang diperoleh itu tidak didahului dengan solat? Nikmat diperoleh dalam keadaan seseorang masih cuai atau meninggalkan solat, atau solat dalam keadaan leka dan lalai. Maka nikmat yang diperoleh itu belum menepati syarat sebagai rezeki Tuhan yang penuh berkat.
Rezeki dalam bentuk sedemikian belum mampu menambah kesyukuran dalam hati. Ia hanya menjauhkan seseorang daripada Tuhan, sambil menambah keegoan dan kesombongan diri. Ia bakal menjerumuskan seseorang ke lembah kebinasaan “al-Istidraj” sebagai tanda kemurkaan Tuhan kepada seseorang hamba.
Jaga Kualiti Solat
Dalam hal ini, maka tidak salah untuk bertanya kepada orang-orang yang sering dilanda masalah hidup tentang solatnya atau tentang kekhusyukan solat yang mereka lakukan. Kita khuatir masalah itu sebagai tanda Tuhan tidak memandangnya dengan pandangan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Memang masalah hidup itu ujian Tuhan, namun solat yang menjadi keutamaan dalam hidup mampu memberi kekuatan emosi dan spiritual, lantas menyuburkan kesyukuran dalam hati.
Rasa Syukur Ubah Persepsi Masalah
Dengan kesyukuran itu maka persepsi tentang masalah hidup yang dihadapi mampu ditukar menjadi ujian Tuhan yang penuh hikmah untuk disyukuri. Lalu terhindar diri daripada sebarang rungutan, kekecewaan dan berburuk-sangka kepada Tuhan.
Semoga tahun baru ini menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan hidup untuk kita. Tidak salah mengejar kejayaan yang dicita-citakan, namun jangan lupa untuk sentiasa bersyukur serta memelihara kefarduan solat. Mudah-mudahan kita dikurniakan rezeki yang berkat oleh-Nya, insya-Allah.
Artikel: Dr. Muhamad Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi RMJ Holistic Solution
Jangan lupa follow kami di:
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kasih Sayang Tanpa Syarat Allah pada Hamba-Nya

Isi Kandungan
ToggleKasih sayang itu luas. Kasih sayang pada Sang Pencipta malah untuk sesama manusia dan makhluk lainnya. Pernah anda berasa bahawa kasih sayang yang anda berikan kepada orang lain itu tidak memberi makna apa-apa.
Segala curahan kasih sayang hanya sia-sia dan tersasar daripada matlamat yang diharapkan. Anda puas mencuba dengan pelbagai cara tetapi harapan anda masih belum menampakkan hasil.
Kita menyedari bahawa isu-isu kehidupan yang melibatkan hubungan sesama manusia boleh diselesaikan menerusi hubungan perasaan kasih-sayang. Walau apa cabaran hidup, kebahagiaan dan kedamaian boleh dikembalikan bila mana perasaan kasih sayang ini dapat dijelmakan semula.
Persengketaan Tenggelamkan Kasih Sayang
Namun begitu, persengketaan sesama insan sering menenggelamkan perasaan kasih sayang. Persekitaran hidup yang sebelumnya indah, akhirnya dipenuhi dengan perasaan kebencian dan dendam. Segala kebaikan yang pernah dicurahkan, semua terpadam daripada ingatan. Perkara yang berlegar-legar di fikiran hanyalah rancangan-rancangan negatif yang bakal menambah kelukaan hati.
Justeru itu, dalam mengharungi apa jua kemelut yang melanda maka hidupkan dan suburkan kembali rasa kasih dan sayang ini. Nilai kasih sayang ini perlu ditingkatkan ke tahap yang lebih bermakna iaitu kasih sayang yang tidak bersyarat atau kasih sayang tanpa syarat.
Kasih Sayang Tanpa Syarat
Ada kalanya, dalam hidup ini perasaan kasih sayang yang ada itu masih belum mencukupi. Lebih-lebih lagi bila kasih sayang itu dilingkari dengan syarat-syarat tertentu. Ia masih belum mampu mengubah persekitaran yang ada. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang yang lebih tulus dan kudus iaitulah kasih sayang tanpa syarat.
Bukankah kasih sayang Allah SWT pada kita tanpa syarat? DIA menjadikan kita dengan sempurna tanpa mengharapkan apa-apa daripada kita. Kalau dihitung segala pemberian Tuhan kepada kita maka tentunya kering air di laut menjadi tinta, tidak habis kalau kita hendak menghitung pemberian Ilahi itu. Demikian lah kasih sayang tanpa syarat daripada-Nya kepada kita.
Prinsip Yang Sama
Begitu juga seharusnya apa yang berlaku cetusan emosi kasih dan sayang sesama insan mengikut prinsip yang sama. Kasih sayang di antara seorang ibu dan anak bukanlah kerana si ibu mengharapkan masa tua anak akan membalas jasa ibu tetapi segalanya dilakukan tanpa syarat, hanya kerana mencari keredaan-Nya.
Begitulah kisah Rabiatul Adawiyah apabila seorang raja masuk meminangnya, maka Rabiatul Adawiyah mengatakan bahawa dalam hatinya sudah tidak ada ruang lagi untuk dimuat perasaan kasih sayang selain daripada kasih sayang Allah SWT. Begitulah tingginya perasaan cinta Rabiatul Adawiyah terhadap Tuhan.
Hubungan cinta dan kasih sayang tanpa syarat ini juga terpancar dalam kisah keluarga Nabi Ibrahim a.s. Cinta Nabi Ibrahim a.s. kepada Allah tidak dapat digambarkan apabila baginda sanggup mengorbankan Nabi Ismail a.s. apabila turun perintah daripada Allah supaya baginda melakukannya sekalipun Nabi Ismail a.s. merupakan putera yang amat dikasihi setelah menunggu kelahirannya begitu lama sehingga menjangkau usia tuanya.
Inilah tanda kekhalifahan manusia yang Allah SWT tunjukkan kepada para malaikat, kehebatan manusia dalam membuktikan ketinggian cinta dan kasih sayang yang memberikan tenaga yang cukup kuat dalam hubungan dengan Allah SWT dan manusia lain.
Kurang Kasih Sayang Punca Wanita Curang? Ada Juga Sebab Lain
https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Energi Dalam Berkasih Sayang
Inilah bentuk kekuatan kasih sayang tanpa syarat yang dimaksudkan. Cinta suami kepada isteri, begitu juga sebaliknya, tidak harus diletakkan apa-apa syarat selain daripada syarat untuk mendapat keredaan Allah.
Isteri tidak akan mengeluh kepenatan melayan suami dan anak-anak lantaran apa yang dilakukannya sekadar mencari limpah rahmat dan keredaan Ilahi. Lantas mencari keredaan Allah SWT itu menjadi matlamat akhir sebuah bahtera kasih sayang dan kecintaan dalam keluarga.
Begitu juga cinta ibu bapa kepada anak-anak, tidak harus diletakkan apa-apa syarat selain mendapat keredaan Ilahi di atas anugerah yang penuh bermakna itu. Anak-anak dibelai dan dididik dengan penuh rasa kasih sayang. Biarlah Allah SWT melimpahkan kasih sayang-Nya ke dalam hati dan perasaan mereka lantas menjadi hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa di kemudian hari nanti.
Bina Kekuatan Kasih Sayang Tanpa Syarat
Justeru itu binalah kekuatan rasa kasih sayang tanpa syarat dalam jiwa supaya emosi dan spiritual kita semakin mantap dan kukuh.
Sesungguhnya kasih sayang tanpa syarat inilah yang membahagiakan diri dan orang lain sekitarnya. Semoga kasih sayang Allah SWT yang tiada apa-apa syarat itu bakal memayungi segala urusan kehidupan kita sehingga menjadi kehidupan yang diredai-Nya.
Artikel: Dr. Muhammad Jantan, Perunding Motivasi dan Kaunseling.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI