Kadang tu, mak-mak rasa rugi beli gelang emas pandora sebab rasa fungsinya macam untuk hiasan semata. Lagi satu rasa leceh, sebab nak kena beli satu-satu dan bagi penuh ‘buah’ gelang baru nampak cantiknya.
Hakikatnya, gelang emas pandora ini praktikal untuk dijadikan emas pakai dan juga berguna untuk simpanan. BroOhsem, Akhtar Syamir jelaskan sebabnya. Mak-mak yang baru nak beli gelang emas pandora tu, elok sangat baca tip ni sampai habis.
Tak lah cuma sekadar membeli je nanti.
Pandora ini bersifat fleksible atau modular iaitu boleh ditukar-tukar atau ditambah serta dikurangkan. Berbeza dengan jika kita beli gelang biasa, ia kekal begitu sampai bila-bila.
Pandora terbahagi kepada beberapa komponen iaitu gelang / bangle, aksesorinya iaitu charms atau beads dan cangkuknya atau pengunci gelang itu.
Gelang Pandora bersifat lembut manakala bangle lebih bersifat keras dan bentuknya kekal.
Cangkuk (hook) atau pengunci gelang Pandora datang dengan pelbagai jenis iaitu lobster hook, s hook, silinder, love dan lain-lain. Semuanya berfungsi untuk mencantumkan satu hujung gelang dengan hujung yang lagi satu serta berfungsi sebagai penahan kepada charms dan beads supaya tidak terkeluar dari gelang Pandora.
Charms datang dengan dua bahagian dengan 1 bahagian ialah rekaan emas itu dan bahagian keduanya adalah pemegang serta lubang untuk diselitkan gelang Pandora.
Beads pula hanya datang dengan 1 bahagian yang berlubang di tengah-tengah untuk diselitkan gelang Pandora.
Dari segi rekaan, charms lebih unik dan pelbagai dari bentuk beg, kasut, kereta, rumah sehinggalah bentuk buah durian yang saya jumpa baru-baru ini.
Rekaan beads pula lebih konvensional dan klasik tetapi tetap menarik dan lebih selamat serta kemas kerana hanya mempunyai 1 bahagian dan tidak terjuntai seperti charms.
Berbalik kepada kelebihan Pandora ini, kita boleh tambah charms atau beads apabila kita ada rezeki dan kita juga boleh lepaskan charms atau beads di saat memerlukan.
Katakanlah suatu hari nanti kita sangat perlukan duit, tak perlu gadai 1 gelang terus. Hanya lepaskan beads atau charms sahaja mengikut keperluan.
Ia juga boleh dijadikan motivasi untuk menambah lagi pelaburan emas dan koleksi emas dengan mengumpul charms dan beads. Mula dengan 1, lepas tu boleh tambah 1 lagi dan lagi dan lagi mengikut kemampuan.
Ada pelbagai cara untuk mencantikkan set Pandora anda. Sama ada nak mengikut tema seperti TEMA LV katakanlah, atau tema LOVE, atau TEMA BUAH atau TEMA Hello KItty dan sebagainya.
Atau boleh kumpul beads sahaja dan akan membuatkan gelang Pandora anda nampak seperti gelang biasa atau boleh berselang-selang dengan charms sebagai penyeri.
Semuanya bergantung kepada kreativiti dan kemampuan masing-masing. Yang nyatanya, ia boleh menjadi penyuntik semangat untuk terus mengumpul emas kerana harga emas hampir pasti tidak akan turun dan charms serta beads itu pun boleh dijual dan beli bentuk-bentuk yang lain. Contohnya sudah bosan dengan tema klasik tahun lepas, nak tukar kepada tema gila-gila macam bentuk kereta dan rumah pula tahun ni.
Satu lagi kelebihan untuk Pandora ialah beads boleh datang dengan berat yang ringan. Bayangkan saya pernah nampak beads dengan berat hanya 0.30 gram sahaja. Itu hanya RM76.20 jika mengikut harga emas RM254 untuk 1 gram.
Nak budget dia mudah je. Charms dan beads ni beratnya ada bawah 1g sampailah 4 atau 5 gram. Tengok budget kita, kalau ada RM1,000 tu boleh pilih nak beli 4 charms / beads 1 gram atau 2 yang 2 gram atau seketul yang 4 gram.
1 g = RM254
2 g = RM508
3 g = RM762
4 g = RM1016
√ Ada sedikit tips untuk peminat atau yang baru mula berjinak-jinak dengan Pandora. Pastikan anda beli gelang yang beratnya 7 gram ke atas dan jangan beli yang terlalu ketat. Jika ukur lilit pergelangan tangan anda 17 cm, tambah 2-3 cm supaya dapat memberi ruang kepada penambahan charms dan beads nanti.
√ Tidak semua kedai ada menjual gelang atau bangle Pandora, namun anda masih lagi boleh mengaplikasikan konsep Pandora dengan menggunakan gelang belut atau rantai tangan belut. Bentuknya sama sahaja, yang membezakannya hanyalah hook / kunci di hujung.
√ Kemudian, mengenai charms dan beads pula. Ada yang berwarna dan mempunyai batu. Warna dan batu-batu itu akan dibuang dahulu sebelum timbangan untuk jualan dibuat. Jadi, beratnya yang sebenar hanya boleh diketahui apabila hiasan itu dibuang. Agak sukar sedikit untuk bertukar-tukar charms dengan kawan jika tidak tahu beratnya tanpa merosakkan perhiasan charms tersebut.
√ Akhir sekali, Pandora ni akan ada stopper untuk mengelakkan charms atau beads tu berlari-lari dalam rantai atau bangle. Dia boleh datang dalam bentuk getah atau masa beli gelang tu sendiri dah ada stopper terus. Selalunya kalau beli charms pasti akan dapat stopper getah tu. Ada juga kedai yang jual stopper tu 50 sen.
Begitulah serba sedikit mengenai Pandora. Semoga penulisan ini mendatangkan minat untuk anda mula mengumpul emas dengan gaya rekaan atau tema tersendiri. Apa yang penting, emas tetap emas, tidak kira ia datang dalam apa juga bentuk dan berat.
Bagaimana, dah berminat dengan pandora? Atau memang anda Pandora lovers? Jom kongsikan pendapat anda mengenai Pandora di komen.
Saya juga ada buat #CabaranRM3 iaitu satu cabaran untuk mengumpul sendiri RM3 sehari selama 180 hari yang bertujuan untuk membeli emas paling kurang pun 2 gram.
Setakat ini, kita sudah sampai hari yang ke 29 dari 180 hari dan jumlah minima yang anda patut ada ialah RM87. Jom bersama-sama kita menabung untuk membeli emas. Saya akan ingatkan setiap hari di posting.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa. Sertai Supergroup Telegram BroOhsem Fans untuk membolehkan anda berinteraksi dengan penulis : http://t.me/broohsemfans
*Artikel diterbitkan dengan keizinan daripada penulis.